Pada 2024, Cik Siti Nurshila Kassim berasa hidupnya sudah lengkap.

Beliau membesarkan dua orang anak kecil – seorang anak lelaki aktif berusia empat tahun dan seorang bayi perempuan yang baharu beberapa bulan dilahirkan.

Kehidupan keluarganya sederhana tetapi cukup bahagia, dipenuhi rutin harian seperti menghantar anak ke sekolah dan pulang daripada tugasannya di gerai ibu bapa mentuanya di Pusat Makanan Seah Im untuk meluangkan masa bersama keluarga.

“Memang saya sudah lama impikan dua anak saja,” katanya.

Namun, dalam sekelip mata, semuanya berubah.

Pada Hari Raya 2024, beliau mula menyedari sesuatu yang tidak kena pada anak sulungnya, Nur Muhammad Muhammad Siddiq.

Nur Muhammad tiba-tiba berjalan sambil menyeret kaki dan kelihatan semakin lemah dari hari ke hari.

Pada awalnya, Cik Nurshila, 32 tahun, berkata keluarganya menyangka ia hanyalah perubahan biasa ketika proses membesar.

Tetapi naluri seorang ibu mengatakan sebaliknya.

“Saya rasa macam ada sesuatu yang tidak kena.

“Cara dia jalan lain, mata dia nampak layu dan percakapan dia pun mula tidak jelas,” katanya dalam satu episod podcast terbitan Berita Harian, NoTapis.

Dalam tempoh beberapa jam setelah Nur Muhammad dibawa ke Hospital Universiti Nasional (NUH), doktor mengesahkan anak itu mempunyai penyakit ‘Diffuse Intrinsic Pontine Glioma’ (DIPG) – sejenis barah otak.

Ia adalah sejenis barah amat ganas dan jarang berlaku serta menyasarkan bahagian batang otak dipanggil ‘pons’, yang mengawal fungsi saraf tunjang yang genting seperti pernafasan, kadar degupan jantung, dan tekanan darah.

Penyakit itu kerap menyerang kanak-kanak, lazimnya di antara umur empat dengan sembilan tahun.

Mengimbau saat berada di bilik doktor ketika itu, Cik Nurshila, berkata:

“Saya duduk di berhadapan doktor bersama suami saya.

“Doktor berkata terdapat tumbuhan sebesar empat sentimeter.

“Selalunya bila dengar tentang tumbuhan, kemungkinan besar ia merupakan barah dan tumbuhan sebesar itu dalam anak berusia empat tahun sangat besar dan membimbangkan,” katanya dengan linangan air mata.

Diagnosis itu mengubah seluruh kehidupan keluarganya.

Cik Nurshila kemudian berhenti bekerja di gerai makanan, Farasha by Intan, demi menjaga anaknya sepenuh masa sementara Nur Muhammad menjalani rawatan.

Ia termasuk 15 sesi radioterapi dan enam sesi kemoterapi.

Namun, keadaan anaknya itu semakin merosot sehingga beliau akhirnya tidak lagi mampu berjalan, bercakap atau makan sendiri.

“Bila dia tanya, ‘Ibu kenapa saya sakit?… saya cuma boleh cakap, ‘Muhammad anak yang kuat kan’?” katanya sambil menahan sebak.

Selepas bertarung selama lapan bulan, Nur Muhammad meninggal dunia pada Hari Krismas 2025 dalam dakapan Cik Nurshila.

Kini, beliau cuba meneruskan kehidupan dengan lebih tenang sambil memberi sepenuh perhatian kepada anak perempuannya, Nur Madihah, yang kini menjadi sumber kekuatannya setiap hari.

Walaupun masih merindui Allahyarham Nur Muhammad, Cik Nurshila berkata beliau belajar menghargai setiap detik kecil bersama insan tersayang.

“Saya rasa sekarang saya lebih menghargai masa, keluarga dan perkara-perkara kecil dalam hidup,” katanya.

Beliau turut mengakui pengalaman kehilangan anaknya mengubah perspektif tentang kehidupan dan membuat beliau lebih bersyukur dengan apa yang masih dimilikinya hari ini.

Bagi Cik Nurshila, walaupun perjalanan itu sangat menyakitkan, beliau berharap kisah anaknya dapat memberi kekuatan kepada ibu bapa lain yang sedang melalui ujian serupa.

“Kehidupan yang saya jalani membuat saya lebih merendah hati.

“Tapi saya rasa sekarang saya cuba hidup dengan tujuan lebih jelas dan lebih menghargai orang yang masih ada dengan saya,” katanya dengan nada perlahan.

“Saya duduk di berhadapan doktor bersama suami saya. Doktor berkata terdapat tumbuhan sebesar empat sentimeter. Selalunya bila dengar tentang tumbuhan, kemungkinan besar ia merupakan barah dan tumbuhan sebesar itu dalam anak berusia empat tahun sangat besar dan membimbangkan... Bila dia (anak sulung) tanya, ‘Ibu kenapa saya sakit?’… saya cuma boleh cakap, ‘Muhammad anak yang kuat kan’?”
Cik Siti Nurshila Kassim, yang kehilangan anak sulungnya, Nur Muhammad Muhammad Siddiq, akibat barah otak.