SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Shanmugam: Campur tangan asing dalam dasar, politik S’pura tidak boleh diterima

Shanmugam: Campur tangan asing dalam dasar, politik S’pura tidak boleh diterima

Mar 28, 2026 | 6:15 PM

Shanmugam: Campur tangan asing dalam dasar, politik S’pura tidak boleh diterima

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) di New Phoenix Park
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) di New Phoenix Park - Foto FAIL ST

Campur tangan asing dalam politik dan dasar Singapura, seperti hukuman yang dikenakan ke atas sebahagian jenayah sama sekali tidak boleh diterima, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.

“Pendirian Singapura terhadap perkara ini konsisten sejak 1965: campur tangan sedemikian tidak boleh diterima. Ia semestinya tidak boleh,” kata Encik Shanmugam menerusi akaun media sosial peribadinya.

“Pendirian ini tidak berubah - dan ia akan dilaksanakan dengan tegas.”

Encik Shanmugam berhujah sedemikian selepas Cik Fadiah Nadwa Fikri, wanita warga Malaysia yang telah melengkapkan kursus ijazah kedoktoran (PhD) di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2025 tidak dibenarkan memasuki semula negara ini selepas melibatkan diri dalam kegiatan aktivisme politik di sini.

Cik Fadiah menganggotai dua kumpulan advokasi Malaysia, Lawyers for Liberty dan Centre to Combat Corruption and Cronyism.

Pada 2020, media di Malaysia melaporkan Cik Fadiah sedang disiasat kerana disyaki menghasut dan menggunakan perkhidmatan dan prasarana rangkaian hubungan secara salah berhubung kiriman pos Twitter yang menggalak orang awam untuk menyertai rapat politik.

Pada masa itu beliau juga sedang disiasat berhubung artikel yang telah ditulisnya mengenai kerajaan di Malaysia menyusuli Pilihan Raya Umum 2018 di sana.

Kesudahan kededua siasatan belum dilaporkan.

Dalam hantaran ke platform media sosial X pada 22 Mac dan 23 Mac, Cik Fadiah berkata beliau dilarang memasuki Singapura selepas cuba berbuat demikian pada 22 Mac.

Beliau berkata pegawai imigresen tidak dapat memberitahunya sebab beliau tidak dibenarkan masuk ke Singapura.

Cik Fadiah, pada ketika itu, berkata beliau hendak memasuki Singapura kerana telah diundang menyampaikan ucapan sebagai tetamu.

Pada 27 Mac, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata Cik Fadiah telah menggalak belia di sini untuk mengamalkan cara advokasi radikal yang dipeloporinya.

MHA berkata Cik Fadiah menggalak belia bertindak melebihi protes, menggerakkan pelajar dan masyarakat berbeza-beza di Singapura dan melaksanakan tindakan ganas dan yang amat mengganggu untuk menyokong beberapa matlamat khusus.

Memberi respons, Cik Fadiah berkata kenyataan MHA itu ‘berniat jahat, palsu dan memfitnah’ dan kementerian tidak memberikan bukti untuk menyokong dakwaannya itu.

Encik Shanmugam, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, berkata negara ini telah memerhatikan jumlah orang bertambah dari Malaysia yang cuba campur tangan dalam dasar dan politik Singapura.

Ini termasuk dalam hukuman yang dikenakan bagi sesetengah jenayah, dasar asing Singapura serta sebahagian cara negara ini mengendalikan urusannya, kata Encik Shanmugam.

Beliau berkata Cik Fadiah telah “menggalak aktivis setempat untuk mengamalkan cara advokasi radikal yang dipeloporinya” dan “menghasut mereka untuk melanggar undang-undang dan menggunakan keganasan”.

“Apabila ada orang cuba campur tangan dengan cara sebegini, kami akan bertindak secara tegas,” kata Encik Shanmugam.

“Kami tidak mengambil kira sama ada dalangnya ialah warga Singapura, warga Malaysia atau warga sebarang negara lain.”

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg