Di tengah gelombang kenaikan harga sejagat, didorong oleh krisis peperangan di Iran, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sedang meneliti keperluan sokongan tambahan bagi pengendali bas tempatan.

LTA berhasrat memastikan daya ketahanan perkhidmatan awam ini.

“Selain harga pasaran lebih tinggi, kami mendapati pengendali menanggung kos tambahan untuk menjamin bekalan diesel mereka.

“Kami akan membuat penilaian jika sokongan tambahan diperlukan bagi memastikan perkhidmatan bas tidak terjejas,” kata LTA dalam satu kenyataan media pada 2 Jun.

Yuran perkhidmatan yang dilunaskan LTA kepada pengendali bas awam telah diselaraskan mengikut indeks tenaga pasaran, termasuk harga diesel.

Mekanisme ini berfungsi sebagai perisai, melindungi pengendali daripada sebahagian besar ketidaktentuan harga tenaga, ujar LTA.

Menurut jurucakap pengangkutan awam itu, Cik Grace Wu, kesan lonjakan ini terasa dan SBS Transit melaporkan kenaikan kos diesel dan elektrik lebih 80 peratus pada Mac dan April, berbanding Februari.

SMRT pula sedang memantau rapi keadaan berkenaan kerana ketidaktentuan berterusan dalam pasaran tenaga dan minyak sejagat boleh meningkatkan kos operasi jangka panjang.

SMRT berkata ia akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan LTA untuk meneroka langkah lanjut bagi mengurangkan kesan harga tersebut sedang keadaan dunia terus bergelora.

Kenaikan harga bahan api memberi kesan kepada perkhidmatan pengangkutan, kata Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow, pada 26 Mac lalu.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual mengenai penilaian semasa terhadap kesan konflik Timur Tengah ke atas sektor pengangkutan tempatan.

Pemerintah sedang memantau rapi keadaan tersebut bagi menilai sama ada terdapat keperluan untuk masuk campur “pada masa akan datang”, kata Encik Siow.

Harga gas dan minyak berada dalam keadaan tidak menentu menyusuli serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari, serta tindakan Teheran yang menutup Selat Hormuz, iaitu laluan air utama yang mengendalikan satu perlima daripada aliran minyak dan gas dunia.

Minyak mentah Brent, yang menjadi tanda aras minyak sejagat, mencatatkan harga antara AS$92 ($117.55) dengan AS$114 ($145.67) setong pada Mei, dan didagangkan pada sekitar AS$95 pada 1 Jun, melonjak daripada sekitar AS$73 pada 27 Februari.

Pada April, Kementerian Pendidikan (MOE), Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) serta Kementerian Kesihatan (MOH) berkata pengendali perkhidmatan bas penting akan menerima pembiayaan sementara daripada pemerintah bagi mengimbangi kos operasi lebih tinggi akibat lonjakan harga bahan api.

Pembiayaan tersebut disalurkan kepada pengendali di bawah kontrak atau subsidi pemerintah yang mengendalikan perkhidmatan pengangkutan tetap ke sekolah rendah dan sekolah pendidikan khas, khidmat bagi golongan kurang upaya, dan pesakit yang menerima penjagaan jangka panjang serta khidmat dialisis masyarakat.

Pembiayaan tersebut merangkumi 13 peratus daripada hasil tambang pengangkutan dan akan digunakan bagi perkhidmatan yang disediakan dari April hingga Jun.

Kenaikan kos diesel turut menjejas sektor pengangkutan laut, dengan beberapa pengendali feri mengumumkan surcaj bahan api pada awal Mac bagi perjalanan ulang-alik ke Singapura.