Setiap kali baucar CDC baharu dilancarkan, pemilik gerai makanan Putris Asia Ghani, Cik Zaheera Rasool, mendapati lebih ramai pelanggan lebih sering mengunjungi gerainya untuk membeli makanan berbanding memesan makanan dalam talian.

Cik Zaheera Rasool, 44 tahun, yang mengendalikan dua daripada empat cawangan gerai nasi ayam dan makanan Melayu lain bersama ibunya, Cik Zainab Said Ibrahim, 64 tahun, berkongsi pelanggan malahan lebih cenderung berbelanja menggunakan baucar CDC berkenaan daripada mengeluarkan duit sendiri.

Terdapat empat cawangan gerai makan Putris Asia Ghani yang terletak di Jurong West Street 92, Jurong West Street 81, Keat Hong Pride dan Yuhua Place, yang dikendalikan oleh Cik Zainab, suaminya, dan empat anaknya.

Dalam pada itu, Cik Zaheera berkongsi pelanggan akan membeli sekitar empat hingga lima bungkus makanan setiap kali pada hari biasa, dan sering kali membelanjakan lebih $20 menggunakan baucar CDC mereka.

Pada hujung minggu pula, pelanggan berkenaan akan berbelanja lebih banyak, adakalanya mencecah antara $30 dengan $40.

Apabila Berita Harian (BH) menemui pasangan ibu dan anak itu di cawangan mereka di Jurong West Street 92 pada 11 Jun, Cik Zaheera berkongsi hasil jualan menggunakan baucar CDC sahaja boleh mencecah antara $400 dengan $500 sehari.

“Setiap kali baucar CDC baharu diumumkan, kami dapati lebih ramai pelanggan yang membeli beberapa bungkus makanan dengan menggunakan baucar, berbanding sebelumnya di mana setiap pelanggan hanya membeli sebungkus makanan sahaja.

“Saya rasa dengan adanya baucar, mereka kemungkinan beli lebih banyak makanan untuk anggota keluarga lain ataupun untuk dimakan sempena acara keramaian pada hujung minggu.

“Boleh dikatakan bilangan pelanggan fizikal meningkat sebanyak 50 peratus selepas mendapat baucar itu,” kata Cik Zaheera, yang turut mengendalikan cawangan di Keat Hong Pride, di Choa Chu Kang.

Pemberian baucar CDC kesembilan yang bernilai $500 telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, pada 11 Jun.

Baucar tersebut dibahagikan kepada dua dengan sebanyak $250 untuk perbelanjaan di gerai penjaja dan peniaga kawasan kejiranan yang mengambil bahagian, manakala baki $250 diperuntukkan bagi perbelanjaan di pasar raya yang mengambil bahagian dalam skim itu.

Pelancaran baucar itu telah dipercepatkan kepada Jun 2026 daripada Januari 2027 ekoran kebimbangan kos sara hidup yang meningkat susulan keadaan tidak menentu di Timur Tengah.

Dalam pada itu Cik Zaheera dan Cik Zainab berkongsi perniagaan mereka turut terjejas dek peningkatan harga akibat ketidaktentuan di Timur Tengah.

Memberi contoh, Cik Zainab berkata harga gas telah meningkat daripada sekitar $600 seminggu kepada lebih $700 seminggu.

Di samping itu, harga minyak yang asalnya berharga sekitar $20 setin pula melonjak kepada sekitar $30 setin.

Meskipun demikian, mereka enggan meningkatkan harga makanan dan memilih untuk mengekalkannya kepada harga sedia ada agar pelanggan tidak perlu ikat perut.

“Di cawangan di Jurong West ini, ramai daripada pelanggan kami merupakan golongan warga emas.

“Kalau nak naikkan harga pun kami tak sampai hati. Jadi biarlah kami tanggung kos perbelanjaan dahulu selagi mampu,” ujar Cik Zainab.

Walaupun beliau bersyukur dengan adanya baucar CDC yang bukan sahaja membantu perniagaan keluarganya, malah memberikan kelegaan kepada pelanggan, beliau berkongsi terdapat beberapa kes di mana golongan warga emas cuba membayar menggunakan baucar CDC yang telah pun ditebus.

Beliau berharap agar pelanggan dan pemilik gerai akan terus lebih berwaspada bagi mengelakkan kes sedemikian daripada berulang lagi dengan pelancaran baucar terkini.