Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerap tukar kerja tidak semestinya petanda kurang komitmen
Kerap tukar kerja tidak semestinya petanda kurang komitmen
Pakar modal insan: Kekerapan beralih kerjaya dengan matlamat jelas mampu asah kemahiran, tidak mungkin dicapai dalam zon selesa
Kerap tukar kerja tidak semestinya petanda kurang komitmen
Dalam tempoh kurang sedekad, Cik Nur Khairah Abdul Rahim telah bertukar kerja empat kali, satu perjalanan kerjaya yang mungkin dilihat sebagai tidak stabil oleh sesetengah pihak.
Jika mengikut piawaian biasa, laluan seperti ini sering dilabel sebagai ‘job-hopping’ atau kerap bertukar pekerjaan dalam masa singkat, seolah-olah mencerminkan kurangnya komitmen diri.
Namun, apabila dilihat dengan lebih mendalam, perjalanan Cik Khairah, 39 tahun, sebenarnya menggambarkan beberapa keputusan hidup yang dirancang dengan teliti.
Keputusan beliau dipandu oleh matlamat, keutamaan hidup yang berubah, serta kesedaran diri yang semakin matang.
Laluan tidak bergaris lurus atau linear ini boleh menjadi perkara positif untuk kerjayanya, kata Penolong Pengarah, Modal Insan dan Pertubuhan di *SCAPE Co Ltd, Encik Mohd Adam Mohd Basor.
Namun, beliau turut menambah walaupun seseorang itu kekal lebih lama dalam sesebuah pertubuhan atau dipanggil ‘job-hugging’, di sebalik dirinya menikmati kestabilan dan pertumbuhan berterusan, terdapat juga risiko jika individu tersebut gagal menyesuaikan diri.
Dalam satu episod podcast NoTapis, Cik Nur Khairah berkata beliau sebenarnya tidak menjangkakan dirinya akan dilabel sebagai ‘job-hopper’.
Sebaliknya, setiap perubahan pekerjaan dibuat dengan pertimbangan mendalam.
“Pada pendapat saya setiap peralihan pekerjaan yang saya lakukan sebenarnya dilakukan dengan analisis, proses penilaian diri dan renungan.
“Bagi saya, saya ingin memiliki pertumbuhan kerjaya sendiri dan inilah yang menjadi motivasi utama saya.
“Ketika itu, apabila saya beralih pekerjaan, saya rasa saya tidak dapat berkembang lagi dalam syarikat tersebut dan peluang yang sedia ada tidak sesuai dengan apa yang saya ingin pelajari,” jelas ibu dua anak itu.
Perjalanan kerjayanya bermula pada 2011 dalam bidang pemasaran rantauan, di mana beliau kekal selama enam tahun hingga 2017.
Kemudian pada 2017, Cik Khairah beralih ke sebuah syarikat baharu sebagai pengarah pemasaran selama hampir tiga tahun sebelum beliau menyertai program ‘Entrepreneur-in-residence’ di bawah firma modal teroka selama tiga bulan, dari Ogos hingga November 2019.
Pengalaman singkat tetapi mendalam tersebut menjadi titik perubahan penting, membuka laluan baginya meneroka dunia keusahawanan dan mengambil langkah menjadi pengasas bersama sebuah syarikat pengiklanan, Independents.
Melalui syarikat tersebut, beliau berpeluang mengendalikan projek merentasi pelbagai industri, termasuk sektor pemerintah, penjagaan kesihatan dan tenaga lestari.
Menurut Cik Nur Khairah, keadaan sedemikian mungkin tidak dapat dicapai sekiranya beliau kekal dalam satu pekerjaan tetap.
Selain itu, antara 2022 dengan 2023, beliau turut memegang peranan sambilan sebagai pengurus besar di sebuah badan kebajikan, sekali gus mencerminkan pendekatannya yang mudah dilentur dan terbuka dalam membina kerjaya.
Menurut Encik Adam, fenomena ‘job-hopping’ kini semakin menjadi norma dalam pasaran pekerjaan hari ini.
“Bertukar-tukar kerja dalam era dan generasi sekarang ini… kita melihatnya sebagai satu kebiasaan,” katanya.
Namun, beliau mengakui stigma terhadap mereka yang kerap bertukar pekerjaan masih wujud dalam kalangan majikan.
“Meskipun ia menjadi sesuatu kebiasaan, ia tetap satu tanda amaran buat para majikan.
“Sekiranya mereka beralih pekerjaan dengan terlalu kerap, sebagai majikan, kita harus lihat jika mereka dapat selesaikan projek atau pekerjaan yang diperlukan serta memberi impak kepada syarikat itu,” katanya.
Namun begitu, Encik Adam juga menegaskan peralihan pekerjaan yang kerap tidak semestinya sesuatu yang negatif.
Dengan lebih 20 tahun pengalaman tenaga kerja, beliau berkata jika peralihan pekerjaan dilakukan dengan tujuan yang jelas, ia boleh membawa pelbagai manfaat seperti peningkatan gaji, jawatan dan pembelajaran.
“Kita harus lihat situasi mereka juga.
“Ada yang memilih untuk menukar pekerjaan disebabkan faktor yang berbeza seperti peningkatan gaji, jawatan dan juga pembelajaran.
“Peralihan itu juga memberi peluang bagi mereka membina rangkaian mereka sendiri,” katanya.
Pada masa yang sama, Encik Adam menekankan kekal lama dalam satu pekerjaan atau ‘job-hugging’ juga mempunyai kelebihan tersendiri.
Antaranya termasuk kestabilan, peluang kenaikan pangkat serta pembangunan kerjaya secara mendalam dalam sesebuah syarikat.
Namun, beliau mengingatkan terdapat juga risiko jika seseorang berada terlalu lama dalam zon selesa.
“Jika anda berada dalam satu syarikat yang sama buat jangka masa yang lama, ada kemungkinan anda tidak berkembang,” katanya.
Malah, dalam situasi tertentu seperti penyusunan semula syarikat, individu yang telah lama berada dalam sesebuah pertubuhan juga boleh terjejas sekiranya kemahiran mereka tidak lagi seiring dengan keperluan semasa.
Namun begitu, Encik Adam menegaskan sama ada seseorang itu memilih untuk bertukar pekerjaan atau kekal dalam sesebuah syarikat, kedua-duanya bukanlah salah atau betul secara am.
“Setiap situasi berbeza dengan ada yang memilih untuk beralih atas sebab tertentu.
“Yang penting adalah untuk mereka merenungkan mengapa mereka ingin beralih atau kekal dalam syarikat tersebut dan membuat keputusan tanpa ragu-ragu,” ujar Encik Adam.
“
“Pada pendapat saya setiap peralihan pekerjaan yang saya lakukan sebenarnya dilakukan dengan analisis, proses penilaian diri dan renungan. Bagi saya, saya ingin memiliki pertumbuhan kerjaya sendiri dan inilah yang menjadi motivasi utama saya. Ketika itu, apabila saya beralih pekerjaan, saya rasa saya tidak dapat berkembang lagi dalam syarikat tersebut dan peluang yang sedia ada tidak sesuai dengan apa yang saya ingin pelajari.”“
“Bertukar-tukar kerja dalam era dan generasi sekarang ini… kita melihatnya sebagai satu kebiasaan... Kita harus lihat situasi mereka juga. Ada yang memilih untuk menukar pekerjaan disebabkan faktor yang berbeza seperti peningkatan gaji, jawatan dan juga pembelajaran. Peralihan itu juga memberi peluang bagi mereka membina rangkaian mereka sendiri.”