SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Wanita M’sia libat dalam gerakan aktivis politik dilarang masuk S’pura

Wanita M’sia libat dalam gerakan aktivis politik dilarang masuk S’pura

MHA perjelas tidak bertolak ansur kes campur tangan politik warga asing
Mar 27, 2026 | 2:39 PM

Wanita M’sia libat dalam gerakan aktivis politik dilarang masuk S’pura

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata pada 27 Mac Cik Fadiah Nadwa Fikri telah menggalakkan sebahagian belia di sini untuk “mengikuti pendekatan radikalnya”.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata pada 27 Mac Cik Fadiah Nadwa Fikri telah menggalakkan sebahagian belia di sini untuk “mengikuti pendekatan radikalnya”. - Foto ST

Seorang wanita Malaysia, yang pernah menuntut di Singapura, dilarang masuk semula ke negara ini kerana penglibatannya dalam gerakan aktivis politik tempatan.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menjelaskan pada 27 Mac bahawa Cik Fadiah Nadwa Fikri didapati menggalakkan belia Singapura untuk “mengikuti pendekatan radikalnya”.

Kementerian itu berkata beliau bukan sahaja menggesa mereka untuk membantah, malah turut menggerakkan pelajar dan pelbagai golongan di Singapura, serta melakukan tindakan bersifat mengganggu dan ganas bagi menyokong tujuan tertentu.

Cik Fadiah, yang menamatkan pengajiannya dan dianugerahkan Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2025, telah memuat naik di platform media sosial X pada 22 dan 23 Mac bahawa beliau dimaklumkan tentang larangan memasuki negara ini selepas cuba berbuat demikian pada 22 Mac.

MHA berkata: “Kami tidak akan bertolak ansur dengan warga asing yang terlibat dalam politik negara kami, mahupun menggalakkan kaedah bantahan sivil yang menyalahi undang-undang, ganas dan mengganggu.”

“Fadiah ialah pelawat yang tidak dialu-alukan, dan oleh itu kami telah melarangnya memasuki negara ini.”

Dalam hantaran media sosialnya, Cik Fadiah berkata beliau telah bertanya kepada pegawai imigresen mengapa beliau dilarang masuk, namun dimaklumkan sebabnya tidak boleh didedahkan.

Beliau turut memuat naik gambar notis larangan masuk bertarikh 22 Mac yang menyatakan beliau tidak dibenarkan memasuki Singapura kerana “tidak layak diberikan pas di bawah dasar imigresen semasa”.

Notis itu menyatakan Woodlands sebagai tempat di mana notis itu dikeluarkan.

Cik Fadiah cuba memasuki Singapura baru-baru ini atas jemputan bekas penyelianya untuk menyampaikan syarahan.

Beliau juga merancang untuk menjaga kucing temannya, selain mengambil sijil ijazah dan buku-bukunya.

Cik Fadiah menetap di Singapura selama lima tahun dan dianugerahkan PhD pada 31 Januari, setelah meninggalkan amalan guaman untuk melanjutkan pengajiannya di sini.

Menurut laman web universiti itu, Cik Fadiah mengikuti pengajian kedoktoran di Jabatan Pengajian Asia Tenggara dan menamatkan pengajian pada 2025.

Angka Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) bagi 2025 menunjukkan seramai 45,700 warga asing telah dilarang masuk ke Singapura, meningkat daripada 33,100 pada tahun sebelumnya.

Mereka dilarang masuk selepas dikenal pasti sebagai ancaman imigresen, termasuk yang mungkin bekerja secara haram, tinggal melebihi tempoh atau menjejaskan keselamatan negara.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg