Jari-jemari Cik Sherriza Hareani Jalil, meluncur di atas papan kekunci iPad saat beliau menaip, dan muncul ayat satu per satu pada skrin.
Pada masa yang sama, kedengaran suara yang keluar daripada peranti itu, mengulangi setiap perkataan yang ditaipnya.
Namun, suara itu bukan miliknya, tapi Cik Sherriza amat bergantung pada suara tersebut bagi memastikan setiap ayat yang ditaip menurut apa yang diinginkannya.
Itulah ciri pembaca skrin yang terdapat pada iPad beliau, peranti yang menjadi ‘matanya’ dan ‘teman setianya’ sepanjang beliau mengarang sembilan buku cerita kanak-kanak bergambar yang telah diterbitkan sejak 2022.
Cik Sherriza, kini berusia 57 tahun dan tidak mempunyai anak, disahkan mengalami retinitis pigmentosa, sejenis penyakit mata yang jarang ditemui dan menyebabkan beliau hilang daya penglihatannya secara beransur, pada 2000 ketika berusia 32 tahun.
Tatkala penglihatannya semakin kabur terutama pada waktu malam, keadaan itu terus merosot sehingga beliau hilang sepenuhnya deria penglihatannya pada 2005.
Ketika itu, Cik Sherriza – yang pernah berkecimpung sebagai penulis sambilan, menulis rencana kebudayaan antara 1992 dengan 1994 sebelum beralih menghasilkan penulisan rencana profil bagi ruangan Life! akhbar The Straits Times – terpaksa meninggalkan dunia penulisan selama hampir dua dekad.
“Semakin sukar untuk bergerak ke sana sini untuk temu bual orang dan mengambil gambar.
“Lama-kelamaan, saya tidak dapat membaca apa yang saya sendiri tulis kerana penglihatan saya semakin merosot,” kongsinya kepada Berita Harian.
Meskipun dunianya semakin kelam, minatnya terhadap penulisan kembali marak pada 2021, apabila seorang rakan yang menjual buku mewarna di wadah e-dagang Amazon, mencadangkan agar Cik Sherriza menghasilkan sebuah buku cerita bergambar untuk kanak-kanak.
“Beliaulah pendorong saya. Dengan buku pertama yang saya tulis untuknya, saya terus jatuh cinta dengan proses itu,” ujarnya mengenang detik tersebut.
Buku itu, yang ditulis Cik Sherriza untuk rakannya, berjudul, I Am Not an Owl Or Am I?, mengisahkan seekor burung hantu yang berdepan kekeliruan jati diri, namun akhirnya belajar menerima hakikat kerana keistimewaan yang terdapat pada dirinya sendiri.
Berbekalkan ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana dalam Bahasa Inggeris dari Universiti Nasional Singapura (NUS), serta minat mendalam terhadap bahasa dan sastera, Cik Sherriza sebenarnya sudah lama menyimpan impian untuk menulis buku bergambar, jauh sebelum diagnosis masalah mata yang mengubah hidupnya itu.
Namun ketika itu, beliau tidak mengetahui bagaimana mencari pakar ilustrasi atau penerbit, lalu impian itu kekal hanya sebagai angan-angan.
Dan apabila beliau mendapat tahu tentang penyakitnya, beliau menyangka impian itu telah terkubur.
“Saya memang gemarkan nada warna-warni dalam buku kanak-kanak. Dan saya rasa kanak-kanak adalah insan kegemaran saya di dunia.
“Sebab mereka begitu comel, terutama apabila mereka belajar bahasa… kadang-kadang mereka main hentam saja,” katanya berseloroh.
Setakat ini, beliau telah menerbitkan sembilan judul buku, semuanya dibiayai dirinya sendiri.
Disebabkan tidak berkesempatan untuk membuat pelancaran yang rapi dan pemasaran buku secara besar-besaran, beliau telah mengorak langkah pada awal 2025 untuk memasarkan buku-buku tersebut dengan lebih aktif.
Buku-buku bergambarnya dihasilkan dengan pendekatan terangkum untuk pembaca muda berusia lima hingga lapan tahun.
Ia menggabungkan ilustrasi berwarna ceria, penceritaan audio, muzik dan video untuk menghidupkan watak-watak dalam cerita.
“Banyak buku bergambar bergantung pada ilustrasi untuk menyampaikan cerita. Saya cuba menulis sesuatu yang boleh difahami oleh kanak-kanak yang tiada daya penglihatan, walaupun tanpa melihat gambar,” katanya.
Menerusi suaminya, Encik Rashul Rahman, 52 tahun, seorang jurutera bunyi bebas, Cik Sherriza menerima bantuan berkaitan susun atur dan penyuntingan, hinggalah penyediaan video, format audio dan pemasaran digital asas.
Sebagai pemasar digital, penerbit dan pereka bunyi kepada karya-karyanya, Encik Rashul menggunakan pengalaman luasnya dalam bidang kejuruteraan bunyi untuk menyesuaikan tulisan Cik Sherriza ke dalam pengalaman audio yang mendalam, malah mencipta lagu-lagu asli dengan judul seperti, Mermaid On A Mountaintop, The Fart Brigade, dan Baa Baa Baby Braves The Big Baa-d Bully.
Kini, dengan sebuah projek baru sedang diusahakan, beliau berhasrat menulis sebuah cerita yang sudah mempunyai lagu yang digubah.
Sambil ketawa kecil, Cik Sherriza mengimbau kembali salah satu hasil karyanya, Mermaid On A Mountaintop, yang turut disertakan lagu yang digubahnya sendiri, bagi Puteri Gunung Ledang.
Ia sebagai projek yang dilakukan atas minatnya sendiri, sekitar 25 tahun sebelum lahir bukunya, Mermaid On A Mountaintop.
“Beginilah kehidupan seorang publisis,” tambahnya bercanda.
“Tapi memandangkan lagunya sudah ada, saya kenalah menulis cerita yang boleh disesuaikan dengan lagu itu,” ujarnya.
“
Banyak buku bergambar bergantung pada ilustrasi untuk menyampaikan cerita. Saya cuba menulis sesuatu yang boleh difahami oleh kanak-kanak yang tiada daya penglihatan, walaupun tanpa melihat gambar.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg