Berita Netizen
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ubat turun berat badan belum lulus HSA kini tular, dijual di media sosial

Jan 8, 2026 | 3:01 PM
Retatrutide yang kini tular di media sosial, sedang menjalani ujian untuk tujuan penurunan berat badan namun masih belum diluluskan oleh mana-mana badan kawal selia di seluruh dunia.
Retatrutide yang kini tular di media sosial, sedang menjalani ujian untuk tujuan penurunan berat badan namun masih belum diluluskan oleh mana-mana badan kawal selia di seluruh dunia. - Foto TANGKAP LAYAR SIAMNADI_BKK/INSTAGRAM

Sejenis ubat baru yang didakwa mampu mengurangkan berat badan dan semakin giat dipromosi di TikTok kini mendapat perhatian ramai.

Ubat yang diberi nama retatrutide itu merupakan suntikan eksperimental yang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat, Eli Lilly, dan didakwa dihasilkan bagi menyokong pengurusan perubatan obesiti serta keadaan metabolik yang berkaitan.

Pemeriksaan BH mendapati retatrutide belum diluluskan penggunaanya oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Dalam jawapannya kepada Berita Harian (BH) pada 26 Disember 2025, seorang jurucakap HSA berkata retatrutide tidak tersedia untuk kegunaan awam.

Memetik kenyataan Lilly, HSA berkata, “retatrutide kini berada dalam fasa ketiga ujian klinikal, dan pelancarannya bergantung kepada penyempurnaan ujian tersebut serta proses kelulusan kawal selia.”

Memandangkan ia masih dalam peringkat ujian klinikal dan belum diluluskan untuk kegunaan, sebarang penjualan kepada pengguna adalah menyalahi undang-undang.

Dalam keputusan pertama ujian klinikal Fasa 3 melibatkan peserta yang mengalami obesiti, atau berat badan berlebihan dan osteoartritis lutut, pesakit yang terlibat dalam ujian itu dikatakan mencatatkan penurunan berat badan purata sebanyak 32 kilogram (kg), atau sekitar 29 peratus daripada berat badan asal mereka, menurut satu kenyataan oleh Lilly pada 11 Disember 2025.

Penurunan berat badan tersebut adalah hampir dua kali ganda berbanding apa yang dicapai menerusi semaglutide, dengan sebahagian peserta ujian menghentikan pengambilan retatrutide lebih awal dek kehilangan berat badan yang berlebihan.

Retatrutide menyasarkan tiga hormon dalam sistem penghadaman, iaitu glucagon-like peptide-1 (GLP-1), glucose-dependent insulinotropic polypeptide (GIP) dan glucagon. Ia berbeza dengan semaglutide, bahan aktif dalam Ozempic atau Wegovy, yang hanya menyasarkan kepada GLP-1.

Ozempic telah diluluskan pada 2021 bagi penggunaan di Singapura; digunakan untuk membantu penurunan berat badan.

Wegovy pula, yang diluluskan pada 2023 bagi penggunaan di Singapura, memang dicipta untuk merawat kegemukan.

Perunding Kanan Endokrinologi di Hospital Woodlands, Dr Tham Kwang Wei, memberitahu BH bahawa syarikat yang menghasilkan retatrutide belum menyediakan produk komersial yang berdaya maju, yang disahkan selamat bagi kegunaan klinikal.

“Oleh itu, tidak jelas apakah sebenarnya bahan yang disuntikkan dalam badan mereka yang mendakwa menggunakan retatrutide. Ini sekaligus boleh mendedahkan mereka kepada bahaya serta risiko kesihatan yang tidak munasabah dan tidak dijangka.

“Obesiti merupakan satu keadaan perubatan kronik dan juga penyakit bagi ramai individu, yang seharusnya diuruskan secara menyeluruh oleh pakar perubatan terlatih dalam kerangka pengurusan penyakit kronik, demi manfaat terbaik kepada pesakit yang mengalami obesiti,” kata Dr Tham dalam jawapan kepada pertanyaan BH pada 9 Januari.

Dalam satu video selama satu minit 30 saat, pencipta kandungan, Cik Fariza Salleh, yang menggunakan nama @Frouhaha di TikTok, baru-baru ini berkongsi pandangannya mengenai individu yang menjual ubat penurunan berat badan yang tidak diluluskan di platform tersebut.

“Saya baru-baru ini mendapat khabar angin tentang individu yang menjual ubat penurunan berat badan yang tidak dibenarkan dan tidak diluluskan di aplikasi ini (TikTok).

“Ubat-ubatan yang belum diluluskan untuk kegunaan manusia dan kini masih berada dalam fasa ujian klinikal ketiga atau keempat. Namun, para penjual ini menjualnya secara senyap. Kebiasaannya ia dalam bentuk suntikan,” katanya dalam satu video TikTok yang dimuat naik pada 18 Disember 2025.

Cik Fariza menjelaskan bahawa sebahagian daripada pencipta kandungan ini akan mengubah hala kandungan mereka kepada topik penurunan berat badan.

“Mereka bercakap menggunakan kod semasa sesi siaran langsung. Dan apabila anda menghantar mesej peribadi kepada mereka di platform itu untuk bertanya apakah rahsia mereka, barulah mereka akan berkongsi bahawa mereka menjual sesuatu yang kononnya boleh menjamin penurunan berat badan,” tambahnya.

Hospital Besar Changi (CGH) memberitahu BH bahawa orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dan lebih berwaspada sebelum mengambil ubat-ubatan yang tidak diluluskan.

“Produk sedemikian boleh mendatangkan risiko kesihatan yang serius kerana ia tidak dikawal selia, mungkin mengandungi bahan yang tidak diketahui atau berbahaya, serta belum melalui penilaian keselamatan yang sewajarnya,” kata jurucakap hospital tersebut dalam jawapan kepada pertanyaan BH pada 5 Januari.

Dr Tham turut menambah bahawa walaupun sesuatu rawatan menunjukkan keberkesanan bagi sesuatu keadaan, ia mungkin tidak sesuai untuk semua individu, kerana pakar perubatan perlu menilai secara teliti risiko dan manfaat rawatan tersebut bagi setiap pesakit.

Pemeriksaan BH mendapati sebuah laman web yang menyenaraikan pelbagai jenis peptide, termasuk retatrutide.

Laman tersebut memaparkan pelbagai sijil analisis (COA) bagi produk peptide, yang didakwa “disediakan secara langsung oleh sebuah makmal ujian bebas, Janoshik” yang berpangkalan di Republik Czech, yang menawarkan ujian ketulenan oleh pihak ketiga.

Maklumat di laman itu juga menyatakan bahawa “semua peptide yang dijual di bawah jenama (tersebut) dibekalkan khusus untuk kegunaan penyelidikan sahaja. Ini bermakna ia bertujuan untuk eksperimen makmal, kajian saintifik atau tujuan pendidikan, dan tidak dihasilkan atau dipasarkan bagi penggunaan manusia, rawatan terapeutik atau aplikasi veterinar.”

BH difahamkan ubat itu boleh didapati dalam botol vial, 10 mg, yang boleh digunakan sehingga lima minggu, dengan harga sekitar $250.

Sekiranya berminat, pembeli akan diberi maklumat untuk menghubungi seorang individu bagi membuat pembelian, selain diberi panduan mengenai cara penggunaan ubat tersebut.

Pada 7 Disember 2025, akhbar The Guardian melaporkan bahawa dalam satu serbuan pada Oktober di Northampton, United Kingdom, Agensi Kawalan Produk Ubat-Ubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) telah menjalankan salah satu rampasan terbesar ubat penurunan berat badan yang diperdagangkan secara haram pernah direkodkan di peringkat global.

Bagaimanapun, tidak lama selepas berita mengenai serbuan pada Oktober 2025 itu tersebar, salah satu daripada beberapa saluran Telegram milik syarikat Alluvi Healthcare Limited memaparkan pen suntikan retatrutide berjenama Alluvi, dengan kenyataan bahawa mereka “masih mempunyai stok penuh melalui Telegram”, menurut laporan The Guardian.

Berdasarkan laman web Lilly, retatrutide juga masih belum diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) dan diklasifikasikan sebagai ubat dalam kajian.

Lilly dijangka menerima tujuh lagi keputusan ujian fasa ketiga pada 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg