Lebih 54,000 individu telah menebus diskaun berjumlah lebih $1.8 juta bagi menampung premium MediShield Hayat mereka di bawah satu program rintis tiga tahun.

Inisiatif itu bertujuan menggalak rakyat Singapura mengamalkan gaya hidup sihat secara aktif.

Diskaun tersebut mula ditawarkan pada 18 September 2025, sebagai sebahagian daripada usaha Kementerian Kesihatan (MOH) untuk menggalak penjagaan kesihatan pencegahan.

Menurut MOH, sehingga 28 Februari, 31 peratus daripada mereka yang telah menebus diskaun premium terdiri daripada golongan berusia 50 hingga 59 tahun; 28 peratus berusia 40 hingga 49 tahun; dan 26 peratus berusia 60 hingga 69 tahun.

Kementerian itu menambah bahawa kadar penyertaan bagi program percubaan tersebut sangat memberangsangkan.

MediShield Hayat merupakan pelan insurans kesihatan asas nasional yang membantu dalam pembayaran bil hospital yang besar serta rawatan pesakit luar tertentu yang mempunyai kos tinggi, seperti dialisis buah pinggang dan kemoterapi untuk barah.

Di bawah program rintis MOH ini, warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) berusia 40 tahun dan ke atas boleh menggunakan ganjaran mata ‘Healthpoints’ dalam aplikasi Healthy 365 oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) untuk menebus diskaun premium tersebut.

Pemegang polisi boleh menggunakan 75 Healthpoints untuk menebus diskaun premium sebanyak $1, berbanding ganjaran lain yang memerlukan 150 Healthpoints untuk menebus $1.

Untuk mengumpul Healthpoints, orang ramai boleh menyertai pelbagai program dan cabaran gaya hidup sihat dalam aplikasi tersebut, seperti membeli makanan dan minuman yang mempunyai simbol Pilihan Lebih Sihat, serta memenuhi sasaran senaman dan waktu tidur.

Individu yang melakukan aktiviti fizikal tahap sederhana hingga bertenaga dengan purata 150 minit setiap minggu secara konsisten selama setahun boleh mengumpul Healthpoints yang mencukupi untuk menebus diskaun premium bernilai sekitar $70.

Pendaftaran dengan klinik SG Lebih Sihat dan melengkapkan sesi perundingan pelan kesihatan pertama pula membolehkan individu memperoleh tambahan diskaun premium bernilai $40.

Bagi mereka yang berjaya memenuhi kesemua tugasan dan cabaran, mereka boleh menebus diskaun sehingga $580 dalam tempoh setahun.

Selain itu, penderma darah akan diberikan Healthpoints bermula separuh kedua 2026, dengan perinciannya bakal diumumkan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Jun.

Buat masa ini, premium tahunan MediShield Hayat bagi individu berusia antara 41 dengan 50 tahun adalah $637, sebelum subsidi pemerintah. 

Premium bagi mereka yang berusia antara 51 dengan 60 tahun pula adalah $903, dan kadar premium adalah lebih tinggi bagi golongan lebih tua.

Subsidi sehingga 60 peratus tersedia bagi isi rumah berpendapatan rendah hingga sederhana tinggi.

Warga emas dalam kategori Generasi Perintis dan Generasi Merdeka turut menerima subsidi tambahan.

MOH berkongsi bahawa sebahagian besar peserta (lebih 90 peratus) memperoleh Healthpoints mereka hanya melalui program HPB, manakala sekitar 2 peratus diperoleh daripada perundingan SG Lebih Sihat. 

Bakinya pula menerima ganjaran daripada kedua-dua sumber tersebut.

Selepas diskaun premium ditebus, ia akan dikreditkan secara automatik ke dalam premium MediShield Hayat individu tersebut semasa pembaharuan polisi tahunan yang berikutnya.

Premium MediShield Hayat boleh dibayar dengan penuh menggunakan MediSave dan akan ditolak secara automatik daripada akaun MediSave pemegang polisi setiap tahun.

Memandangkan Healthpoints hanya sah untuk tempoh enam bulan, MOH mengingatkan para pemegang polisi supaya menebus mata ganjaran mereka sebelum tarikh luput.

MOH sebelum ini menyatakan bahawa pihaknya akan menyemak semula keputusan program percubaan ini selepas ia tamat, sebelum memutuskan sama ada diskaun premium akan dijadikan ciri kekal dalam MediShield Hayat.