Topik diikuti
Pergi ke BHkuKelab Masyarakat Woodlands dibuka semula
Kelab Masyarakat Woodlands dibuka semula
Program beri tumpuan kepada warisan budaya, gaya hidup sihat, lengkapi penduduk dengan kemahiran masa depan
Kelab Masyarakat Woodlands dibuka semula
Kelab Masyarakat (CC) Woodlands dibuka semula pada 26 Julai selepas menjalani kerja naik taraf selama tiga tahun, dengan pelbagai kemudahan dan program baharu bagi memenuhi keperluan penduduk yang kian berubah.
Terletak berhampiran beberapa kemudahan seperti Politeknik Republic dan Hab Pengangkutan Bersepadu Woodlands, bangunan empat tingkat itu memberi tumpuan kepada pemeliharaan warisan budaya, menggalakkan gaya hidup sihat, di samping melengkapkan penduduk dengan kemahiran masa depan.
Lebih 200 penduduk, sukarelawan dan rakan masyarakat menyertai sambutan pembukaan semula kelab masyarakat itu menerusi acara berjalan pada 26 Julai sejauh dua kilometer yang diketuai Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar.
Kedudukan Woodlands sebagai ‘pintu gerbang utara Singapura’ menjadikan Kelab Masyarakat Woodlands sebagai ruang yang memupuk perpaduan masyarakat, meraikan warisan serta mempersiapkan penduduk untuk menghadapi masa depan, ujar Cik Mariam.
“Kelab masyarakat bukan sekadar sebuah bangunan. Ia adalah tempat jiran menjadi sahabat, masyarakat meneroka minat baharu, dan setiap generasi diberi peluang untuk belajar, menyumbang serta mengukuhkan rasa kebersamaan.
“Sedang Woodlands terus berkembang sebagai pintu gerbang utara Singapura, kami mahu Kelab Masyarakat Woodlands menjadi tempat warisan diraikan, gaya hidup sihat dipupuk, dan penduduk memperoleh keyakinan serta kemahiran untuk menghadapi masa depan,” katanya.
Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang juga AP GRC Sembawang, turut menghadiri majlis pelancaran bangunan baharu itu bersama lebih 2,000 penduduk, sukarelawan, penyumbang dan rakan masyarakat.
Bagi memperkukuh warisan budaya, kelab masyarakat itu akan menjadi lokasi tetap bagi beberapa kumpulan seni Melayu, termasuk kumpulan dikir barat, Neng Nyno; gamelan dan kompang, Telung Turonggo; serta kumpulan seni teater, Opera Academy.
Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Woodlands, Cik Deanna Manto, berkata langkah itu bertujuan mendekatkan seni dan budaya Melayu kepada lebih ramai penduduk di kawasan utara.
“Kami mahu lebih ramai golongan muda mengenali seni dan budaya Melayu. Dengan adanya ruang tetap di sini, lebih ramai boleh menyertainya, bukan sahaja dari Woodlands bahkan juga dari kawasan utara yang berhampiran,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Opera Academy, Encik Noor Azhar Mohamed, sebelum ini berkata studio baharu itu membuka peluang kepada Opera Academy untuk melaksanakan serta mengembangkan programnya pada skala yang lebih luas di Woodlands.
Melalui kerjasama tersebut, Opera Academy bakal memperkenalkan pelbagai program, termasuk bengkel pengenalan seni bangsawan yang disasarkan kepada kanak-kanak, belia dan seisi keluarga.
Menurut satu kenyataan CC tersebut, ia juga dijangka meluaskan tawaran program kesihatan, penuaan aktif dan kesejahteraan mental menerusi kerjasama dengan penyedia jagaan kesihatan serta pertubuhan masyarakat.
Program akan dianjurkan melalui kemudahan baharu yang disediakan termasuk studio tarian, dewan serba guna, studio penyiaran dan muzik, bilik aktiviti serta bilik darjah.
Jumlah dapur di CC itu juga telah diluaskan daripada hanya satu kepada 13 stesen memasak bagi menyokong program pemakanan sihat dan kelas masakan.
CC itu turut dilengkapi studio penyiaran dan muzik bagi menggalak penduduk meneroka teknologi digital serta mengasah kemahiran yang diperlukan untuk masa depan.
Dalam pada itu, Kelab Masyarakat Woodlands akan bekerjasama dengan institusi pendidikan, penyedia latihan, pemain industri dan agensi pemerintah untuk menawarkan bengkel dan kursus dalam bidang kecerdasan buatan (AI) serta teknologi digital kepada penduduk daripada pelbagai peringkat usia.