Topic followed successfully
Go to BHkuKasih abang derma ginjal ‘hadiah kesihatan’ untuk adik tersayang
Kasih abang derma ginjal ‘hadiah kesihatan’ untuk adik tersayang
NKF: Kisah inspirasi jarang berlaku dengan lebih 400 pesakit kini dalam senarai menunggu; purata masa menunggu 8.6 tahun
Kasih abang derma ginjal ‘hadiah kesihatan’ untuk adik tersayang
Enam tahun lalu, Encik Aminuddin Hilmi Sinuan berkorban kasih dengan mendermakan ginjal kirinya demi adik tersayang, Encik Muhammad Abdillah Sinuan, yang menghidap masalah kegagalan ginjal peringkat lanjutan.
Meskipun detik pembedahan sudah lama berlalu pada 2020, kededuanya masih berjuang dalam satu perjalanan rutin harian – disiplin demi memastikan ‘hadiah’ yang tidak ternilai itu kekal terpelihara.
Bagi Encik Aminuddin, kini 30 tahun, menjadi penderma bermakna tubuhnya kini lebih rentan.
“Doktor kata tubuh saya selepas derma buah pinggang akan lebih terdedah kepada penyakit kencing manis atau berkaitan dengannya sebab hanya satu ginjal tinggal untuk tapis semua toksin,” ujar anak keempat lima beradik itu.
Walaupun mempunyai latar belakang dalam bidang sains sukan, Encik Aminuddin akur beliau leka selepas mendirikan rumah tangga pada 2023.
Berat badannya naik daripada 70 kilogram (kg) kepada 83 kg, menyebabkan tahap kreatinin dan kolesterol juga meningkat tinggi.
“Dah kahwin, ada anak, saya terleka jaga kesihatan. Saya rasa malas dan mudah penat.
“Bila doktor nampak tahap kolesterol tinggi pada 2024, saya sedar saya tak boleh biarkan diet saya begitu sahaja,” kata bapa seorang puteri berusia dua tahun itu.
Kini, beliau berjaya menurunkan berat badan kembali kepada 72 kg melalui rejim senaman dan penjagaan pemakanan yang seimbang.
Selain itu, beliau harus minum air sekurang-kurangnya tiga liter sehari bagi mendorong ginjalnya menapis toksin.
Bagi Encik Abdillah, 23 tahun, kehidupan selepas menerima ginjal, menuntut dirinya agar mengikut siri peraturan khusus dengan penuh ketelitian dan patuh kepada segala pesan doktor.
Mahasiswa tahun kedua Kejuruteraan Mekanikal di Institut Teknologi Singapura (SIT) itu kini bergantung kepada enam biji ubat setiap hari.
“Dulu ubat saya lebih banyak, pernah sekali sampai 11 pil untuk ditelan. Sekarang sekitar enam atau tujuh pil sahaja,” jelas adik bongsu lima beradik itu.
Selain ubat, beliau wajib minum sekurang-kurangnya empat liter air sehari – satu keperluan yang tetap dijalankan walaupun ketika berpuasa.
“Saya hanya berpuasa makan, tapi saya perlu minum air (kerana perubatan).
“Kalau saya tak minum cukup air, saya akan rasa sakit di bahagian belakang pinggang (di kawasan buah pinggang lama),” ceritanya.
Disiplin itu juga merangkumi pantang larang makanan, misalnya, beliau tidak dibenarkan makan makanan mentah seperti susyi, telur mentah atau daging stik separuh masak.
Encik Abdillah kini menjalani kehidupan aktif dengan berbasikal dan berlari, lantas rasa sangat bersyukur dan tidak terbalas jasa abangnya.
“Ia bukan hanya tentang abang saya, tapi ini adalah usaha kami sekeluarga untuk menyokong saya.
“Jadi ada rasa tanggungjawab... ini adalah hadiah dan amanah yang saya perlu jaga,” ujarnya.
Minat Encik Abdillah terhadap seni, fotografi dan muzik yang bercambah sewaktu beliau terlantar di hospital dahulu kini menjadi hobi dan nyala rasanya.
Walaupun dikecualikan daripada Perkhidmatan Negara (NS) atas faktor kesihatan, beliau kini menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pengajian universiti.
Menurut Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), kisah keluarga itu adalah satu kejayaan yang jarang berlaku memandangkan lebih 400 pesakit kini masih berada dalam senarai menunggu nasional dengan purata masa menunggu mencecah 8.6 tahun.
Bagi Encik Abdillah, beliau menerima ginjal abangnya 16 bulan selepas didiagnosis.
Jumlah pesakit Melayu di NKF meningkat kepada 34 peratus – sekitar 1,836 pesakit – pada tahun kewangan 2024/25.
Sebagai penderma, Encik Aminuddin turut dibantu melalui Tabung Sokongan Penderma Hidup (LDSF) NKF yang menyediakan perlindungan insurans serta pampasan kehilangan pendapatan sehingga $8,500 bagi meringankan beban kewangan penderma hidup.
Bagi keluarga itu, Syawal 2026 membawa erti kemenangan yang lebih mendalam.
Mengimbau kembali saat sukar enam tahun lalu, Encik Aminuddin teringat detik beliau membawa gitar ukulele ke Unit Jagaan Rapi (ICU) untuk mendendangkan lagu Somewhere Over the Rainbow bersama Encik Abdillah bagi memberi semangat kepada adiknya yang beransur pulih.
Lagu tersebut merupakan dendangan asal legenda Hollywood, Judy Garland, dalam filem, The Wizard of Oz, dan menggambarkan harapan kehidupan akan bersinar dalam keadaan ada pelangi selepas hujan.
Kini, melodi itu telah digantikan dengan tawa riang dan kekecohan yang lazim dicetuskan seorang abang yang gemar mengusik adiknya.
“Kemenangan bagi saya adalah apabila kita sekeluarga dapat saling menyayangi dan membantu tanpa sebarang sengketa.
“Ia adalah satu nikmat apabila memiliki keluarga yang erat dengan tujuan hidup sehala,” kongsi Encik Aminuddin dengan penuh kesyukuran.

