Khidmat hidangan mangkuk tingkat bantu jimat masa luang bersama keluarga

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khidmat hidangan mangkuk tingkat bantu jimat masa luang bersama keluarga

Keupayaan sesuaikan menu ikut cita rasa anak juga faktor utama jururawat terus guna khidmat
Jan 17, 2026 | 5:30 AM

Khidmat hidangan mangkuk tingkat bantu jimat masa luang bersama keluarga

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapore, mangkuk tingkat, food delivery
Cik Farzaana Shurjinath (dua dari kanan) akan memesan hidangan mangkuk tingkat yang disesuaikan mengikut cita rasa anak-anaknya, (dari kiri) Nur Kyhara, Nur Faria, Nur Khayla, Fardeen, dan suaminya, Encik Abdul Qayyum Othman (kanan). - Foto BH oleh DESMOND WEE

Membayar untuk khidmat hidangan mangkuk tingkat merupakan satu pengorbanan yang sanggup dilakukan oleh Cik Farzaana Shurjinath.

Dengan khidmat tersebut, beliau dapat meluangkan lebih banyak masa bersama empat orang anaknya yang berusia antara dua dengan sembilan tahun.

Jururawat berdaftar berusia 36 tahun itu berkongsi dengan Berita Harian (BH) bahawa jadual kerjanya yang sibuk, ditambah pula dengan waktu kerja suaminya, Encik Abdul Qayyum Othman, 37 tahun, yang bertugas mengikut syif sebagai pegawai penjara, menjadikan setiap detik bersama anak-anak sesuatu yang amat dihargai.

Walaupun mereka perlu membelanjakan sekitar $800 bagi khidmat hidangan mangkuk tingkat selama 20 hari untuk lima orang, beliau berasa ianya berbaloi kerana dapat meluangkan masa bersama keluarga tercinta.

“Sebagai ibu yang bekerja sepenuh masa, pengurusan masa itu sangat penting.

“Jadi apabila saya dapat jimatkan masa dengan memesan khidmat hidangan mangkuk tingkat yang dihantar langsung ke rumah, saya dapat memberi tumpuan yang lebih kepada anak-anak, daripada keluar berbelanja untuk membeli makanan,” ujar Cik Farzaana.

Mengulas lebih lanjut, Cik Farzaana berkata beliau dapat menjimatkan sekitar dua hingga tiga jam sehari dengan memesan khidmat hidangan mangkuk tingkat kerana tidak lagi perlu membeli barangan dapur, menyediakan bahan, dan kemudian memasak dan mengemas.

Sebagai pelanggan setia khidmat sedemikian sejak 2019, Cik Farzaana berkongsi selain dapat menjimatkan masa, keupayaan untuk menyesuaikan menu mengikut cita rasa anak-anaknya, yang beliau sifatkan sebagai cerewet, menjadi faktor utama yang mendorongnya untuk terus menggunakan khidmat tersebut hingga 2026.

Apabila ditanya tentang apa yang beliau pertimbangkan sebelum membuat keputusan untuk melanggan, beliau berkata:

“Pertama sekali, saya lihat bahan yang digunakan kerana ada yang menggunakan perasa atau pengawet.

“Kemudian saya akan lihat menu yang ditawarkan dan jika terdapat ikan atau bahagian ayam yang tidak disukai anak-anak saya, saya akan cuba bertanya jika saya boleh membuat sedikit pengubahsuaian,” kata Cik Farzaana.

Selain itu, harga juga menjadi faktor yang penting, terutama sekali harga bagi khidmat hantaran ke rumah yang boleh mencecah hingga $12, namun terdapat juga khidmat yang mengenakan bayaran penghantaran semurah $8.

Menjelang Ramadan, Cik Farzaana berkongsi hasrat ingin memesan khidmat ini selama 10 hari dan menambah bahawa beliau akan mengatur hari dan tarikh yang sesuai dengan jadualnya.

Secara lazim, perniagaan khidmat hidangan mangkuk tingkat akan menentukan tarikh bagi pakej yang ditawarkan – sebagai contoh, 10 hari pertama atau 10 hari terakhir Ramadan.

Kebolehan untuk mengatur pesanan bagi khidmat tersebut mengikut jadualnya yang padat adalah satu lagi sebab khidmat itu menjadi pilihan bagi Cik Farzaana sekeluarga.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg