Topic followed successfully
Go to BHkuHSA bangunkan sistem jejak ribuan kes vape dalam hanya 3 minggu
HSA bangunkan sistem jejak ribuan kes vape dalam hanya 3 minggu
HSA bangunkan sistem jejak ribuan kes vape dalam hanya 3 minggu
Apabila pesalah vape pertama ditangkap di bawah undang-undang antivape sementara pada 1 September 2025, pasukan di Penguasa Sains Kesihatan (HSA) berasa lega kerana sistem digital baru yang dibangunkan dalam masa tiga minggu tidak mengalami sebarang gangguan.
Pasukan HSA dan Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) telah bertungkus-lumus membina Sistem Maklumat Pengambilan Vape (VIS) baru, iaitu sebuah platform sehenti yang digunakan oleh pegawai penguatkuasa bagi mengendali kesalahan berkaitan vape.
Kini, ia mengendalikan lebih 5,500 kes pesalah vape yang merangkumi ciri-ciri pengesanan bagi penguatkuasaan, perkongsian maklumat antara agensi, dan perkembangan pemulihan para penagih.
Sejak penggunaan vape dilarang di Singapura pada 2018, ia sebahagian besarnya dianggap sebagai isu merokok.
Namun pada pertengahan 2025, muncul laporan mengenai vape yang mengandungi etomidate atau Kpod, yang menyebabkan pengguna mengalami sawan dan episod psikosis.
Pemerintah mengambil langkah menyenaraikan etomidate sebagai dadah Kelas C buat sementara, di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah mulai 1 September 2025.
Menerusi langkah ini, pengguna vape berdepan hukuman lebih berat dan tertakluk kepada rangka kerja pemulihan.
Langkah ini menuntut perubahan operasi secara mendadak bagi HSA.
Pengarah cawangan penguatkuasaan HSA, Cik Annie Tan, berkata halangan terbesar adalah peralihan daripada sekadar mengeluarkan denda kepada menguruskan ribuan kes kompleks yang melibatkan siasatan dan pemulihan.
“Sistem yang kami pakai sebelum ini adalah untuk penguatkuasaan semata-mata, dan tidak dibangunkan untuk menangani isu baru yang dibawa oleh vape.
“Kami kini melihat kepada aspek pemulihan, sesuatu yang belum pernah kami kendalikan sebelum ini. Kami perlu menerapkan elemen ini ke dalam sistem baru,” kata Cik Tan.
Apabila nama pesalah dimasukkan ke dalam VIS, sistem tersebut akan memaparkan butiran peribadi serta semua rekod kesalahan vape lalu mereka.
Ini termasuk kekerapan mereka ditangkap, dihantar ke pusat pemulihan, hasil siasatan, dan tindakan yang pernah diambil sebelum ini.
Ia juga memaklumkan pegawai tentang tindakan yang perlu diambil, yang mungkin melibatkan pengeluaran denda atau tangkapan serta-merta.
“VIS dibangunkan bagi mengurangkan bahaya vape, untuk membolehkan tindakan pantas diambil serta merekodkan lebih banyak kes sedemikian.
“Ia menjejaki seseorang (pesalah) bermula dari saat mereka ditangkap sehingga tamat tempoh pemulihan bagi membantu mereka menghentikan tabiat tersebut,” jelas Cik Tan.
Sebelum adanya VIS, HSA bergantung kepada daftar lebih ringkas yang dilancarkan pada Disember 2023, yang memudahkan pengeluaran notis kompaun dan pembayaran denda.
Tugas membangunkan platform ini digalas oleh sebuah pasukan yang terdiri kurang daripada 10 pegawai, termasuk Ketua Pegawai Maklumat HSA, Encik Siva Raj Komarasamy, yang dipinjamkan kepada HSA daripada GovTech.
Mereka kesuntukan masa untuk menyiapkan sistem yang bakal digunakan oleh 13,000 pegawai merentasi pelbagai agensi pemerintah, termasuk Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Sistem baru mereka dibangunkan dengan menyepadukan lapan produk sedia ada milik GovTech, termasuk sistem pengurusan borang dan kes, sistem penyampaian, serta Sistem Janji Temu Kesihatan bagi mengendalikan penjadualan pemulihan.
Dalam tempoh tujuh bulan sejak ia dilancarkan pada 1 September 2025, VIS telah digunakan untuk merekodkan kes membabitkan lebih 5,500 pesalah.
Dengan undang-undang antivape tetap baru yang bakal berkuat kuasa pada 1 Mei, sistem tersebut memerlukan kemas kini lanjut bagi mencerminkan jumlah denda yang telah disemak semula serta rejim pemulihan lebih ketat.

