Topik diikuti
Pergi ke BHkuBawa seni warisan Melayu ke TikTok, YouTube agar kekal kelevan bagi golongan muda
Seni warisan dapat pupuk kreativiti, kebolehan berkomunikasi dan keupayaan sampaikan idea
Bawa seni warisan Melayu ke TikTok, YouTube agar kekal kelevan bagi golongan muda
Seni warisan Melayu perlu diperkenalkan kepada golongan muda melalui pendekatan yang lebih dekat dengan kehidupan mereka hari ini.
Pendekatan tersebut boleh dilakukan dengan penggunaan wadah digital seperti media sosial, kata satu panel dalam podcast langsung Berita Harian (BH), NoTapis, semasa Festival Belia DKSG (Dikir Singapura) 2026 di auditorium Taman Warisan Melayu pada 11 Julai.
Podcast langsung bertajuk, ‘Minat Warisan Budaya, Belia Boleh Berjaya?’ itu dihoskan penerbit NoTapis BH, Cik Natasha Mustafa, dan menampilkan Pengarah Eksekutif, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Didicazli Ismail; pengasas syarikat teknologi dan arkitek data, Encik Shamir Rahim; serta tukang karut muda kumpulan Endang Ratiana daripada Politeknik Republic, Cik Nur Syahindah Aqilah Zakaria.
Mengulas tanggapan bahawa golongan muda hari ini semakin kurang menghargai seni dan warisan, Encik Didicazli berkata beliau tidak bersetuju dengan persepsi tersebut.
Sebaliknya, menurut beliau, cabaran sebenar ialah bagaimana seni warisan diperkenalkan kepada generasi yang kini membesar dalam dunia digital.
“Dulu, seni tidak mempunyai banyak saingan.
“Zaman sekarang, apa yang belia lihat setiap hari ialah TikTok, media sosial dan budaya K-pop, budaya pop dan sebagainya,” katanya.
“Bukan mereka tidak memandang kepentingan seni warisan, tetapi persoalannya ialah sejauh mana ia hadir dalam ruang digital yang mereka gunakan setiap hari,” tambah beliau.
Encik Didicazli berkata seni warisan tidak lagi boleh bergantung kepada persembahan di pentas semata-mata, sebaliknya perlu dibawa ke platform yang menjadi sebahagian daripada kehidupan harian golongan muda.
Pandangan itu turut dikongsi Encik Shamir, yang berpendapat medium penyampaian perlu berubah mengikut perkembangan semasa.
“Kalau kita masih menggunakan cara lama untuk mempromosikan seni, ia tidak akan relevan.
“Kita perlu berada di TikTok, YouTube Shorts dan platform yang digunakan oleh anak muda hari ini,” katanya.
Meskipun mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi, Encik Shamir berkata seni dan budaya tetap memainkan peranan penting dalam membentuk kemahiran yang diperlukan pada masa hadapan.
Beliau berkata kreativiti, kebolehan berkomunikasi dan keupayaan menyampaikan idea merupakan antara kemahiran yang semakin diperlukan dalam dunia pekerjaan, termasuk dalam sektor teknologi.
“Pada saya, budaya itulah tempatnya asal usul kreativiti dan imaginasi.
“Ia merupakan nilai manusia dan ia diperlukan apabila kita cuba untuk menyelesaikan suatu masalah,” tambah Encik Shamir.
Cik Nur Syahindah Aqilah, pula menyifatkan media sosial sebagai antara faktor yang mendorong beliau mendekati seni dikir barat.
“Saya pun pernah nampak banyak video di TikTok dan YouTube tentang dikir barat serta tarian.
“Jadi saya rasa media sosial telah memainkan peranan yang terbesar terutama dalam kalangan generasi saya,” katanya.
Beliau, yang mula menyertai kumpulan dikir barat di Politeknik Republic selepas ingin mendekatkan diri dengan warisan Melayu, berkata lebih banyak peluang perlu diwujudkan untuk memperkenalkan seni warisan kepada golongan muda.
Antara usaha yang disarankan bagi menarik minat anak muda ialah mengadakan lebih banyak bengkel untuk mereka meneroka seni dan budaya Melayu.
“Melalui bengkel-bengkel yang diadakan, anak muda akan terdedah kepada seni dan budaya kita dengan lebih mendalam berbanding hanya di media sosial,” kongsinya.
