Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Berdengkur ketika tidur isyarat masalah kesihatan

Dec 29, 2025 | 5:30 AM
sleep apnea, dengkur, pernafasan
Apnea Tidur Obstruktif (OSA) berlaku apabila tidur terganggu akibat jeda atau pengurangan pernafasan secara berkala, yang disebabkan oleh halangan atau rintangan separa atau sepenuhnya pada saluran pernafasan atas. - Foto ISTOCKPHOTO

Malam seharusnya menjadi ruang paling tenang untuk tubuh berehat dan pulih.

Namun bagi Encik Ahmad (nama samaran), 46 tahun, malam selama berbulan-bulan berubah menjadi medan yang menakutkan, penuh dengan detik terjaga secara mengejut, nafas tersekat dan keletihan yang tidak pernah hilang walaupun mata terpejam berjam-jam.

Dengkuran yang pada awalnya dianggap sekadar gangguan biasa dalam tidur akhirnya membawa Ahmad kepada satu realiti yang tidak pernah dibayangkan.

Di sebalik bunyi nafas kasar pada waktu malam itu tersembunyi satu diagnosis perubatan yang sering terlepas pandang tetapi berisiko tinggi, iaitu atau Apnea Tidur Obstruktif (OSA).

Encik Ahmad memberitahu segalanya bermula kira-kira enam bulan lalu apabila beliau mula merasakan ketidakselesaan berterusan di bahagian tekak.

Pada mulanya, ia kelihatan seperti masalah kecil yang tidak memerlukan perhatian.

Namun lama-kelamaan, tidurnya menjadi semakin terganggu.

Hampir setiap malam, Encik Ahmad akan terjaga secara tiba-tiba, tercungap-cungap seolah-olah kehabisan udara dengan dada berombak dan jantung berdegup laju dalam kegelapan.

Menurut Encik Ahmad, pengalaman itu bukan sahaja mengganggu tidur, malah mencetuskan rasa takut yang sukar dijelaskan.

Beliau tidak tahu bila episod seterusnya akan berlaku.

Adakalanya, beliau hanya sempat tertidur seketika sebelum dikejutkan semula oleh rasa tercekik yang kuat. Keesokan paginya pula, tubuhnya terasa lesu, kepala berat dan minda sukar untuk fokus.

Beliau sering bangun dalam keadaan lebih penat berbanding sebelum tidur.

Rasa mengantuk pada waktu siang menjadi teman setia, menjejaskan prestasi kerja dan kehidupan seharian.

Pada peringkat itu, beliau masih menyangka keletihan tersebut berpunca daripada tekanan kerja atau faktor usia.

Keadaan mula menimbulkan kebimbangan apabila anggota keluarganya memaklumkan bahawa dengkurannya sangat kuat dan tidak teratur.

Kadangkala, dengkuran itu terhenti secara tiba-tiba sebelum disusuli bunyi seperti tercekik. Encik Ahmad berkata maklumat itulah yang akhirnya mendorongnya mendapatkan rawatan perubatan.

Pemeriksaan klinikal mendapati keadaan kesihatan umum Encik Ahmad stabil.

Namun pemeriksaan klinikal yang dilakukan di dalam rongga mulut atau dikenali sebagai intraoral mendedahkan satu penemuan penting iaitu uvula (anak tekak) Encik Ahmad, bahagian kecil yang tergantung di belakang tekak, kelihatan lebih panjang dan membesar daripada biasa.

Doktor menjelaskan kepadanya keadaan ini dikenali sebagai uvula hiperplasia, iaitu pembesaran tisu yang boleh menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit ketika tidur.

Encik Ahmad berkata doktor turut melakukan penilaian menggunakan skor Mallampati, satu kaedah klinikal untuk menilai ruang di dalam mulut dan tekak.

Keputusan menunjukkan skor Kelas II, yang bermaksud sebahagian besar uvula dan lelangit lembut masih kelihatan, namun ruang pernafasan sudah menunjukkan tanda-tanda penyempitan.

Berdasarkan sejarah gangguan tidur yang dialami Ahmad, termasuk episod tercekik berulang kali ketika tidur serta penemuan uvula hiperplasia semasa pemeriksaan, doktor membuat diagnosis sementara bahawa beliau berkemungkinan menghidap OSA.

Uvula hiperplasia merujuk kepada keadaan anak tekak yang membesar atau memanjang akibat pertumbuhan tisu berlebihan, yang boleh menyempitkan saluran pernafasan, terutama ketika tidur.

Keadaan ini sering dikaitkan dengan dengkuran kuat dan gangguan pernafasan semasa tidur.

Bagaimanapun, beberapa diagnosis lain turut dipertimbangkan, termasuk kista epidermoid uvula, iaitu ketumbuhan jinak yang tumbuh perlahan dan boleh menyebabkan rasa tidak selesa atau gangguan pernafasan jika membesar, serta papiloma uvula akibat jangkitan virus papilomavirus manusia (HPV), yang menyebabkan pertumbuhan tisu tidak normal pada tisu lembut mulut dan tekak.

Doktor menegaskan bahawa pemeriksaan lanjut diperlukan bagi mengesahkan punca sebenar sebelum rawatan yang sesuai ditentukan.

Narcolepsy, satu gangguan tidur kronik yang menyebabkan rasa mengantuk melampau secara tiba-tiba, juga diketepikan kerana masalah utama Encik Ahmad bukan tertidur secara tidak terkawal, sebaliknya gangguan pernafasan ketika tidur malam.

Encik Ahmad berkata ketika itu barulah beliau benar-benar memahami maksud OSA.

OSA merupakan keadaan di mana saluran pernafasan atas tersumbat atau runtuh berulang kali semasa tidur.

Setiap kali episod ini berlaku, aliran udara terhenti, paras oksigen menurun dan otak terpaksa mengejutkan tubuh untuk bernafas semula.

Proses ini boleh berlaku puluhan kali dalam satu malam tanpa disedari pesakit, menyebabkan tidur sering terganggu dan tidak bermutu.

Menurut doktor yang merawatnya, uvula yang membesar adalah penemuan klinikal yang biasa dalam kalangan pesakit OSA.

Apabila otot-otot badan menjadi relaks semasa tidur, tisu di bahagian belakang tekak mudah runtuh dan menyekat laluan udara.

Keadaan ini menjelaskan mengapa pesakit sering terjaga dengan rasa sesak nafas walaupun tidak sedar punca sebenarnya.

Encik Ahmad berkata beliau terkejut apabila mengetahui bahawa OSA adalah masalah kesihatan yang meluas tetapi sering tidak didiagnosis.

Ramai pesakit menganggap berdengkur kuat, keletihan melampau dan mengantuk pada waktu siang sebagai perkara biasa, sedangkan simptom-simptom tersebut boleh menjadi petanda awal kepada penyakit serius.

Pakar perubatan menjelaskan bahawa OSA bukan sekadar gangguan tidur.

Jika tidak dirawat, ia boleh meningkatkan risiko tekanan darah tinggi, penyakit jantung, angin ahmar, diabetes jenis dua, gangguan irama jantung dan masalah kognitif.

Risiko ini lebih tinggi dalam kalangan individu yang obes, perokok, pesakit jantung, mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi yang sukar dikawal, serta pesakit diabetes.

Encik Ahmad berkata beliau ditawarkan beberapa pilihan rawatan, termasuk rawatan pembedahan untuk mengurangkan halangan pada saluran pernafasan.

Namun beliau memilih untuk menangguhkan keputusan tersebut sementara waktu.

Menurut Encik Amad, keputusan itu dibuat kerana beliau mahu memahami sepenuhnya keadaan yang dialaminya serta pilihan rawatan yang ada.

Baginya, ini bukan sekadar soal rawatan, tetapi soal mutu hidup jangka panjang.

Pengalaman ini mengubah persepsi Encik Ahmad terhadap tidur.

Beliau menyedari bahawa tidur bukan sekadar tempoh rehat, tetapi satu proses penting yang menentukan kesihatan fizikal dan mental seseorang.

Apabila tidur terganggu, seluruh sistem tubuh turut terkesan.

Beliau berkata pengalaman yang dilaluinya menyedarkan dirinya agar tidak lagi memandang ringan masalah dengkuran serta keletihan yang berpanjangan.

Dalam banyak kes, bunyi dengkuran yang kedengaran biasa di tengah malam mungkin sebenarnya isyarat halus tubuh yang sedang bergelut untuk bernafas.

“Dalam dunia perubatan moden, dengan pendekatan rawatan pelbagai disiplin dan kesedaran yang semakin meningkat, OSA sebenarnya boleh dikesan dan dirawat lebih awal.

“Namun bagi saya, langkah pertama tetap bermula dengan mendengar isyarat tubuh sendiri sebelum semuanya menjadi terlambat,” kata Encik Ahmad.

Peka dengan gejala ditunjuk tubuh

Dalam dunia perubatan moden, dengan pendekatan rawatan pelbagai disiplin dan kesedaran yang semakin meningkat, OSA sebenarnya boleh dikesan dan dirawat lebih awal. Namun bagi saya, langkah pertama tetap bermula dengan mendengar isyarat tubuh sendiri sebelum semuanya menjadi terlambat.
Encik Ahmad (nama samaran).
Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg