Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerjaya manusiawi: Tabur bakti temui jati diri
Sempena Hari Kemanusiaan Sedunia pada 19 Ogos, kakitangan Palang Merah Singapura kongsi pengalaman santuni anggota masyarakat di mana-mana jua
Kerjaya manusiawi: Tabur bakti temui jati diri
Apabila menyebut tentang kerja kemanusiaan, ramai membayangkan doktor yang bertugas di kawasan perang, pasukan penyelamat di lokasi bencana atau sukarelawan yang dihantar ke negara yang dilanda krisis.
Namun, bagi dua kakitangan Palang Merah Singapura (SRC), kerja kemanusiaan tidak semestinya bermula di luar negara.
Perjalanan mereka bermula dengan golongan yang memerlukan dalam masyarakat di Singapura.
Antara mereka yang sering turun padang dan membantu anggota masyarakat tempatan ialah Encik Muhammad Daniel Samu Wel.
Bagi Encik Daniel, 34 tahun, kerjaya dalam bidang kemanusiaan bukanlah sesuatu yang pernah dirancang.
Selepas menamatkan Perkhidmatan Negara (NS) bersama Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), beliau pada awalnya bercadang membantu perniagaan ibunya sebelum ditawarkan bekerja sebagai pemandu di Palang Merah Singapura oleh seorang saudara.
Apa yang sepatutnya hanya pekerjaan sementara akhirnya bertukar menjadi kerjaya yang kini sudah menjangkau lebih sedekad.
“Pada awalnya saya mengambil pekerjaan sepenuh masa ini supaya saya dapat meningkatkan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan beli rumah.
“Tetapi, lama-kelamaan, apabila saya bekerja, saya lihat secara peribadi bagaimana kerja saya membantu orang lain.
“Pada masa yang sama, ia membuat hati saya rasa tenang,” katanya yang sudah berkhidmat selama 10 tahun dalam pertubuhan itu.
Melalui pengalamannya, Encik Daniel, yang kini merupakan Eksekutif, Program Pertolongan Kecemasan, menyifatkan pengalaman tersebut telah mengubah dirinya menjadi seorang yang lebih matang.
“Dulu saya suka melepak dan buang masa.
“Selepas sertai SRC dalam kerja kemanusiaan, saya rasa saya menjadi individu yang lebih matang,” katanya dalam satu episod podcast Berita Harian (BH), NoTapis baru-baru ini.
Turut menyertai perbincangan itu merupakan Encik Mohammad Indera Putra Abdullah, 24 tahun.
Bagi Encik Indera pula, minat untuk membantu masyarakat bermula sejak di bangku sekolah apabila beliau menyertai program sukarelawan bagi mendidik warga emas tentang skim penipuan dalam talian.
Hasratnya untuk terus berbakti semakin kukuh selepas kecederaan kaki yang dialami ketika NS menyebabkan impiannya untuk menjadi anggota bomba tidak kesampaian.
Meskipun impian tersebut tidak tercapai, ia tidak pernah menghalang anak muda itu daripada mencari peluang lain.
Bermula sebagai sukarelawan bersama SRC pada 2022, Encik Indera berpeluang mendekati masyarakat melalui Kedai Amal di Palang Merah Singapura dan program, ‘First Aiders on Wheel’.
Pengalaman selama empat tahun sebagai sukarelawan akhirnya mendorong beliau menyertai SRC sebagai kakitangan sepenuh masa pada Jun lalu sebagai Penyelaras Projek bagi program Tindak Balas Kecemasan Awam.
Bagi pelajar sambilan Politeknik Republic itu, kepuasan sebenar bukan datang daripada jawatan yang disandang, tetapi daripada peluang untuk melihat sendiri kesan kecil yang mampu diberikan kepada orang lain.
“Kadang-kadang saya rasa penat sebab saya juga bekerja sambil belajar secara sambilan.
“Tetapi apabila orang yang kita bantu mengucapkan terima kasih, kita rasa macam apa yang kita lakukan itu benar-benar bermakna,” kata pelajar bidang pengurusan perniagaan itu.
Menurut Encik Indera, pengalaman sebagai sukarelawan turut membentuk keyakinan dirinya.
Di samping itu, penglibatan beliau dalam kerja sukarelawan turut menemukannya dengan individu daripada pelbagai latar belakang yang berkongsi matlamat serupa.
“Saya belajar bahawa kita semua datang daripada pekerjaan yang berbeza. Ada saintis, ada ahli psikologi, tetapi apabila kita menjadi sukarelawan, semua orang sama.
“Semua datang dengan niat untuk membantu dan kita belajar daripada satu sama lain,” tambahnya.
Sempena Hari Kemanusiaan Sedunia pada 19 Ogos, Encik Indera berharap lebih ramai individu akan menyedari bahawa usaha kemanusiaan sebenarnya boleh bermula dalam masyarakat di Singapura.
Menurutnya, masih terdapat salah tanggapan bahawa kerja kemanusiaan hanya boleh dilakukan di luar negara atau memerlukan kemahiran perubatan.
Hakikatnya, Encik Indera berkata sesiapa sahaja boleh menyumbang kepada masyarakat mengikut kemampuan masing-masing.
Berkongsi pandangan serupa, Encik Daniel berkata antara bentuk kerja kemanusiaan yang boleh dilakukan termasuk membantu jiran, meluangkan masa bersama warga emas atau sekadar mengambil berat tentang rakan dan keluarga.
Bagi kededua mereka, kerja kemanusiaan tidak semestinya bermula di luar negara, tetapi dengan kesediaan untuk membantu mereka yang memerlukan dalam masyarakat sendiri.
“
“Saya belajar bahawa kita semua datang daripada pekerjaan yang berbeza. Ada saintis, ada ahli psikologi, tetapi apabila kita menjadi sukarelawan, semua orang sama. Semua datang dengan niat untuk membantu dan kita belajar daripada satu sama lain.”