Masalah kesihatan pencernaan semakin menjadi kebimbangan dalam kalangan masyarakat moden apabila gaya hidup sibuk, pemakanan tidak seimbang dan tekanan harian terus memberi kesan terhadap sistem penghadaman.

Pakar Perunding Gastroenterologi dan Pengarah Perubatan Alpha Digestive & Liver Centre, Dr Benjamin Yip, berkata ramai individu masih memandang ringan gejala pencernaan walaupun perubahan berterusan pada tubuh boleh menjadi petunjuk awal kepada masalah kesihatan yang lebih serius.

Menurut beliau, gangguan sistem pencernaan kekal antara sebab paling biasa orang ramai mendapatkan rawatan perubatan di seluruh dunia.

“Ramai orang menganggap masalah seperti kembung, ketidakselesaan perut atau perubahan tabiat pembuangan air besar hanyalah perkara biasa yang akan pulih sendiri.

“Namun, gejala yang berulang atau berubah daripada kebiasaan tidak seharusnya diabaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kepentingan meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan pencernaan dalam kalangan masyarakat.

Menurut Pertubuhan Gastroenterologi Sedunia, gangguan sistem pencernaan terus menjejas jutaan individu di seluruh dunia dan kekal antara punca utama orang ramai mendapatkan rawatan di klinik serta hospital.

Keadaan itu merangkumi pelbagai masalah seperti gastrik, refluks asid, gangguan usus, penyakit hati dan barah kolorektum, yang kian meningkat seiring perubahan gaya hidup moden dan tabiat pemakanan tidak sihat.

Di Singapura pula, barah kolorektal kekal sebagai salah satu barah paling kerap didiagnosis dalam kalangan lelaki dan wanita.

Dr Yip berkata gaya hidup kurang aktif, pengambilan makanan diproses, kekurangan serat, tekanan serta waktu makan yang tidak teratur boleh menjejas kesihatan usus dan sistem penghadaman.

“Ramai individu terlalu sibuk dengan kerja dan komitmen harian sehingga menangguhkan pemeriksaan kesihatan walaupun gejala sudah berlarutan.

“Kadangkala mereka hanya mendapatkan rawatan apabila simptom menjadi semakin mengganggu kehidupan harian,” katanya.

Menurut beliau, gejala pencernaan tidak semestinya menandakan penyakit serius, namun perubahan yang berlaku secara berterusan tetap perlu diberi perhatian.

Antara gejala yang tidak wajar dipandang ringan termasuk perubahan tabiat pembuangan air besar, ketidakselesaan perut yang berpanjangan, hilang selera makan, darah dalam najis, penurunan berat badan tanpa sebab jelas atau keletihan berterusan.

“Tubuh kita biasanya memberi isyarat apabila ada sesuatu yang tidak normal.

“Orang paling mengenali badan mereka sendiri. Jika sesuatu terasa berbeza secara berterusan daripada keadaan biasa, lebih baik mendapatkan pemeriksaan lebih awal,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pemeriksaan awal bukan sahaja membantu mengenal pasti punca gejala, malah boleh memberi ketenangan fikiran kepada pesakit.

Dalam sesetengah keadaan, pengesanan awal juga membolehkan rawatan dimulakan lebih cepat sebelum penyakit menjadi lebih serius.

Dr Yip berkata masih ramai individu memilih untuk bergantung kepada ubat yang dijual bebas bagi mengawal simptom seperti kembung atau sakit perut tanpa mendapatkan penilaian lanjut.

Menurutnya, tindakan itu boleh menyebabkan sesetengah masalah kesihatan terlepas daripada dikesan pada peringkat awal.

“Tidak semua masalah pencernaan berpunca daripada gastrik biasa. Kadangkala gejala yang kelihatan ringan sebenarnya berkaitan dengan keadaan lain yang memerlukan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan pemeriksaan saringan, khususnya bagi individu yang mempunyai sejarah keluarga penyakit usus atau barah kolorektum.

Menurutnya, prosedur seperti kolonoskopi boleh membantu mengesan perubahan awal dalam usus besar sebelum ia berkembang menjadi penyakit yang lebih serius.

“Pengesanan awal memberi peluang rawatan yang lebih baik dan dalam banyak keadaan boleh membantu mencegah komplikasi,” katanya.

Dr Yip berkata masyarakat juga perlu memahami bahawa kesihatan pencernaan berkait rapat dengan gaya hidup harian.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan pemakanan seimbang, meningkatkan pengambilan serat, minum air secukupnya dan melakukan kegiatan fizikal secara berkala.

Selain itu, katanya, pengurusan tekanan dan waktu makan yang lebih teratur juga penting bagi menjaga kesejahteraan sistem pencernaan.

“Kesihatan pencernaan sering diabaikan kerana gejalanya dianggap kecil atau sementara.

“Namun, memberi perhatian kepada perubahan kecil pada tubuh boleh membantu seseorang mendapatkan rawatan lebih awal apabila diperlukan,” katanya.

Beliau berkata mendapatkan nasihat perubatan lebih awal dapat membantu pesakit memahami keadaan sebenar, mengenal pasti punca gejala dan menentukan langkah rawatan yang paling sesuai.