SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

HSA rampas lebih 1j unit produk kesihatan haram pada 2025

HSA rampas lebih 1j unit produk kesihatan haram pada 2025

Lebih 2,300 penyenaraian produk juga dipadam daripada laman e-dagang, media sosial
Mar 24, 2026 | 4:51 PM

HSA rampas lebih 1j unit produk kesihatan haram pada 2025

Penguasa Sains Kesihatan (HSA), rampas, produk kesihatan haram
Sebahagian besar produk kesihatan haram yang dirampas adalah ubat batuk, ubat perangsang seks dan ubat penahan sakit. - Foto HSA

Lebih 1.06 juta unit produk kesihatan haram bernilai lebih $750,000 telah dirampas pada 2025, peningkatan sekitar 10 peratus daripada 2024, dedah Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada 24 Mac.

Kebanyakan produk yang dirampas melalui operasi itu adalah ubat batuk (56 peratus), ubat perangsang seks (19 peratus) dan ubat penenang serta penahan sakit (17 peratus) – sama dengan komposisi produk yang dirampas pada tahun-tahun sebelumnya, kata HSA.

Lebih 2,300 penyenaraian produk kesihatan haram juga telah dipadam daripada laman e-dagang dan media sosial pada 2025. Bilangan penyenaraian tersebut adalah lebih rendah daripada 7,190 pada 2024.

Alat pengawasan dan bot automatik telah digunakan untuk memantau penyenaraian haram itu, kata HSA.

Hampir 1,400 amaran juga telah diberikan kepada penjual kerana menyenaraikan produk secara haram seperti penyedut hidung, kanta lekap, ubat antikeguguran rambut dan produk preskripsi jerawat.

Pada 2024, kebanyakan penyenaraian yang dihapuskan melibatkan ubat perangsang seks dan kanta lekap.

Menurut HSA, penurunan ketara dalam penyenaraian ini pada 2025 adalah hasil peningkatan pengawasan, dan juga selepas laporan daripada pengguna yang mengalami kesan buruk daripada penggunaan kanta lekap tersebut.

Laman e-dagang seperti Shopee dan Lazada, serta aplikasi perkongsian video TikTok, adalah tiga platform dalam talian yang menyenaraikan kebanyakan produk kesihatan haram itu.

HSA berkata ia bekerjasama dengan platform dalam talian untuk memadamkan penyenaraian sedemikian.

Mengambil ubat daripada penjaja jalanan yang meragukan pula telah menyebabkan sesetengah pengguna mengalami kesan buruk, termasuk keadaan yang hampir mengancam nyawa.

Antara Februari 2024 dengan Februari 2025, sembilan orang telah mengambil produk kesihatan yang bertujuan untuk “meningkatkan tenaga dan kesihatan”, tanpa preskripsi doktor, menurut HSA.

Mereka telah mengambil produk mengandungi modafinil dan armodafinil, yang dibeli daripada penjaja jalanan di Geylang, atau daripada rakan mereka.

Mereka kemudiannya menunjukkan simptom kulit yang buruk, antaranya, lepuh yang meliputi 60 peratus badan seorang lelaki, serta pengelupasan yang teruk dan luka di mulut hingga menyebabkan seorang lagi lelaki berusia 40-an tahun tidak dapat makan dan bercakap buat sementara waktu.

Sekurang-kurangnya 18 orang telah didakwa atas penjualan dan pembekalan produk kesihatan haram pada 2025.

Operasi penguatkuasaan dan perkongsian risikan juga telah menghasilkan rampasan ubat-ubat haram di sempadan Singapura.

Pada November 2025, pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) telah mengesan seorang warga asing berusia 23 tahun yang cuba menyeludup sekitar 11,500 unit ubat yang boleh menyebabkan ketagihan termasuk ubat penahan sakit bernilai sekitar $12,000.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg