SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

MB Johor tinjau operasi Woodlands, pelajari teknologi QR, pengecaman wajah

MB Johor tinjau operasi Woodlands, pelajari teknologi QR, pengecaman wajah

Johor-S’pura perkukuh kerjasama sempadan, tumpu kelancaran pergerakan harian
Apr 2, 2026 | 3:03 PM

MB Johor tinjau operasi Woodlands, pelajari teknologi QR, pengecaman wajah

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kanan), menyampaikan cenderamata kepada  Menteri Penyelaras Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri Singapura, Encik K. Shanmugam.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kanan), menyampaikan cenderamata kepada  Menteri Penyelaras Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri Singapura, Encik K. Shanmugam. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pemeriksaan Woodlands di Singapura bagi meneliti secara langsung operasi pintu sempadan antara Johor dan republik itu yang mengendalikan ratusan ribu pergerakan setiap hari.

Lawatan tersebut diadakan atas jemputan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri Singapura, Encik K. Shanmugam.

“Saya telah menerima jemputan daripada Encik K. Shanmugam untuk mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pemeriksaan Woodlands bagi melihat sendiri operasi pintu sempadan Johor–Singapura,” katanya dalam satu kenyataan pada 1 April.

Menurut beliau, lawatan itu memberi peluang untuk memahami secara lebih mendalam sistem pengurusan sempadan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa Singapura.

“Saya turut diberi taklimat oleh pihak Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura mengenai pelaksanaan sistem pelepasan imigresen berasaskan kod QR serta penggunaan pengecaman wajah sebagai identiti biometrik utama,” katanya.

Beliau berkata penggunaan teknologi tersebut bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan, malah mempercepatkan aliran trafik di pintu sempadan, khususnya bagi pengguna harian yang berulang-alik antara Johor dan Singapura.

“Pendekatan ini membantu melancarkan pergerakan di sempadan, terutama bagi mereka yang berulang-alik setiap hari,” katanya.

Datuk Onn Hafiz turut memaklumkan teknologi pengecaman wajah kini diperluaskan kepada penunggang motosikal di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

“Bermula 31 Mac lalu, teknologi ini diperluaskan kepada penunggang motosikal di 18 lorong automatik dan akan diperluaskan secara berperingkat ke semua 70 lorong serta ke Pusat Pemeriksaan Tuas menjelang suku ketiga tahun ini (2026),” katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan teknologi tersebut mencerminkan usaha berterusan memperkukuh kecekapan sistem sempadan secara menyeluruh.

Selepas lawatan itu, beliau bersama Encik Shanmugam turut mengadakan pertemuan tidak rasmi di Johor Bahru bagi membincangkan kerjasama dua hala.

“Kami berkesempatan bersarapan pagi sambil membincangkan usaha memperkukuh kerjasama strategik Johor-Singapura selari dengan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura,” katanya.

Beliau berkata inisiatif tersebut dilihat sebagai pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi serantau.

Dalam pada itu, Datuk Onn Hafiz merakamkan penghargaan kepada rakan sejawatnya dari Singapura atas jemputan dan kesudian meluangkan masa bagi lawatan tersebut.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik K. Shanmugam atas jemputan dan sesi perbincangan ini,” katanya.

Beliau berharap pertemuan itu akan terus memperkukuh hubungan antara Johor dan Singapura demi kepentingan bersama.

“Semoga pertemuan ini terus memperkukuh hubungan Johor–Singapura demi kemaslahatan kedua-dua pihak,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg