Topik diikuti
Pergi ke BHkuPermohonan dibuka: Dermasiswa BH, AMP bagi mahasiswa yang ambil pengajian Melayu
Permohonan dibuka: Dermasiswa BH, AMP bagi mahasiswa yang ambil pengajian Melayu
Bagi sokong pelajar pengajian tinggi daripada latar belakang kurang mampu
Permohonan dibuka: Dermasiswa BH, AMP bagi mahasiswa yang ambil pengajian Melayu
Mahasiswa universiti yang mengambil pengajian Melayu kini boleh bermohon mendapatkan dermasiswa Berita Harian (BH) dan AMP Singapura.
Dermasiswa ini bertujuan menyokong pelajar pengajian tinggi daripada latar belakang kurang berkemampuan.
Di bawah dermasiswa itu, yang dimeterai antara BH dengan AMP Singapura pada 8 Januari, mahasiswa universiti berpeluang mendapat $2,500 seorang. Seramai dua mahasiswa berpeluang mendapat dermasiswa ini.
Penerima dermasiswa tersebut boleh menggunakannya bagi keperluan pendidikan seperti pembelian buku, bahan pembelajaran dan peralatan akademik lain.
Dermasiswa itu dibuka bagi mahasiswa yang menuntut di universiti tempatan.
Selain pengajian Melayu, BH dan AMP juga menawarkan dermasiswa bagi pelajar politeknik dan mahasiswa universiti dalam jurusan komunikasi dan pengajian media.
Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai dermasiswa itu dimeterai Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, dan Pengarah Eksekutif AMP, Encik Mohksin Rashid pada 8 Januari di bilik berita BH.
Ini kali pertama BH memberi anugerah dermasiswa, dengan kerjasama sebuah badan Melayu/Islam.
“Kami berharap calon yang membuat permohonan bagi dermasiswa ini dapat menunjukkan bukan sahaja kecemerlangan dari segi akademik tetapi juga mempunyai ciri-ciri kepimpinan, aktif dalam kegiatan sekolah atau kerja-kerja sukarela.
“Beliau juga mempunyai daya ketahanan tinggi serta iltizam untuk terus maju dalam pelajaran dan kehidupan,” kata Encik Nazry.
Encik Mohksin pula berkata:
“Melalui kerjasama kami dengan BH, kami berharap bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan para pelajar, malah turut memupuk generasi baharu yang akan menyumbang secara bermakna kepada landskap media Melayu serta memperkukuh pemahaman tentang masyarakat Melayu dan perkembangannya.
“Kami percaya bahawa setiap pelajar yang mempunyai minat dan potensi untuk berjaya wajar diberi peluang yang saksama.”
Dana bagi skim dermasiswa tersebut diperolehi hasil kutipan acara kejohanan Golf Amal BH-AMP yang diadakan pada Julai 2025, yang berjaya mengumpulkan lebih $271,000 secara keseluruhannya.
Kira-kira $21,000 akan diperuntukkan untuk skim ini, dengan $8,000 disalurkan setiap tahun sehingga 2030, atau sehingga dana dermasiswa habis sepenuhnya.
Baki dana akan digunakan untuk menyokong program AMP dan Persatuan Kanak-Kanak Singapura untuk mempertingkatkan kehidupan golongan yang memerlukan, termasuk kanak-kanak, belia dan keluarga kurang bernasib baik.
Untuk layak, pemohon mestilah warganegara Singapura, beragama Islam, dan berbangsa Melayu.
Pendapatan kasar bulanan isi rumah pemohon tidak boleh melebihi $3,500 atau pendapatan per kapita sebanyak $700.
Pemilihan penerima juga mengambil kira penglibatan pelajar yang aktif dalam kegiatan kokurikulum, kerja sukarela atau peranan kepimpinan.
Juga dipertimbangkan ialah ketabahan mereka mengharungi cabaran peribadi atau keluarga demi meneruskan pengajian.
Klik di sini untuk membuat permohonan: https://bit.ly/AMPBursary2026
Tarikh tutup permohonan ialah 22 Mei.
