Topik diikuti
Pergi ke BHkuTerapi muzik bantu pesakit barah tangani sakit, tekanan emosi
Terapi muzik bantu pesakit barah tangani sakit, tekanan emosi
Muzik mungkin kerap dikaitkan dengan hiburan dan ketenangan.
Tetapi dalam penjagaan kesihatan, ia juga boleh digunakan sebagai satu bentuk terapi untuk membantu pesakit menangani kesakitan, keresahan dan tekanan emosi ketika menjalani rawatan.
Bagi pesakit barah, terapi muzik kian mendapat perhatian sebagai sebahagian daripada pendekatan penjagaan menyeluruh.
Ini kerana ia bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyakit, malah mengambil kira keadaan fizikal, emosi, pemikiran dan hubungan sosial seseorang pesakit.
Ahli Terapi Muzik di agensi sosial, Persatuan Pencegahan Barah 365 (365CPS) Cik Germaine Yong, berkata pendekatan itu boleh digunakan sebagai sokongan kepada rawatan perubatan konvensional pada pelbagai peringkat perjalanan pesakit yang menghidapi barah.
Menurut beliau, antara kesan yang boleh diperoleh menerusi terapi muzik ialah membantu menurunkan kadar denyutan jantung dan tekanan darah, mengurangkan hormon tekanan serta persepsi terhadap kesakitan.
Dari sudut emosi dan mental pula, ia boleh membantu mengurangkan keresahan, memperbaiki suasana hati serta menyokong tumpuan dan daya ingatan.
“Muzik juga menyediakan ruang untuk seseorang meluahkan perasaan tanpa menggunakan kata-kata, selain membantu menghubungkan pesakit dengan keluarga dan penjaga mereka,” katanya.
Terapi muzik tambah beliau, merupakan pendekatan tanpa ubat yang boleh digunakan sebagai pelengkap kepada penjagaan perubatan sedia ada.
Menurut Cik Yong, salah satu salah tanggapan paling biasa ialah terapi muzik sekadar meminta pesakit mendengar lagu kegemaran untuk membuat mereka berasa lebih baik.
Ada juga yang menyangka seseorang perlu mempunyai bakat muzik atau tahu bermain alat muzik sebelum boleh mengikuti terapi tersebut.
Sebahagian masyarakat pula menganggap terapi muzik lebih sesuai untuk kanak-kanak atau pesakit demensia.
Hakikatnya, kata Cik Yong, terapi muzik merupakan campur tangan yang dilakukan oleh ahli terapi terlatih berdasarkan matlamat tertentu bagi setiap individu.
“Terapi muzik bukan sekadar terapi yang diiringi muzik.
“Ia adalah penggunaan muzik secara terancang oleh ahli terapi terlatih untuk mencapai matlamat kesihatan,” katanya.
Sebelum terapi dijalankan, ahli terapi akan mengenal pasti keperluan seseorang pesakit.
Sebagai contoh, seorang pesakit mungkin mahu mengurangkan kesakitan, manakala seorang lagi mahu memperbaiki komunikasi dengan orang tersayang.
Berdasarkan matlamat itu, ahli terapi boleh menggunakan kaedah seperti mencipta lagu, meneliti lirik, latihan pernafasan mengikut ritma, mengubah suai muzik dan sesi mendengar muzik secara berpandu.
Pendekatan tersebut juga bukan satu kaedah yang sama untuk semua pesakit.
Sebaliknya, setiap sesi disesuaikan mengikut keadaan, matlamat, latar belakang dan pilihan muzik individu.
Rawat individu, bukan penyakit
Dalam rawatan barah, Cik Yong menekankan bahawa terapi muzik tidak menggantikan kemoterapi, radioterapi, pembedahan atau ubat-ubatan.
Sebaliknya, peranannya ialah melengkapi rawatan tersebut dengan membantu pesakit menghadapi kesan fizikal dan psikologi sepanjang perjalanan rawatan.
“Rawatan perubatan merawat barah, manakala terapi muzik membantu individu yang sedang melalui pengalaman menghidap barah,” katanya.
Ketika menjalani kemoterapi, radioterapi atau pembedahan, misalnya, seseorang pesakit mungkin mengalami rasa loya, kesakitan, keletihan atau keresahan sebelum menjalani prosedur.
Mereka juga mungkin berdepan kesunyian ketika berada di hospital, gangguan tidur, kebosanan atau tekanan akibat rawatan yang berpanjangan.
Pada peringkat lain, terapi muzik boleh membantu pesakit berhadapan dengan kesedihan, persoalan mengenai kehidupan dan masa depan serta cabaran kesihatan mental jangka panjang.
Bagi mereka yang sudah melepasi rawatan aktif, pendekatan itu juga boleh membantu dalam proses menyesuaikan diri dan kembali kepada kehidupan harian, termasuk pekerjaan dan keluarga.
Ia turut boleh digunakan dalam penjagaan paliatif untuk membantu pesakit mencapai matlamat peribadi dan mendapatkan sokongan emosi.
Keperluan setiap pesakit berbeza
Menurut Cik Yong, dua individu dengan diagnosis barah yang sama tidak semestinya mempunyai pengalaman atau keperluan yang serupa.
Justeru, ahli terapi perlu terlebih dahulu menilai keadaan seseorang pesakit sebelum menentukan pendekatan yang sesuai.
Penilaian itu merangkumi empat bidang utama – keadaan fizikal, emosi, kognitif serta pilihan dan latar belakang budaya pesakit.
Dari segi fizikal, ahli terapi boleh melihat tahap tenaga, kesakitan, rasa loya, pernafasan dan pergerakan.
Keadaan emosi pula merangkumi keresahan, kemurungan, kemarahan, rasa kehilangan dan harapan, sementara penilaian kognitif melihat antaranya kemampuan memberi tumpuan, masalah ingatan atau kekeliruan.
Pilihan muzik, bahasa, budaya dan kepercayaan seseorang turut diambil kira kerana sesebuah lagu yang menenangkan seorang pesakit mungkin mencetuskan kenangan atau emosi yang tidak menyenangkan bagi pesakit lain.
Pendekatan kemudian disesuaikan mengikut peringkat perjalanan barah, daripada diagnosis dan rawatan kepada pemulihan, kehidupan selepas rawatan, penyakit berulang atau penjagaan paliatif.
Ketika baru menerima diagnosis, misalnya, seseorang mungkin mengalami kejutan, ketakutan, penafian atau sukar tidur.
Pada peringkat rawatan pula, tekanan fizikal dan kurang tidur mungkin lebih ketara, manakala keresahan, kesedihan dan ketidakpastian mengenai masa depan boleh menjadi cabaran emosi utama.
Muzik turut bantu keluarga dan penjaga
Manfaat muzik juga tidak terhad kepada pesakit.
Cik Yong berkata keluarga dan penjaga boleh menggunakan muzik secara sederhana di rumah untuk memberikan ketenangan, mengeratkan hubungan dan menemani individu yang sedang menjalani rawatan barah.
Antara caranya termasuk menyediakan senarai lagu yang memberikan ketenangan, mendengar muzik bersama untuk tempoh singkat atau menyanyi secara perlahan bersama pesakit.
Menurut beliau, pilihan pesakit perlu dihormati kerana muzik yang memberikan ketenangan kepada seseorang mungkin tidak memberikan kesan yang sama kepada individu lain.
Pesakit juga tidak seharusnya berasa terpaksa untuk mendengar muzik semata-mata kerana ahli keluarga mahu menceriakan atau mengubah keadaan emosinya.
Sebaliknya, muzik boleh digunakan sebagai ruang untuk anggota keluarga berada bersama pesakit, terutama ketika mereka sukar meluahkan perasaan melalui kata-kata.
“Gunakan muzik untuk mewujudkan hubungan, bukan untuk cuba membetulkan keadaan,” kata Cik Yong.
“Biarkan pesakit menentukan pilihan muzik apabila boleh dan gunakan muzik sebagai teman, bukan sebagai satu persembahan.
“Jika bercakap terasa terlalu sukar, dengarlah muzik bersama-sama dalam diam.
“Sebuah lagu yang dikongsi juga boleh membuka ruang untuk berbicara secara perlahan mengenai harapan, ketakutan atau kenangan,” katanya.
