SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Inisiatif perkasa keluarga penerima zakat tentukan keperluan, fokus bina kestabilan

Inisiatif perkasa keluarga penerima zakat tentukan keperluan, fokus bina kestabilan

Apr 11, 2026 | 10:22 PM

Inisiatif perkasa keluarga penerima zakat tentukan keperluan, fokus bina kestabilan

Di majlis untuk meraikan peserta Kohort 3 Inisiatif Leap yang selesai menjalani program itu, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, bergambar bersama peserta selepas melahirkan rasa kagum terhadap ketabahan dan usaha gigih mereka. Program tersebut telah memberi manfaat kepada 126 keluarga.
Di majlis untuk meraikan peserta Kohort 3 Inisiatif Leap yang selesai menjalani program itu, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, bergambar bersama peserta selepas melahirkan rasa kagum terhadap ketabahan dan usaha gigih mereka. Program tersebut telah memberi manfaat kepada 126 keluarga. - Foto MUIS

Usaha memperkukuh daya tahan keluarga berpendapatan rendah memerlukan lebih daripada bantuan jangka pendek.

Bahkan, usaha ini memerlukan pendekatan berasaskan rasa saling percaya serta sokongan menyeluruh untuk membantu mereka mengharungi cabaran kehidupan dan mencapai kestabilan yang lebih kukuh.

Menekankan perkara tersebut, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata program memperkasa keluarga - Inisiatif Leap - memainkan peranan penting dalam menyokong keluarga ke arah kehidupan yang lebih stabil dan berdaya tahan.

Beliau berkata demikian semasa majlis penutup Inisiatif Leap Kohort 3 yang berlangsung di Holiday Inn Singapore Atrium pada 11 April, di mana 126 keluarga penerima zakat diraikan atas kejayaan mereka selesai jalani program pemerkasaan itu selama dua tahun itu.

“Inisiatif Leap lebih daripada sekadar program bantuan. Ia memperkasa keluarga, membina daya tahan, mengukuhkan ikatan dan mewujudkan sebuah komuniti di mana keluarga dapat berkembang bersama,” katanya.

Inisiatif Leap, yang dibiayai sepenuhnya melalui dana zakat oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan masjid-masjid, menawarkan geran berasaskan pencapaian hingga $5,000 bagi membantu keluarga meningkatkan kehidupan mereka.

Ia memberi tumpuan kepada enam bidang utama, termasuk pengukuhan keluarga, celik kewangan, pendidikan Islam, pembangunan kanak-kanak dan belia, daya kerja serta aset masyarakat.

Dr Faishal berkata keunikan program itu terletak pada pendekatannya yang memperkasa keluarga untuk memahami keperluan mereka sendiri.

“Kita perlu memberi kepercayaan kepada keluarga untuk menentukan keperluan mereka, kerana mereka yang melalui kehidupan tersebut dan lebih memahami cabaran yang dihadapi,” ujarnya.

Tambahnya, apabila keluarga diberi sokongan dengan penuh hormat dan keyakinan, ia bukan sahaja membantu menyelesaikan masalah jangka pendek, malah membina keyakinan diri serta daya tahan untuk melangkah ke hadapan.

Program tersebut turut menggalak peserta merakam perkembangan mereka melalui aplikasi mudah alih untuk mendapatkan akses kepada geran secara berperingkat.

Daripada 160 keluarga yang memulakan program pada Mac 2024, sebanyak 126 keluarga telah berjaya selesai menjalani program itu.

Antara peserta program itu ialah Cik Nuraini Ramli yang menggunakan sebahagian geran untuk menyokong persiapan anaknya menghadapi PSLE, sambil meningkatkan kemahiran diri melalui program peralihan kerjaya di politeknik.

Kini, beliau bekerja sepenuh masa sebagai pembantu pergigian, manakala anaknya berjaya melangkah masuk ke sekolah menengah pilihannya.

Dr Faishal menekankan bahawa pencapaian ini mencerminkan bukan sahaja penggunaan bantuan secara berkesan, tetapi juga semangat keazaman dan keinginan ibu bapa untuk membina masa depan lebih baik buat keluarga mereka.

Beliau menambah bahawa pendekatan menyeluruh ini memastikan keluarga tidak berasa sendirian dalam menghadapi cabaran, sebaliknya disokong oleh rangkaian masyarakat yang prihatin.

Selain menerima manfaat, sebahagian keluarga Inisiatif Leap juga mula menyumbang kembali kepada masyarakat melalui kegiatan sukarela dan inisiatif akar umbi, termasuk membantu jiran yang memerlukan.

Menurut Dr Faishal, semangat menyumbang semula ini mencerminkan kekuatan sebenar sebuah masyarakat yang menyokong antara satu sama lain.

Dr Faishal juga melahirkan rasa terharu melihat ketabahan keluarga yang terlibat, sambil menekankan bahawa setiap pencapaian yang diraih lahir daripada pengorbanan, kasih sayang serta keazaman untuk terus melangkah ke hadapan.

“Kisah-kisah ini menunjukkan bahawa apabila keluarga diberi kepercayaan dan sokongan, mereka mampu melakar perubahan besar dalam kehidupan mereka sendiri,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg