Walaupun Cik Atikah Syarah Ismail baru-baru ini mendapat perhatian ramai dalam talian selepas menyertai ekspedisi ekstrem, Fjallraven Polar 2026 ke Artik Scandinavia, beliau menegaskan dirinya bukanlah seorang pengembara ekstrem mahupun atlet profesional.

Fjallraven Polar merupakan ekspedisi anjing gelongsor, atau dog sledding, yang memerlukan peserta menempuh perjalanan sejauh 300 kilometer, merentasi Artik Scandinavia (kawasan sekitar Sweden dan Norway), dari 27 Mac hingga 2 April lalu.

Acara itu dikendalikan jenama peralatan kembara dan kegiatan luar Sweden, Fjallraven.

Peserta memulakan ekspedisi di kawasan Lapland di Sweden dan tamat di kawasan fjord, atau serokan laut Norway.

Perjalanan itu melintasi kawasan tundra beku yang sangat mencabar, dan suhu boleh menjunam sehingga -30 darjah Celsius.

Yang menariknya, Cik Atikah, 35 tahun, seorang pekerja sosial di agensi khidmat sosial untuk urusan ibu bapa dan anak titipan, PPIS Oasis, merupakan antara 20 peserta yang dipilih dari seluruh dunia melalui satu proses permohonan dengan saingan sengit.

Syarat utama yang perlu dipenuhi bukanlah pengalaman, tetapi keinginan untuk belajar.

Fjallraven mahu membuktikan sesiapa sahaja boleh menjadi pengembara Artik jika mempunyai peralatan dan ilmu yang betul.

Menceritakan pengalamannya dalam satu episod podcast NoTapis terbitan Berita Harian (BH), Cik Atikah, yang meluangkan masa melawat keluarga, menyokong anak-anak titipan serta membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan yang lebih stabil, dalam tugas hariannya, berseloroh:

“Saya sebenarnya tidak bekerja dengan anjing, saya bekerja dengan manusia!

“Tetapi melalui pengalaman saya di Artik, saya rasa ia membuat saya merenung bagaimana saya boleh menyokong klien saya dengan lebih baik.”

Kali pertama Singapura menghantar wakil ke ekspedisi, Fjallraven Polar, adalah pada 2022.

Encik Mohd Ali Al-Hadi Rosman, yang bertugas sebagai pekerja pengiriman, awalnya dijadual berangkat bagi ekspedisi itu pada 2020, setelah dipilih dalam kalangan lebih 2,000 peserta dari merata dunia.

Beliau, bagaimanapun, hanya berangkat pada 2022, ekoran pandemik Covid-19.

Menurut Cik Atikah, beliau berada dalam suasana yang jauh berbeza di sebalik rutin hariannya.

Sepanjang ekspedisi lima hari itu, suhu di Artik amat dingin sehingga paras -35 darjah Celsius.

Fjallraven Polar’ merupakan ekspedisi anjing gelongsor, dan peserta harus menempuh perjalanan sejauh 300 kilometer, merentasi Artik Scandinavia – kawasan di Sweden dan Norway – dari 27 Mac hingga 2 April lalu.
Fjallraven Polar’ merupakan ekspedisi anjing gelongsor, dan peserta harus menempuh perjalanan sejauh 300 kilometer, merentasi Artik Scandinavia – kawasan di Sweden dan Norway – dari 27 Mac hingga 2 April lalu. - Foto ihsan ATIKAH SYARAH ISMAIL

Cabaran yang dihadapi benar-benar menguji batas fizikal dan mentalnya.

“Pada hari ketiga, saya sudah mula rasa penat. Tangan saya sudah lenguh, badan saya pun rasa sakit.

“Saya mula ada pemikiran negatif.

“Ketika itu, saya rasa seperti ingin berputus asa dan tidak boleh teruskan lagi ekspedisi ini,” jelas anak kedua lima beradik itu.

Menurutnya lagi, ketika ekspedisi tersebut berlangsung, beliau kerap terjatuh disebabkan tidak dapat mengawal anjing gelongsor dengan betul.

Ditambah lagi dengan keletihan dan angin sejuk melampau, Cik Atikah berkata ekspedisi itu menguji daya ketahanan dirinya dalam cara yang tidak pernah dialami sebelum ini.

Namun, di sebalik cabaran fizikal, pergelutan mental itulah yang paling memberi kesan.

Dalam detik-detik mencabar itu, Cik Atikah menemui kekuatan melalui sokongan orang di sekelilingnya.

“Setiap kali saya jatuh, rakan-rakan saya daripada ekspedisi itu memberi kata-kata semangat kepada saya.

“Ada yang memujuk saya dengan kata-kata, ‘Kita sebenarnya bukan pakar dan tidak mengapa sekiranya kita sering jatuh’.

“Yang penting adalah untuk kami terus cuba dan berjuang,” ujarnya.

Dalam detik-detik mencabar sepanjang ekspedisi itu, Cik Atikah Syarah Ismail (kiri), menemui kekuatan melalui sokongan rakan-rakan baru yang beliau temui di sana.
Dalam detik-detik mencabar sepanjang ekspedisi itu, Cik Atikah Syarah Ismail (kiri), menemui kekuatan melalui sokongan rakan-rakan baru yang beliau temui di sana. - Foto ihsan ATIKAH SYARAH ISMAIL

Bagi Cik Atikah, persamaan antara pengalaman di Artik dengan tugas hariannya sebagai pekerja sosial di PPIS Oasis semakin jelas.

Sepertimana beliau bergantung kepada rakan sepasukan ketika berdepan kesukaran, individu yang dibantunya juga memerlukan sokongan berterusan untuk mengharungi cabaran hidup.

Menurutnya, pengalaman itu telah memperluaskan pemahamannya tentang daya tahan, empati serta makna sebenar membantu orang lain.

Setelah kembali ke Singapura pada awal April, Cik Atikah meneruskan tugas dengan semangat yang diperbaharui.

Pengalaman itu bukan sahaja mengubah cara beliau melihat dirinya, malah turut memberi kesan kepada orang lain yang mengikuti perjalanannya.

Beliau turut menerima pesanan daripada orang ramai, termasuk wanita muda dalam talian yang berkata kisahnya memberi mereka keberanian untuk mencabar diri dan melangkah keluar daripada zon selesa.

“Pengalaman itu buat saya sedar bahawa kita semua ada had.

“Tetapi selalunya had itu bukan yang kita sangkakan.

“Kadang-kadang kita hanya perlukan seseorang yang percaya pada kita, sebelum kita sendiri berani untuk percaya pada diri sendiri,” tambahnya.

CABARAN UJI BATAS FIZIKAL DAN MENTAL

“Pada hari ketiga, saya sudah mula rasa penat. Tangan saya sudah lenguh, badan saya pun rasa sakit. Saya mula ada pemikiran negatif. Ketika itu, saya rasa seperti ingin berputus asa dan tidak boleh teruskan lagi ekspedisi ini.”
TEMUI KEKUATAN MELALUI SOKONGAN

“Setiap kali saya jatuh, rakan-rakan saya daripada ekspedisi itu memberi kata-kata semangat kepada saya. Ada yang memujuk saya dengan kata-kata, ‘Kita sebenarnya bukan pakar dan tidak mengapa sekiranya kita sering jatuh’. Yang penting adalah untuk kami terus cuba dan berjuang.”
PENGALAMAN UBAH CARA LIHAT DIRI SENDIRI

“Pengalaman itu buat saya sedar bahawa kita semua ada had. Tetapi selalunya had itu bukan yang kita sangkakan. Kadang-kadang kita hanya perlukan seseorang yang percaya pada kita, sebelum kita sendiri berani untuk percaya pada diri sendiri.”
Cik Atikah Syarah Ismail, peserta ekspedisi ekstrem, ‘Fjallraven Polar 2026’.