Jauh di lubuk hati Encik Bakti Mohd Khair, tersemat cita-cita untuk memanfaatkan muzik secara lebih bermakna demi menyantuni golongan yang memerlukan.

Sebagai sebahagian projek tesis tahun akhirnya bagi program Sarjana Terapi Muzik di Maktab Seni Lasalle, Encik Bakti meneliti tanggapan warga emas Melayu/Islam di Singapura terhadap muzik, dengan tujuan membantu ahli terapi muzik lebih memahami cara menyokong pesakit warga emas daripada masyarakat tersebut.

“Saya mahu gunakan muzik untuk membantu masyarakat secara langsung. Mengajar muzik memang bermakna, tetapi saya rasa saya mahukan sesuatu yang lebih mampu memberi kesan kepada mereka yang memerlukan,” kata mantan guru di bawah Kementerian Pendidikan (MOE) itu.

Menerusi kajian tersebut, beliau berharap dapatan yang diperoleh dapat memperkayakan kefahaman ahli terapi muzik, khususnya yang bukan Melayu/Islam terhadap kepekaan budaya dan agama dalam kalangan pesakit warga emas Melayu/Islam.

Bagi menjayakan kajian itu, Encik Bakti, 34 tahun, menemu bual lebih 102 responden Melayu/Islam berusia 60 tahun dan ke atas.

Beliau mendapati ramai di antara mereka berpandangan penerimaan terhadap muzik banyak bergantung pada tujuan penggunaannya, jenis lagu serta alat muzik yang digunakan.

“Mereka melihat terapi muzik bukan sekadar hiburan, tetapi sesuatu yang boleh digunakan untuk membantu emosi, pemulihan pertuturan, pergerakan dan juga penjagaan paliatif.

“Saya harap kajian ini dapat memberi sedikit konteks dan perspektif kepada ahli terapi muzik, khususnya yang bukan Melayu/Islam apabila mereka bekerja dengan warga emas dari masyarakat kita,” tambah beliau.

Encik Bakti menyifatkan kajian tersebut sebagai satu tanggungjawab peribadi untuk mengangkat isu yang dekat dengan nadi masyarakat Melayu/Islam, lebih-lebih lagi kerana beliau merupakan satu-satunya pelajar Melayu/Islam dalam kohort pengajian peringkat sarjana ini.

Usaha beliau bakal diketengahkan dalam pameran siswa Lasalle – The LASALLE Show Exhibition 2026 – yang berlangsung dari 22 Mei hingga 3 Jun ini di Kampus McNally maktab tersebut.

Pameran itu akan menghimpunkan pelbagai karya asli pelajar merangkumi bidang reka bentuk, seni halus, filem, animasi, pengurusan seni, terapi seni, terapi muzik dan penulisan kreatif.

Pengunjung turut berpeluang menelusuri projek yang mengupas pelbagai isu sosial dan budaya, di samping menyaksikan hasil penyelidikan berasaskan amalan yang menawarkan perspektif baharu terhadap cabaran masyarakat masa kini, kata Maktab Seni Lasalle dalam kenyataannya.

Tahun ini juga menandakan kemunculan kohort lulusan pertama bagi program perintis Sarjana Muda Reka Bentuk bagi Masa Depan Sosial dan Sarjana Terapi Muzik, yang diperkenalkan pada 2024.

Bagi Encik Bakti, peluang mempamerkan hasil penyelidikannya di platform tersebut menjadi antara detik paling bermakna dalam perjalanan yang menuntut pelbagai pengorbanan demi merealisasikan impiannya.

Sebelum ini, Encik Bakti berkhidmat selama enam tahun sebagai pendidik muzik di bawah Kementerian Pendidikan (MOE).

Namun, keputusan meninggalkan kerjaya tetap itu bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi beliau merupakan pencari nafkah utama keluarga dengan seorang isteri dan dua anak kecil.

Menurut beliau, yang pada masa ini sedang bekerja sambilan pada hujung minggu selain mengambil projek menghasilkan lagu pada waktu renggang pengajiannya, berkata ada pihak yang mempersoalkan tindakannya meninggalkan pekerjaan tetap untuk menceburi bidang yang masih asing dalam konteks Singapura.

“Orang lihat kerjaya mengajar di bawah MOE sebagai sesuatu yang stabil dan terjamin. Jadi ada yang tertanya-tanya mengapa saya mahu tinggalkan semua itu untuk bidang yang ramai pun belum begitu kenali,” katanya lagi.

Namun, beliau bersyukur kerana keluarganya yang dekat dengan dunia seni memahami aspirasi dan perjuangan yang ingin dibawanya.

Antara individu yang banyak mencorakkan perjalanan seninya ialah bapanya sendiri, penggubah lagu dan penulis lirik setempat, Encik Mohd Khair Mohd Yasin, yang juga menganggotai kumpulan terkenal dengan irama puitis pada 1990-an, Rausyanfikir.

Sejak kecil, beliau sering mendengar lagu-lagu bapanya berkumandang di rumah sambil menyaksikan sendiri proses penciptaan lagu berlangsung di depan mata.

Selain bermain trompet ketika di bangku sekolah, beliau turut mempelajari gitar, piano serta pelbagai alat muzik lain yang kini dimanfaatkan dalam sesi terapi muziknya.

“Keluarga saya, termasuk kedua-dua ibu bapa saya sangat memberi galakan. Mereka sentiasa menghargai hasil muzik yang saya cuba hasilkan sejak kecil walaupun ketika itu saya belum mempunyai pendidikan muzik secara formal.

“Mereka amat memahami niat saya dan mendorong melalui sokongan emosi, dan kadangkala juga bantuan kewangan sepanjang saya melanjutkan pengajian ini,” katanya.