Satu kebakaran berlaku di bangunan Golden Landmark yang menempatkan Village Hotel Bugis pada malam 13 Mei.

Dalam jawapannya kepada Berita Harian, jurucakap Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata pihaknya diberitahu tentang satu kebakaran di 390, Victoria Street pada 8.45 malam itu.

“Kebakaran, yang melibatkan papan tanda elektrik di tingkat dua, telah dipadamkan oleh sistem pemercik air sebelum ketibaan SCDF.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat,” kata jurucakap itu.

Empat kenderaan polis turut dilihat wartawan di lokasi kejadian.

Sekitar 100 orang dilihat berkumpul berdekatan Queen Street menyusuli kebakaran itu.

Salah seorang yang ditemui dan hanya memperkenalkan dirinya sebagai Cik Ayu dan mendakwa mengendalikan sebuah kedai di tingkat tiga pusat beli-belah Golden Landmark, berkata pihaknya sedang mengadakan acara jualan barangan secara langsung menerusi TikTok ketika kejadian berlaku.

“Kami terpaksa tinggalkan semua barangan. Tak sempat nak kemas,” kata beliau.

Seorang lagi yang ditemui dan mendakwa selaku tetamu hotel, dan hanya memperkenalkan dirinya sebagai Encik Adam, 40 tahun, menyangka insiden tersebut merupakan satu latihan.

Beliau yang baru tiba di Singapura sekitar 8 malam dari Kuala Lumpur pada 13 Mei, berkata:

“Saya nampak polis arahkan orang ramai berkumpul di seberang jalan, tetapi setakat ini belum ada sebarang perkembangan lanjut,” katanya yang berada di Singapura bersama seorang rakannya atas urusan kerja sehingga hujung Jun ini.

Menurut beliau, ini merupakan kali keempat beliau menginap di hotel tersebut kerana lokasinya yang dekat dengan pelbagai tempat makanan halal.

“Saya harap semuanya dalam keadaan baik,” tambahnya.