Topik diikuti
Pergi ke BHkuIbu bapa Fengshan nikmati akses utama kemudahan menerusi kumpulan sokongan baharu
Ibu bapa Fengshan nikmati akses utama kemudahan menerusi kumpulan sokongan baharu
DPM Gan: Rakyat perlu bersatu agar S’pura dapat atasi cabaran bersama
Ibu bapa Fengshan nikmati akses utama kemudahan menerusi kumpulan sokongan baharu
Ibu bapa di Fengshan kini boleh menikmati keutamaan bagi akses kepada kemudahan dan sumber kendalian Kelab Masyarakat Fengshan dan Rangkaian Penduduk (RN) kawasan tersebut melalui kumpulan sokongan ibu bapa baharu.
Inisiatif itu diumumkan oleh Anggota Parlimen GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim, pada 26 April dan bertujuan memperkukuh ekosistem masyarakat di kawasan tersebut.
Melalui Kelab Ibu Bapa Fengshan yang dilancarkan pada 2025, Cik Hazlina, yang juga merupakan penasihat pertubuhan akar umbi GRC East Coast bagi kawasan Fengshan, berkata kanak-kanak dan keluarga juga boleh berinteraksi dan saling menyokong selain memupuk perpaduan sosial dan hubungan yang baik antara jiran.
Semasa Lawatan Masyarakat Menteri (MCV) ke Fengshan pada 26 April, Timbalan Perdana Menteri (DPM) Encik Gan Kim Yong, turut menggesa orang ramai untuk terus bersatu padu supaya Singapura dapat mengatasi sebarang cabaran bersama.
“Jika kita melihat sekeliling kita, kita hidup dalam dunia yang penuh dengan ketidakpastian, penuh dengan ketidakstabilan. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok, tetapi kita perlu kekal bersama sebagai satu masyarakat, satu rakyat, satu negara.
“Dengan cara ini, kita akan memastikan bahawa kita dapat sentiasa mengatasi sebarang cabaran... dan apabila kita kekal bersama, kita boleh melakukan yang lebih baik, dan kita akan bangkit lebih kuat,” kata Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.
Encik Gan dan Cik Hazlina juga bertemu dengan penduduk dan pemilik gerai di Pusat Penjaja Fengshan di Blok 85 Bedok North Street 4 sebelum bertemu dengan lebih ramai keluarga muda, termasuk anggota Kelab Ibu Bapa Fengshan, di Kelab Masyarakat Fengshan.
Kelab Ibu Bapa Fengshan itu ditubuhkan susulan maklum balas daripada penduduk untuk menyokong keluarga muda dengan menghubungkan ibu bapa, menyediakan sumber dan membina rangkaian sokongan rakan sebaya yang kukuh dalam masyarakat.
Ia bertujuan untuk menyatukan ibu bapa kali pertama dan keluarga yang mempunyai anak kecil melalui program penglibatan, inisiatif perkongsian sumber, perkongsian dengan karyawan, serta menyokong ibu bapa merentasi pelbagai peringkat perjalanan keibubapaan mereka.
Sekitar 50 ibu bapa telah menghadiri sesi rangkaian pertama kelab itu di Kelab Masyarakat Fengshan pada 26 April di mana mereka juga menerima beg bayi Fengshan oleh Encik Gan dan Cik Hazlina.
Setiap beg mengandungi barang penjagaan bayi dan ibu yang asas, serta maklumat berguna tentang perkhidmatan penjagaan kesihatan berdekatan dan sumber masyarakat.
Sejak pelancarannya, Cik Hazlina berkata ahli kumpulan itu bertambah sebanyak 30 peratus dan beliau berharap dapat mengembangkan kelab tersebut kepada 100 keluarga.
“Niat utama sebenarnya adalah untuk melalui perjalanan ini bersama keluarga muda yang kami lihat semakin berkembang di Fengshan, terutamanya kerana Fengshan merupakan sebuah estet yang matang.”
“Mempunyai keluarga muda di sini menyuntik nafas yang segar dan membawa keceriaan kepada warga emas kami.
“Jadi, kami ingin menyatukan orang ramai, bukan sahaja untuk berada di sisi mereka sepanjang perjalanan, tetapi juga memberi mereka sokongan apabila mereka memerlukan,” kata Cik Hazlina.
Satu ciri utama Kelab Ibu Bapa Fengshan itu, kata Cik Hazlina, ialah perkongsian barangan terpakai, di mana ibu bapa dapat berkongsi barang bayi dalam keadaan baik dengan orang lain, sambil menggalak kemampanan dan mengurangkan pembaziran.
Seorang ahli kelab itu, Cik Ruziana Rudy, 38 tahun, yang mempunyai enam anak berumur antara dua hingga 14 tahun, berkata beliau menyertai kelab itu kerana ingin mengetahui lebih lanjut tentang apa yang boleh beliau lakukan untuk anak bongsunya.
Beliau, yang datang bersama suaminya, Encik Mohammad Fazil Abdul Aziz, 42 tahun, dan anak perempuan mereka, Elyza Arriana, dua tahun, juga berharap dapat berkongsi pengalaman keibubapaan dan barangan terpakainya dengan ibu bapa kali pertama yang lain.
“Melalui kelab ini, kami berharap dapat bertukar apa sahaja yang diperlukan oleh ibu bapa lain dan barang yang kami tidak perlukan supaya tidak menjadi sia-sia dan terbuang.
“Kami juga boleh berkongsi pengalaman keibubapaan kami – apa yang baik, apa yang salah – seperti pentingnya untuk bersabar dalam mengendalikan anak-anak kami yang semuanya mempunyai perangai dan tingkah laku yang berbeza,” kata Cik Ruziana.
