Topic followed successfully
Go to BHkuJuadah Raya dan realiti kesihatan: Masa untuk berubah
Juadah Raya dan realiti kesihatan: Masa untuk berubah
Ramadan beri peluang perbaiki tabiat sedia ada. Teruskan pembaharuan itu mulai hari ini agar kita dapat capai tahap kesihatan dan kehidupan yang lebih baik pada esok hari
Juadah Raya dan realiti kesihatan: Masa untuk berubah
Ibadah yang bertambah dan disiplin yang meningkat di bulan Ramadan diharapkan dapat berpanjangan hingga ke bulan-bulan kemudian. Begitu jua diharapkan kesihatan kita.
Tahap kesihatan yang kurang baik di bahagian utara Singapura, dengan kadar penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi yang melebihi purata nasional, seharusnya menjadi peringatan kepada kita semua untuk menilai semula keperluan dan amalan kesihatan masing-masing.
Sebelum menyalahkan sesiapa, tepuk dada tanya selera. Adakah keperluan seharian setiap individu sama?
Memasuki minggu kedua dan ketiga sambutan Hari Raya, pelbagai juadah yang tersedia terus menambah keterujaan kita sepanjang perayaan ini.
Pemilihan makanan seharusnya bukan sekadar mengikut selera, tetapi disesuaikan dengan keperluan dan kemampuan tubuh pada waktu tertentu. Jadikan aktiviti berjalan kaki dan naik turun tangga ketika beraya sebagai satu tanda kejayaan dalam menjaga kesihatan.
Ramadan telah memberi peluang untuk memperbaiki tabiat sedia ada. Teruskan pembaharuan itu mulai hari ini agar kita dapat mencapai tahap kesihatan dan kehidupan yang lebih baik pada esok hari.
Nikmati Hidangan Hari Raya sambil mengurus kesihatan dan kecergasan
Bagi yang menyediakan hidangan Hari Raya, marilah kita kembali kepada budaya tradisi dengan menjadikan ulam-ulaman sebagai pembuka selera seperti dahulu. Dengan tubuh yang sihat, InsyaAllah masa hadapan juga lebih terpelihara.
Namun, tidak semua perkara berpunca daripada gaya hidup semata-mata, terutama jika kita telah berusaha sebaik mungkin. Bagi mereka yang mempunyai indeks jisim badan yang tinggi, adalah disarankan untuk mendapatkan nasihat pakar kesihatan agar pengurusan diri dapat disesuaikan mengikut keperluan tubuh semasa.
Dapatkan penilaian komposisi badan sebagai langkah untuk mengurangkan jisim lemak dan meningkatkan jisim otot. Jadikan penilaian ini sebagai panduan harian dalam mencapai matlamat kesihatan dan kecergasan yang lebih baik. Pelbagai pilihan rawatan dan intervensi juga tersedia, bergantung kepada keperluan setiap individu.
Dalam pengurusan penyakit kencing manis, pemantauan paras glukosa tetap penting, terutama sepanjang Ramadan dan Syawal apabila waktu makan tidak menentu. Analisis corak bacaan glukosa, khususnya melalui penggunaan alat pemantauan glukosa berterusan, dapat membantu menyesuaikan paras gula dengan pengambilan makanan dan aktiviti harian.
Maklumat ini dapat membantu mengorak langkah yang perlu diambil, mengimbangi pemakanan, kegiatan seharian sekali gus menyelaraskan rawatan suntikan atau ubat makan agar lebih berkesan. Rawatan kini bukan sahaja mengawal tahap glukosa tetapi bagi memperbaiki risiko penyakit jantung dan kesihatan ginjal.
Dalam rawatan penyakit darah tinggi, pengurangan garam dalam pemakanan sememangnya penting, namun langkah itu sahaja tidak mencukupi. Pemeriksaan lanjut perlu dijalankan bagi mengesan kemungkinan punca lain seperti ketidakseimbangan hormon atau penyakit buah pinggang, agar rawatan dapat disesuaikan dengan punca sebenar. Dalam keadaan tertentu, pendekatan rawatan yang lebih khusus malah berpotensi memberikan kesan pemulihan yang lebih baik.
Juadah Hari Raya lazimnya tinggi kandungan lemak. Oleh itu, bahan masakan boleh diubah kepada pilihan yang lebih sihat, contohnya menggantikan minyak masak biasa dengan minyak zaitun tanpa menjejaskan rasa hidangan.
Pengambilan lemak yang berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit jantung dan angin ahmar. Bagi individu yang mempunyai faktor keturunan, selain mengawal pemakanan, terdapat juga pilihan rawatan yang tersedia, termasuk suntikan berkala sama ada setiap dua minggu atau dua kali setahun, bergantung kepada keperluan pesakit.
Penyakit-penyakit yang disebutkan ini membentuk sindrom metabolik yang boleh membawa pelbagai komplikasi kesihatan dalam jangka panjang. Antaranya termasuk serangan jantung, angin ahmar, kerosakan buah pinggang, penyakit hati berlemak, masalah pernafasan seperti apnea tidur obstruktif, osteoartritis lutut, gangguan kesuburan termasuk sindrom ovari polisistik, serta kemurungan.
Rawatan yang sesuai, selari dengan perubahan gaya hidup, mampu membantu mengawal sindrom metabolik dengan lebih baik, malah dalam sesetengah keadaan berpotensi memperbaiki atau memulihkan beberapa masalah kesihatan yang berkaitan.
Pesakit yang menjalani rawatan yang diperlukan serta mengamalkan perubahan gaya hidup seawal mungkin bukan sahaja dapat mengawal atau merawat penyakit berkaitan, malah berupaya meningkatkan kualiti hidup dari segi kesihatan, termasuk kesejahteraan fizikal, mental dan sosial.
Semoga Hari Raya Aidilfitri kali ini lebih sihat dan bermakna.
Penulis Pakar Perunding Kanan Endokrinologi di Ascensus Health Specialist Centre


