Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Opera Academy perluas program seni, dekati masyarakat dengan bangsawan

Dec 10, 2025 | 5:30 AM
opera academy
Akademi seni, Opera Academy, yang menyediakan program pendidikan seni dan bangsawan bagi semua peringkat umur bakal bekerjasama dengan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di Kelab Masyarakat Woodlands. - Foto INSTAGRAM OPERA ACADEMY

Dalam usaha mendekatkan seni bangsawan kepada masyarakat, Opera Academy, yang menyediakan program pendidikan seni bagi semua peringkat umur – akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di Kelab Masyarakat Woodlands susulan pembukaan semula kelab masyarakat tersebut setelah melalui proses naik taraf.

Program yang dijalankan bersama Kelab Masyarakat Woodlands itu dijangka akan bermula pada Januari 2026.

Melalui kerjasama itu, program latihan seni bangsawan dan inisiatif mendekati masyarakat melalui seni persembahan yang dikendalikan Opera Academy, dapat diperluaskan kepada penduduk di kawasan Woodlands dan juga di utara Singapura.

Apabila dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Opera Academy, Noor Azhar Mohamed, berkata:

“Pada September lalu, kami ada membuat persembahan bangsawan, Burung Bulbul, di Kampung Admiralty, sempena Bulan Bahasa.

“Menerusi persembahan itu, kami mendapat maklum balas yang positif dari pihak MAEC, yang teruja melihat kepetahan anak-anak muda kami berbahasa Melayu.

“Dari situ, pihak MAEC menyuarakan minat untuk bekerjasama. 

“Tambahan lagi, dengan adanya studio baru, ia membolehkan kami melihat potensi untuk menjalankan dan mengembangkan program Opera Academy ke skala lebih luas di daerah Woodlands.”

Melalui kerjasama itu, Opera Academy bakal memperkenal pelbagai program menarik termasuk bengkel pengenalan seni bangsawan yang disasarkan untuk kanak-kanak, belia serta seisi keluarga. 

Selain itu, penduduk juga berpeluang menyaksikan persembahan bangsawan dan mengikuti sesi perkongsian mendalami sejarah dan warisan seni itu, serta menyertai kegiatan kebudayaan yang dianjurkan sempena pelbagai sambutan masyarakat.

Malah, usaha bagi mendekati masyarakat di daerah Woodlands, diperluaskan lagi melalui pelaksanaan program jangkauan sekolah yang berpangkalan di Kelab Masyarakat Woodlands.

Tidak hanya itu, Opera Academy akan memperkenal program bersama Orkestra Melayu Singapura (OMS), bagi memberi latihan dan pendedahan dalam seni bangsawan serta orkestra serantau. 

Program itu turut menawarkan peluang beraksi bersama pemuzik profesional bagi penggiat seni muda yang ingin mengembangkan bakat dalam orkestra dan bangsawan.

Program tersebut akan dijalankan di markas OMS di Wisma Geylang Serai (WGS), di mana Opera Academy juga akan mengukuhkan kehadirannya bermula 2026.

Sementara itu, bagi mereka yang berminat untuk menghadiri program seni anjuran Opera Academy, boleh mendaftar diri di laman web Opera Academy menerusi pautan https://operaacademysg.com/registration

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg