Bilangan individu yang bergelut dengan cabaran melunaskan hutang semakin meningkat di Singapura, dengan faktor seperti pilihan gaya hidup atau keputusan kewangan yang lemah menjadi punca utama mereka terjebak dalam masalah tersebut.
Ini dikongsi dengan Berita Harian (BH) oleh agensi yang menawarkan program kaunseling dan pengurusan hutang.
Pusat Nasihat Hutang (DAC) kendalian AMP Singapura – yang sebahagian besar kliennya merupakan orang Melayu/Islam – menyaksikan bilangan individu yang tampil mendapatkan bantuan dengan urusan hutang mereka meningkat 52 peratus pada 2025 daripada 2024.
Sementara itu, Kaunseling Kredit Singapura (CCS) pula melihat bilangan individu yang tampil mendapatkan pertolongan buat kali pertama naik 29 peratus kepada 2,426 orang antara Januari dengan November 2025, berbanding 1,879 orang antara Januari dengan November 2024.
Namun, lebih mencemaskan adalah jumlah hutang yang ditanggung, kata dua agensi itu, dengan jumlah hutang yang melilit pinggang penghutang juga telah meningkat.
Data daripada dua agensi itu menunjukkan masalah hutang menjejas segenap lapisan kumpulan usia, namun golongan berusia 40-an tahun dibebani jumlah hutang lebih besar.
Misalnya di DAC, median jumlah hutang bagi golongan yang berusia 40 hingga 49 tahun mencatatkan peningkatan yang tertinggi – naik daripada $20,700 pada 2024 kepada $44,738 pada 2025.
Di CCS pula, hutang golongan yang berusia 46 hingga 50 tahun mencatatkan kenaikan tertinggi, daripada $65,550 pada 2024 kepada $75,460 pada 2025.
Pegawai eksekutif DAC, Encik Muhammad Alamin Ab Majid, berkata biasanya terdapat beberapa sebab yang menyebabkan individu berhutang, dengan sekitar 40 peratus klien mereka terjebak dalam hutang dek pilihan gaya hidup atau keputusan kewangan yang lemah.
“Ini termasuk berbelanja secara berlebihan, kebergantungan pada kredit dan menanggung komitmen besar seperti pinjaman bagi kerja ubah elok, bayaran ansuran bagi pembelian perabot atau perbelanjaan berkaitan perkahwinan tanpa simpanan kecemasan yang mencukupi,” kata beliau.
Sebab lain termasuk tekanan keluarga (30 peratus), isu kesihatan (12 peratus), menjadi mangsa penipuan (7 peratus), cabaran perniagaan (6 peratus) dan masalah berjudi (5 peratus).
CCS turut berkongsi trend serupa, dengan 43 peratus klien yang mendapatkan bantuan daripada mereka menyatakan gaya hidup sebagai sebab berhutang.
Ini diikuti dengan pendapatan isi rumah yang berkurangan (27 peratus); sokongan untuk keluarga (21 peratus); perbelanjaan perubatan (17 peratus); dan kerja ubah elok (16 peratus).
Encik Alamin menambah bahawa ramai klien DAC menghadapi cabaran dengan perbelanjaan di luar kemampuan mereka, yang sering didorong oleh pilihan gaya hidup dan keinginan menangani perbelanjaan segera.
“Penggunaan khidmat ‘beli dulu, bayar kemudian’ sering dilihat sebagai cara mengurangkan tekanan kewangan jangka pendek melalui pelan bayaran ansuran. Namun lama-kelamaan, bayaran ansuran yang pelbagai ini akan terkumpul dan menjadi sukar untuk diuruskan.
“Kami juga melihat pelanggan sangat bergantung pada kad kredit untuk menangani isu aliran tunai, termasuk bayaran hutang yang ‘dibawa ke hadapan’ dengan membuat pembayaran semula minimum sementara terus berbelanja,” kata beliau.
Menurut perangkaan Jabatan Statistik Singapura (Singstat), jumlah baki hutang kad kredit yang dibawa ke bulan seterusnya telah melepasi $9 bilion pada suku ketiga 2025 – yang tertinggi sejak hujung 2014.
Sebarang jumlah pada bil kad kredit yang tidak dilunaskan sepenuhnya sebelum tarikh akhir akan dibawa ke bil bulan seterusnya, dengan faedah dikenakan.
Zamil Penyelidik Kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Teo Kay Key, berkata kad kredit dan skim ‘beli dulu, bayar kemudian’ menyediakan cara bagi individu menangguhkan bayaran penuh bagi pembelian mereka.
Namun, mereka yang tidak menguruskan kewangan dengan betul berdasarkan pendapatan dan simpanan mereka boleh terbeban dengan hutang apabila bil meningkat.
“Pembelian besar boleh menjadi agak membebankan, dan mungkin masuk akal untuk membahagikan pembayaran kepada beberapa bulan agar aliran tunai tidak terjejas teruk.
“Ini boleh dilakukan sekiranya individu tidak mempunyai jumlah bayaran yang tidak terurus untuk pembayaran bulanan tersebut, dan terdapat aliran pendapatan tetap yang membolehkan mereka membuat pembayaran ini dengan segera,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg