SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Premium ‘rider’ IP lebih rendah jadikan penjagaan kesihatan swasta lebih mampan

Premium ‘rider’ IP lebih rendah jadikan penjagaan kesihatan swasta lebih mampan

Ye Kung: Langkah bertujuan putus kitaran penggunaan khidmat berlebihan; pastikan rakyat dilindungi daripada kos perubatan besar
Apr 1, 2026 | 8:08 PM

Premium ‘rider’ IP lebih rendah jadikan penjagaan kesihatan swasta lebih mampan

MOH, IP, ‘rider’, syarat baharu, perlindungan insurans
Kesemua tujuh syarikat insurans Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu (IP) telah melancarkan produk perlindungan insurans tambahan atau ‘rider’ baharu pada 1 April bagi memenuhi syarat baharu Kementerian Kesihatan (MOH). - Foto fail

Premium perlindungan insurans tambahan atau ‘rider’ bagi Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu (IP) baharu, yang secara puratanya adalah 35 hingga 40 peratus lebih rendah, akan membantu memutuskan kitaran perkhidmatan berlebihan, penggunaan berlebihan, serta kenaikan kos.

Ia sekali gus menjadikan penjagaan kesihatan swasta lebih mampan dalam jangka masa panjang, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

“Bagi ramai pemegang polisi, penjimatan premium setiap tahun adalah lebih daripada mencukupi untuk menampung bayaran bersama lebih tinggi bagi kemasukan hospital sekali-sekala,” kata Encik Ong dalam satu hantaran di Facebook pada 1 April.

“Perlindungan insurans tambahan baharu atau ‘rider’ IP ini terus memenuhi matlamat utamanya (iaitu) untuk melindungi diri kita daripada bil yang sangat besar akibat masalah kesihatan yang teruk.

“Ini merupakan satu langkah bermakna dalam menangani isu berkaitan ‘rider’ IP,” tambahnya lagi.

Kesemua tujuh syarikat insurans IP telah melancarkan ‘rider’ baharu pada 1 April bagi memenuhi syarat baru Kementerian Kesihatan (MOH).

Di bawah syarat baharu itu, ‘rider’ IP tidak lagi dibenarkan menampung jumlah minimum bayaran sendiri yang ditetapkan MOH.

Selain itu, had pembayaran bersama akan digandakan kepada $6,000.

Sebagai maklum balas kepada pertanyaan media, MOH berkata pihaknya mengalu-alukan pelancaran produk ‘rider’ baharu yang menyaksikan harga premium dikurangkan sekitar 35 hingga 40 peratus berbanding ‘legacy rider’ – iaitu ‘rider’ sedia ada yang tidak memenuhi syarat MOH dan telah dihentikan penjualannya mulai 1 April.

Menurut MOH, pengurangan premium boleh mencecah sehingga 68 peratus.

Semua rakyat Singapura dilindungi di bawah skim nasional MediShield Hayat, yang menanggung perbelanjaan kemasukan hospital dan rawatan pesakit luar tertentu seperti radioterapi dan dialisis buah pinggang.

IP ialah perlindungan kesihatan pilihan yang disediakan syarikat insurans swasta sebagai tambahan kepada MediShield Hayat, lazimnya bagi menanggung penginapan di wad kelas A atau B1 di hospital awam atau swasta.

Sebagai tambahan kepada IP, syarikat insurans turut menjual ‘rider’ yang secara umumnya bertujuan menanggung jumlah bayaran sendiri pesakit – iaitu deduktibel dan baki bil yang tidak dilindungi MediShield Hayat dan IP.

Deduktibel merujuk pada jumlah wang yang perlu anda bayar sendiri sebelum syarikat insurans mula membayar pampasan atau menanggung kos selebihnya.

Berdasarkan jawapan syarikat insurans kepada pertanyaan The Straits Times (ST), ‘rider’ baharu ini adalah 16 peratus hingga 84 peratus lebih murah berbanding tawaran sebelum ini.

Angka ini dikeluarkan dengan membandingkan produk baharu mereka dengan produk sedia ada yang serupa.

MOH berkata angka penjimatan 35 hingga 40 peratus, serta penjimatan maksimum 68 peratus, merujuk kepada purata wajaran atau ‘weighted average’ bagi penjimatan merentasi semua syarikat insurans. 

Pengiraan ini mengambil kira bilangan pemegang polisi setiap syarikat insurans, dengan syarikat yang mempunyai lebih ramai pemegang polisi bagi pelan perlindungan penuh akan diberi ‘pemberat’ lebih besar dalam menentukan kadar purata pengurangan premium tersebut.

MOH berkata ‘rider’ baharu ini akan terus memberi ketenangan kepada pemegang polisi dengan mengekalkan perlindungan baik terhadap perbelanjaan perubatan yang besar.

Pihak kementerian juga menegaskan pemegang polisi ‘rider’ IP boleh terus menggunakan akaun MediSave mereka untuk menampung jumlah bayaran bersama bagi bil hospital, tertakluk kepada had pengeluaran yang ditetapkan.

Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, berkata ‘rider’ IP yang terlalu ‘murah hati’ akan menjejas disiplin kos, selain menyebabkan kos penjagaan kesihatan swasta dan premium terus melambung tinggi.

“Perubahan ini memastikan penjagaan kesihatan kekal mampu diakses, di samping meletakkan insurans kesihatan swasta pada landasan lebih mampan untuk semua,” kata Encik Ong.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg