Topik diikuti
Pergi ke BHkuHubungan pertahanan S’pura-Brunei diperkukuh sempena 50 tahun kerjasama
Hubungan pertahanan S’pura-Brunei diperkukuh sempena 50 tahun kerjasama
Hubungan pertahanan S’pura-Brunei diperkukuh sempena 50 tahun kerjasama
Singapura dan Brunei mengesahkan semula hubungan pertahanan dua hala yang rapat dan sekian lama terjalin, dengan 2026 menandakan ulang tahun ke-50 hubungan pertahanan antara kedua-dua negara.
Perkara itu ditekankan susulan lawatan pengenalan Komander Angkatan Darat Diraja Brunei (RBLF), Brigadier Jeneral (BG) Aldi bin Haji Hassan ke Singapura dari 27 hingga 30 April 2026, kata kenyataan berita Mindef pada 29 April. Beliau telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, di Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 29 April.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama pertahanan yang telah lama terjalin. Mereka turut bertukar pandangan mengenai usaha memperdalam kerjasama antara tentera Singapura dengan RBLF, termasuk meneroka peluang baharu dalam latihan bersama dan pembangunan keupayaan ketenteraan.
Sepanjang lawatannya, BG Aldi turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Panglima Angkatan Tentera, Laksamana Madya Aaron Beng, serta Panglima Tentera Darat, Mejar Jeneral (MG) Cai Dexian, selepas memeriksa Kawalan Kehormatan di Mindef.
Sebagai sebahagian daripada program lawatan, beliau dijadual melawat Kumpulan Jurutera Tempur Tentera Darat di Kem Seletar, di mana beliau akan diberi taklimat mengenai operasi Jurutera Tempur Singapura. Lawatan itu juga merangkumi kunjungan ke Pangkalan Logistik Tentera Darat, yang mempamerkan peralatan peribadi anggota serta demonstrasi teknologi pengukuran badan berasaskan 3D bagi meningkatkan kesesuaian kelengkapan askar.
Lawatan BG Aldi mencerminkan hubungan pertahanan dua hala yang kukuh dan terus berkembang antara Singapura dengan Brunei Darussalam. Kedua-dua angkatan darat telah lama berinteraksi secara konsisten melalui lawatan peringkat tinggi, pertukaran profesional, penyertaan bersama dalam kursus, serta latihan dua hala.
Interaksi berterusan ini bukan sahaja memperkukuh kerjasama operasi, malah memperdalam persefahaman bersama dan hubungan antara anggota kedua-dua negara. Ia sekali gus menjadi asas penting dalam memastikan kestabilan dan keselamatan serantau yang berterusan.
