Topik diikuti
Pergi ke BHku1.38j isi rumah S’pura terima baucar CDC $500 mulai 11 Jun
1.38j isi rumah S’pura terima baucar CDC $500 mulai 11 Jun
Diberi lebih awal bagi bantu warga tangani kos sara hidup; sah digunakan hingga 31 Dis 2027
1.38j isi rumah S’pura terima baucar CDC $500 mulai 11 Jun
Sekitar 1.38 juta isi rumah di Singapura akan menerima baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai $500 mulai 11 Jun, yang sah digunakan sehingga 31 Disember 2027, umum Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.
Baucar CDC itu, yang sebelum ini dijadualkan untuk diagihkan pada Januari 2027, akan diberikan lebih awal pada Jun 2026 bagi membantu isi rumah Singapura di tengah-tengah kebimbangan kos sara hidup yang meningkat susulan keadaan tidak menentu di Timur Tengah.
Pusingan kesembilan baucar CDC ini akan dibahagikan secara sama rata, iaitu sebanyak $250 untuk perbelanjaan di gerai penjaja dan peniaga kawasan kejiranan, serta $250 bagi perbelanjaan di pasar raya yang mengambil bahagian dalam skim itu.
Encik Gan berkata meskipun kesan daripada situasi di Timur Tengah adalah kurang runcing daripada yang dikhuatiri sebelum ini, tekanan kos import dijangka akan meningkat dalam bulan-bulan mendatang.
Ini memandangkan kos tenaga dan input lain yang lebih tinggi beralih melalui rantaian bekalan global yang boleh menyebabkan peningkatan inflasi.
Namun, beliau mengesyorkan bahawa pemerintah sedia memberikan lebih banyak bantuan.
“Setakat ini, kesan daripada keadaan di Timur Tengah adalah kurang teruk daripada apa yang kita khuatiri sebelum ini,” kata beliau.
“Perangkaan terbaharu kami menunjukkan bahawa inflasi teras mereda kepada 1.4 peratus tahun ke tahun pada April, turun daripada 1.7 peratus pada Mac.
“Namun, situasi terus kekal tidak menentu. Tekanan kos import dijangka akan meningkat dalam bulan-bulan mendatang, memandangkan kos tenaga dan yang berkaitan lain yang lebih tinggi beralih melalui rantaian bekalan sejagat.
“Oleh itu, inflasi mungkin meningkat dalam bulan-bulan akan datang.
“Pemerintah akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti. Dan jika timbul keperluan, kami sedia untuk melakukan lebih lagi seperti yang telah kami lakukan sebelum ini,” kata beliau.
Dalam satu video yang dimuat naik di Facebook pada 11 Jun, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah berkongsi harapannya agar pemberian baucar ini dapat membantu sedikit sebanyak dalam perbelanjaan harian serta memberikan sokongan buat warga Singapura dan keluarga mereka.
Encik Wong berkata:
“Saya berharap ini dapat membantu sedikit sebanyak dalam perbelanjaan harian serta memberikan sokongan buat anda dan keluarga.
“Ingatlah bahawa apabila anda menggunakan baucar anda, anda sedang menyokong para penjaja dan perniagaan yang berkhidmat untuk kawasan kejiranan kita setiap hari.”
Secara berasingan, FairPrice Group pula telah melancarkan Baucar Pulangan bernilai $6 untuk setiap perbelanjaan bernilai $60 menggunakan baucar pasar raya CDC dan/atau baucar pasar raya SG60 di pasar raya FairPrice dalam satu resit.
Tawaran ini berlangsung sehingga 17 Jun 2026.
Baucar Pulangan demikian sah untuk digunakan di semua pasar raya FairPrice tanpa sebarang had perbelanjaan minimum, bermula esok selepas resit diperolehi, sehingga 31 Julai 2026.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Mayor, Cik Low Yen Ling, yang juga Mayor CDC South West, berkata sehingga 3 Jun, lebih daripada $4.64 bilion telah diagihkan dalam lapan pemberian baucar CDC dan dua pemberian baucar SG60 untuk warga emas dan golongan dewasa sebelum ini.
Sebanyak $2.43 bilion daripadanya, atau sekitar 52 peratus, telah dibelanjakan di gerai penjaja dan peniaga kawasan kejiranan, manakala $2.21 bilion, atau sekitar 48 peratus, telah dibelanjakan di pasar raya.
Daripada jumlah $2.43 bilion yang dibelanjakan di gerai penjaja dan peniaga kawasan kejiranan, sebanyak $1.56 bilion, atau 64 peratus, telah dibelanjakan untuk makanan dan minuman. Sementara itu, sebanyak $534 juta, atau 22 peratus, dibelanjakan untuk peruncitan dan perkhidmatan, dan baki $339 juta, atau 14 peratus, dibelanjakan di pasar raya mini atau kedai runcit.
Bagi baucar SG60 pula, Cik Low berkata sekitar 95.1 peratus daripada 1.1 juta warga emas yang layak menerima $800 telah menuntut baucar mereka.
Kira-kira 89.7 peratus daripada baucar tersebut telah dibelanjakan, dengan sekitar $380 juta digunakan di gerai penjaja dan peniaga kawasan kejiranan, manakala sekitar $370 juta lagi dibelanjakan di pasar raya.
Di bawah baucar SG60 itu – kali pertama diumumkan Encik Wong semasa Belajawan 2025 sempena ulang tahun ke-60 negara – warga Singapura berusia 60 tahun dan ke atas menerima baucar bernilai $800, manakala warga berusia 21 hingga 59 tahun pula mendapat sebanyak $600.
Sementara itu, sekitar 98.2 peratus dalam kalangan 1.9 juta golongan dewasa yang layak menerima $600 telah menuntut baucar mereka.
Setakat ini, 83.7 peratus daripada baucar SG60 telah dibelanjakan, iaitu sekitar $469 juta dibelanjakan di gerai penjaja dan peniaga kawasan kejiranan, dan kira-kira $468 juta dibelanjakan di pasar raya.
Dengan pusingan kesembilan baucar CDC yang diberikan lebih awal, Cik Low berkata ia akan membantu merangsang ekonomi serta menyokong peniaga di kawasan kejiranan dan juga penjaja tempatan di tengah-tengah ketidaktentuan semasa.
“Pemerintah telah mempercepatkan pengagihan baucar ini bagi menyediakan sokongan dan bantuan segera kepada rakyat Singapura ekoran kebimbangan mengenai kos sara hidup yang meningkat akibat ketidaktentuan global dan konflik di Timur Tengah,” kata beliau.
“Langkah proaktif untuk merangsang dan memperkukuh rakyat serta ekonomi kita ini mencerminkan semangat daya tahan dan keprihatinan bersama kita sebagai satu rakyat,” tambahnya.
