Topic followed successfully
Go to BHkuSukar naik tangga? Mungkin petanda sakit lutut
Sukar naik tangga? Mungkin petanda sakit lutut
Ramai anggap sakit lutut kronik sebahagian proses penuaan yang tidak dapat dielak
Sukar naik tangga? Mungkin petanda sakit lutut
Apakah tanda awal masalah lutut yang tidak wajar diabai, khususnya dalam kalangan individu berusia 40-an dan 50-an?
Tanda awal selalunya tidak ketara, jadi penting untuk anda mendengar isyarat tubuh.
Pertama, jika anda dapati daya tahan anda ketika berjalan tidak seperti dahulu, itu adalah isyarat jelas untuk mendapatkan pemeriksaan.
Beri perhatian kepada sebarang rasa sakit lutut yang berlarutan lebih dari beberapa minggu, terutama jika ia disebabkan oleh kegiatan.
Satu lagi tanda utama ialah kekakuan, sama ada pada waktu pagi atau selepas duduk seketika.
Jika anda mendapati diri anda sukar melakukan pergerakan harian seperti menaiki tangga, mencangkung, atau bangun dari kerusi, lutut anda sedang menghantar isyarat.
Ini mungkin disertai dengan bengkak yang datang dan pergi atau rasa lutut tidak stabil dan kurang kukuh.
Mengapakah ramai terus tahan sakit lutut walau jejas kegiatan harian dan mutu hidup?
Berdasarkan pengalaman klinikal saya, salah satu sebab paling biasa adalah kerana ramai menganggap kesakitan itu perkara biasa.
Mereka menganggap sakit lutut kronik sebahagian daripada proses penuaan yang tidak dapat dielak.
Terdapat juga ketakutan yang besar terhadap pembedahan.
Ramai percaya mendapatkan rawatan secara automatik akan membawa kepada pembedahan bagi menggantikan lutut, dan rasa takut itu menghalang mereka daripada memulakan perbincangan.
Kami melihat corak bagaimana mereka menyesuaikan diri dengan keadaan.
Secara tidak sedar, mereka cenderung mengurangkan kegiatan dan mengecilkan ruang lingkup kehidupan bagi menampung kesakitan, dan bukannya menangani punca masalah itu secara langsung.
Sejauh manakah kekuatan otot dan tahap kecergasan penting dalam pergerakan jangka panjang?
Ia amat penting. Saya sering memberitahu pesakit saya untuk menganggap lutut sebagai organ, bukan hanya sendi.
Ia adalah sebahagian daripada sistem fungsi yang kompleks melibatkan otot, penjajaran, tisu rawan (meniskus) yang bertindak sebagai penyerap hentakan, ligamen penstabil dan rawan sendi.
Otot yang kuat dan terlatih adalah penting kerana ia mengurangkan beban pada sendi, melindungi rawan sendi dan meningkatkan kestabilan dinamik sendi semasa bergerak, serta melindunginya daripada kecederaan.
Apakah pilihan rawatan pemeliharaan sendi sebelum pembedahan pengganti lutut?
Hakikatnya, ramai pesakit boleh mengelakkan pembedahan penggantian lutut sepenuhnya jika keadaan mereka ditangani lebih awal oleh pakar bedah yang menawarkan teknik pemeliharaan sendi.
Kami sentiasa bermula dengan asas seperti fisioterapi dan pengukuhan otot yang disasarkan, di samping strategi pengurusan dan pengawalan berat badan.
Dari situ, kami boleh menggunakan suntikan steroid, asid hialuronik, dan ‘ortobiological’ iaitu terapi yang dibangunkan daripada bahan biologi (semula jadi) seperti sel dan tisu untuk menguruskan gejala.
Untuk masalah struktur, kami mempunyai teknik pembedahan yang berkesan, termasuk prosedur penjajaran semula seperti osteotomi, yang kerap saya lakukan.
Kami juga boleh melakukan prosedur pemulihan meniskus atau rawan sendi.
Bagi sesetengah pesakit terpilih, pembedahan penggantian sebahagian lutut atau UKA, adalah pilihan amat baik.
Bagaimanakah pakar ortopedik tentukan masa paling sesuai menjalani pembedahan ganti lutut?
Kami tidak mendasarkan keputusan ini pada x-ray semata-mata.
Ia melibatkan pertimbangan klinikal yang menyeluruh bergantung pada pengalaman hidup pesakit.
Kami memberi tumpuan kepada tahap kesakitan mereka dan kesan ketara terhadap mutu hidup seseorang.
Kami juga perlu mengesahkan rawatan bukan pembedahan telah gagal memberi kelegaan yang mencukupi.
Sudah tentu, kami menilai kerosakan struktur semasa pemeriksaan dan mengesahkan penemuan tersebut dengan pengimejan.
Persoalan utamanya adalah sama ada pilihan pemeliharaan sendi masih boleh memulihkan fungsi dengan baik.
Jika jawapannya tidak, maka penggantian lutut menjadi pilihan paling sesuai.
Apakah salah faham paling lazim mengenai pembedahan penggantian lutut?
Beberapa mitos menimbulkan banyak kebimbangan yang tidak perlu.
Salah satunya adalah, “Saya terlalu tua untuk pembedahan penggantian lutut.”
Fisiologi keseluruhan pesakit jauh lebih penting daripada usia kronologi mereka.
Satu lagi ialah idea bahawa “pemulihan akan mengambil masa berbulan-bulan dan saya akan memerlukan alat bantuan berjalan selama-lamanya”.
Protokol moden direka untuk pergerakan yang jauh lebih cepat.
Pesakit turut bimbang lutut tiruan akan terasa tidak semula jadi atau hasilnya tidak dapat dijangka.
Ada juga yang takut mereka tidak akan dapat berjalan lagi selepas pembedahan, dan itu sama sekali tidak benar.
Bagaimanakah kemajuan teknik pembedahan dan penjagaan selepasnya meningkatkan tempoh pemulihan serta hasil jangka panjang?
Satu kemajuan besar ialah pembedahan dengan bantuan robotik, khususnya sistem robotik MAKO, yang saya gunakan untuk kedua-dua pembedahan penggantian sebahagian lutut dan secara total.
Teknologi itu membolehkan kedudukan implan yang sangat tepat berdasarkan pelan peribadi anatomi unik setiap pesakit.
Ia juga membolehkan pengimbangan tisu lembut dengan lebih baik, yang kadangkala amat sukar dicapai dengan sempurna secara manual menggunakan tangan.
Ia turut membantu kami memelihara tulang yang sihat seberapa mungkin.
Tahap ketepatan ini boleh membawa kepada pergerakan lutut lebih semula jadi, kurang rasa sakit selepas pembedahan, pemulihannya lebih cepat, dan jangka hayat implan juga lebih baik.
Berdasarkan pengalaman, apakah perubahan paling ketara selepas rawatan atau pembedahan berjaya?
Perubahannya sangat mendalam. Pesakit secara yekal melaporkan kegiatan berjalan menjadi lebih mudah dan tidur mereka bertambah baik secara mendadak setelah rasa sakit yang berterusan hilang.
Mereka berasa lebih yakin bergerak secara bebas dan kerap kembali kepada hobi yang telah mereka tinggalkan bertahun-tahun sebelumnya.
Tetapi saya dapati perubahan terbesar selalunya dari segi psikologi. Mereka berupaya kembali berdikari.
Nasihat kepada golongan dewasa pertengahan umur yang mahu kekal cergas dan berdikari seiring peningkatan usia?
Nasihat saya yang paling penting adalah untuk menganggap pergerakan sebagai pelaburan jangka panjang, bukan masalah yang perlu diselesaikan hanya apabila kesukaran timbul.
Ini bermakna anda mesti berusaha secara aktif mengekalkan kekuatan otot dan belajar tentang sarkopenia dan kehilangan jisim otot berkaitan usia.
Adalah penting untuk kekal aktif secara fizikal, mengekalkan berat badan sihat melalui diet dan senaman, serta mengelakkan tempoh tidak aktif yang lama.
Paling penting, tangani kesakitan yang berterusan pada peringkat awal dan bukan mengabaikannya.
Umur panjang bukan hanya tentang hidup lebih lama; ia adalah tentang dapat bergerak dengan baik untuk tempoh yang lebih lama.
Asas kesihatan lutut jangka panjang ialah senaman yang kerap dan seimbang yang merangkumi kegiatan aerobik, latihan kekuatan dan fleksibiliti.
Jika anda sudah mengalami sedikit sakit lutut, adalah bijak untuk beralih kepada kegiatan berimpak rendah seperti berbasikal atau berenang untuk mengekalkan tahap kecergasan tanpa membebankan sendi.
Mengekalkan berat badan yang sihat juga amat penting.
Tetapi mungkin langkah yang paling kritikal adalah untuk mendapatkan penilaian sebaik sahaja gejala muncul.
Campur tangan awal memberi lebih banyak pilihan untuk melindungi lutut pada masa hadapan.
Penulis ialah Pakar Bedah Ortopedik Perunding Kanan di Total Orthopaedic Care & Surgery.


