Topik diikuti
Pergi ke BHkuKadar isi rumah belanja untuk judi, rokok berkurang
Kadar isi rumah belanja untuk judi, rokok berkurang
Namun tinjauan Singstat bagi tempoh sedekad dapati mereka yang kekalkan tabiat itu berbelanja lebih
Kadar isi rumah belanja untuk judi, rokok berkurang
Kadar isi rumah penduduk di Singapura yang membelanjakan wang bagi perjudian dan rokok telah mencatatkan penurunan melebihi 40 peratus selama beberapa tahun lalu.
Namun, isi rumah yang masih mengekalkan tabiat tersebut didapati meningkatkan jumlah perbelanjaan mereka bagi kegiatan berkenaan.
Pada 2013, sekitar satu dalam lima isi rumah membelanjakan wang untuk perjudian, berbanding sekitar satu dalam 10 isi rumah pada 2023.
Tabiat merokok turut menunjukkan trend penurunan sama, apabila kadar isi rumah dengan perbelanjaan sedemikian turun daripada sekitar 17 peratus pada 2013 kepada 9 peratus pada 2023.
Membentangkan trend tersebut pada 29 April, Jabatan Perangkaan Singapura (Singstat) menyatakan bahawa perkembangan ini berkemungkinan besar mencerminkan kesan daripada kempen kesedaran awam, langkah kawalan tembakau yang ketat, serta perubahan sikap masyarakat.
Penyelidik Singstat menganalisis data daripada Tinjauan Perbelanjaan Keluarga (HES) bagi 2012/2013, 2017/2018, dan 2023, yang dijalankan setiap lima tahun sekali.
Antara 11,050 dengan 13,100 isi rumah mengambil bahagian dalam setiap sesi tinjauan tersebut dengan memberikan data mengenai perbelanjaan mereka bagi tempoh dua minggu.
Penyelidik mentakrifkan perjudian sebagai penyertaan dalam loteri Singapore Pools, pertaruhan sukan, lumba kuda, kasino, serta permainan mahjong dan kad; manakala merokok ditakrifkan sebagai penggunaan rokok, cerut, serta produk tembakau lain.
Penurunan dalam perbelanjaan tersebut didapati merentasi semua jenis kediaman dan golongan pendapatan.
Kegiatan perjudian dan merokok didapati lebih banyak ditemui dalam kalangan isi rumah yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) – dengan sekitar 11 peratus terlibat dalam kegiatan sedemikian pada 2023.
Perjudian khususnya, paling kerap didapati dalam kalangan penghuni flat HDB empat bilik, manakala merokok pula paling kerap didapati dalam kalangan penghuni isi rumah flat satu dan dua bilik.
Sebagai perbandingan, 7.2 peratus daripada mereka yang tinggal di kondominium dan 9.5 peratus isi rumah di hartanah berhalaman membelanjakan wang untuk perjudian pada 2023.
Tabiat merokok pula jauh lebih rendah bagi jenis kediaman ini, di mana kedua-duanya mencatatkan kadar sekitar 3 peratus.
Berdasarkan perbandingan golongan pendapatan pada 2023, kegiatan perjudian didapati lebih tertumpu dalam kalangan kumpulan pendapatan 60 peratus pertengahan, manakala tabiat merokok pula lebih ketara dalam kalangan kumpulan pendapatan 60 peratus terendah.
Isi rumah yang mempunyai tabiat berjudi dan merokok membelanjakan lebih banyak wang pada 2023 berbanding 2013.
Peningkatan tersebut menyaksikan purata perbelanjaan bulanan bagi perjudian meningkat daripada $240 kepada $283, manakala perbelanjaan merokok melonjak daripada $224 kepada $255.
Isi rumah di hartanah berhalaman mencatatkan purata perbelanjaan bulanan tertinggi untuk perjudian ($328), manakala penghuni flat satu hingga dua bilik pula merupakan kumpulan yang melakukan perbelanjaan terbesar bagi tabiat merokok pada 2023 ($286).
Menurut penyelidik Singstat, kenaikan dalam perbelanjaan merokok sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan harga.
Singapura telah menaikkan duti eksais tembakau beberapa kali dalam tempoh sedekad lalu; iaitu sebanyak 10 peratus pada 2014, tambahan 10 peratus pada 2018, dan lagi 15 peratus pada 2023. Peningkatan terbaru ialah sebanyak 20 peratus pada Februari 2026.
Peningkatan perbelanjaan tersebut juga menunjukkan bahawa mereka yang berjudi atau merokok membelanjakan lebih banyak wang untuk kegiatan itu disebabkan oleh sifatnya yang membawa kepada ketagihan, tambah para penyelidik itu.
