SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Krisis minyak: Tiada pemberhentian kerja segera, namun majikan dalam sektor terkesan berwaspada

Krisis minyak: Tiada pemberhentian kerja segera, namun majikan dalam sektor terkesan berwaspada

Penganalisis: Sektor termasuk pengangkutan, logistik, penerbangan serta pelabuhan dijangka mula rasa tekanan secara beransur-ansur
Apr 3, 2026 | 6:20 PM

Krisis minyak: Tiada pemberhentian kerja segera, namun majikan dalam sektor terkesan berwaspada

Perang Iran, kesan ke atas S’pura, Tiada pemberhentian segera, majikan berwaspada
Walaupun sektor minyak, petrokimia, tenaga dan kimia (OPEC) sedang menghadapi kesan paling hebat dan mula menunjukkan tanda-tanda awal langkah berwaspada akibat gangguan bekalan minyak ekoran perang ke atas Iran, kesatuan sekerja menyatakan bahawa tiada petanda segera berlakunya pemberhentian kerja secara meluas. Gambar menunjukkan kapal di Selat Singapura berlatarbelakangkan Pulau Bukom pada 19 Mac. - Foto ST

Meski sektor minyak, petrokimia, tenaga dan kimia (OPEC) kini paling terkesan dan mula menunjukkan tanda-tanda awal langkah berwaspada akibat gangguan bekalan minyak ekoran perang ke atas Iran, kesatuan sekerja berkata tiada petanda segera berlakunya pemberhentian kerja secara meluas.

Namun begitu, sektor lain seperti pengangkutan, logistik, penerbangan serta pelabuhan dan pembekalan bahan api kapal – yang dijangka menjadi antara industri terawal yang terkesan – akan mula merasa tekanan daripada gangguan tersebut secara beransur-ansur, kata para penganalisis kepada Berita Harian (BH).

Menjawab pertanyaan BH, Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Abdul Samad Abdul Wahab, berkata NTUC sentiasa mendekati majikan serta pekerja, dan pihak NTUC serta kesatuan bersedia untuk menyokong pekerja sepanjang tempoh ini.

“Selama bertahun-tahun, NTUC dan kesatuan sekerja kami telah bekerjasama dengan rakan tiga pihak untuk memberikan prospek gaji, kebajikan, dan kerja yang baik bagi pekerja dalam industri yang memerlukan kemahiran tinggi ini.

“Walaupun terdapat pelbagai cabaran, pemimpin kesatuan kami berjaya memperoleh kenaikan gaji dan bonus yang bermakna untuk para pekerja dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Pada masa yang sama, kami menyedari ketidaktentuan dalam pasaran minyak yang berterusan boleh melanjutkan gangguan kepada sektor ini, sekali gus menambah kebimbangan pekerja tentang kesan potensi terhadap pekerjaan dan mata pencarian mereka.

“Berdasarkan pendekatan kami dengan para majikan, kami melihat tanda-tanda awal sikap berwaspada, namun tiada petanda akan berlakunya pemberhentian kerja secara meluas dalam masa terdekat,” kata beliau, yang juga pengerusi kelompok OPEC di NTUC.

Encik Abdul Samad menambah bahawa NTUC akan terus mendekati majikan dan pemerintah, serta memantau dengan dekat perkembangan dalam sektor tersebut.

Ini termasuk bekerjasama dengan majikan untuk menyokong pekerja dan syarikat dalam menyesuaikan diri pada perubahan, seperti melalui Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) yang memacu inisiatif peningkatan kemahiran.

“Kami menggalak syarikat terus bekerja rapat dengan kesatuan mereka dan NTUC, dan untuk memaklumkan awal kepada kami tentang sebarang keputusan berkaitan tenaga kerja, supaya pekerja boleh terus diberikan sokongan dalam cara yang tepat pada masanya dan bertanggungjawab,” kata Encik Abdul Samad.

Penutupan Selat Hormuz di Timur Tengah – satu laluan perkapalan penting yang mengendalikan sekitar 20 hingga 25 peratus perdagangan minyak dan gas asli cecair (LNG) – telah mencetuskan krisis tenaga global, dengan harga minyak mentah Brent, iaitu penanda aras dunia, melonjak kepada paras tertinggi sehingga AS$119.50 ($153) setong pada 9 Mac.

Sebagai sebuah hab serantau bagi penerbangan, perkapalan dan petrokimia, Singapura juga tidak terkecuali daripada kesan gangguan bekalan minyak itu, kata para penganalisis.

Sementara itu, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) berkata ia kekal komited menyokong anggotanya walaupun belum menerima sebarang permintaan bantuan sejauh ini.

Sekiranya krisis tenaga berlarutan dan menyebabkan kesan lebih besar ke atas perniagaan, pihaknya akan terus memantau keadaan dan menilai keperluan anggotanya serta “mungkin mempertingkat sokongan kami” jika perlu.

“Keutamaan DPPMS adalah untuk memastikan anggota kami terus mendapat sokongan dan terhubung kepada sumber yang sesuai dan wajar semasa tempoh mencabar,” kata jurucakap DPPMS.

Dalam aspek pekerjaan, Ketua Pakar Strategi Forex dan Ketua Penyelidikan Forex Pasaran Global Maybank, Encik Saktiandi Supaat, berkata kesan pertama terhadap pekerjaan adalah pengambilan pekerja yang lebih perlahan, bukannya pemberhentian kerja serta-merta, “tetapi perkara itu boleh berubah jika kejutan (ekonomi) ini berlarutan”.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg