Topic followed successfully
Go to BHkuHarga kambing, domba dari Australia naik, dijangka terus lonjak
Harga kambing, domba dari Australia naik, dijangka terus lonjak
Harga kambing, domba dari Australia naik, dijangka terus lonjak
Harga khidmat korban dari Australia dijangka naik berikutan peningkatan kos bahan api dan penghantaran menyusuli konflik berterusan di Timur Tengah.
Harga yang ditetapkan penyedia perkhidmatan korban yang dihubungi Berita Harian (BH) menunjukkan harga seekor kambing biri-biri di Australia adalah antara $369 dengan $389.
Beberapa penyedia khidmat korban telah menaikkan harga pakej mereka, dan mungkin akan meningkatkan lagi kos tersebut, bergantung pada keputusan pembekal dari Australia.
Antara syarikat yang terjejas ialah Musafireen.Sg, yang mencatat kenaikan harga daripada $380 (2025) kepada $388 (termasuk penghantaran ke rumah) bagi seekor kambing.
Kenaikan harga ini berpunca daripada peningkatan kos yang telah dikenakan pembekal di Australia.
Pemilik syarikat tersebut, Ustaz Muhammad Danial Abdul Karim, berkata:
“Bagi pakej korban di Australia, saya menjangkakan akan ada sedikit masalah tentang harga.
“Disebabkan daging yang disembelih di Australia akan dihantar ke Singapura, kos penghantaran akan terjejas kerana kos minyak dan bahan api yang kian meningkat.
“Pembekal dari Australia berkata mereka akan memberi maklumat lanjut berkenaan hal ini. Jika mereka naikkan harga disebabkan peperangan yang sedang berlaku, kami pun akan naikkan juga tapi mungkin sedikit sahaja,” tambah beliau.
Walaupun berdepan dengan ketidaktentuan kenaikan harga yang mungkin akan terus melonjak naik, Ustaz Danial akan cuba mengekalkan harga pakej di bawah $400.
“Dengan kos yang bakal dinaikkan pembekal, harga sepatutnya mencecah lebih $400, tetapi saya cuba kawal bawah $400 agar tidak terlalu mahal untuk pelanggan,” tambah beliau
Seorang lagi penyedia perkhidmatan korban, Encik Muhammad Asraf Amin, 33 tahun, turut rasa terhimpit dek kenaikan kos kambing kibas.
Menurut Encik Asraf, beliau sudah jangkakan kenaikan kos yang bakal dikenakan rentetan kemelut yang sedang berlangsung di Timur Tengah.
“Apabila berita tentang penutupan Selat Hormuz dan kenaikan kos bahan api diumumkan, saya sudah jangkakan kenaikan bagi kos korban, terutama sekali di Australia.
“Apabila pembekal menaikkan kos, kami juga terpaksa naikkan harga perkhidmatan korban,” jelas pengasas Brojectsg, sebuah badan penyedia perkhidmatan korban di Singapura.
Pada 2025, harga seekor domba yang dikenakan Brojectsg bernilai $379.
Namun, pada 2026, Encik Asraf tidak dapat mengekalkan harga tersebut.
Malah, beliau memutuskan untuk menggantikan domba itu dengan kambing pada harga $389.
“Kami tak dapat teruskan dengan menawarkan daging domba dengan kenaikan kos sekarang.
“Oleh itu, saya memutuskan untuk menjual kambing yang lebih murah berbanding kambing kibas atau domba bagi perkhidmatan korban pada 2026.
“Jika kami teruskan untuk menjual domba ini, kami terpaksa menjualnya pada harga yang tinggi sekitar $450,” tambah beliau.
Namun begitu, Encik Asraf menegaskan harga $389 bagi seekor kambing yang dikenakan akan kekal dan tidak akan meningkat lagi, tidak kira keadaan yang mendatang.
Sebahagian penyedia juga memutuskan untuk tidak memasukkan ternakan dari Australia dalam pakej mereka bagi memastikan pakej korban kekal mampu milik.
Pengasas bersama Hala’SG, Ustaz Muhammad Afiq Azman, berkata:
“Kami sudah jangkakan dengan keadaan peperangan sekarang, pasti akan ada kenaikan pada kos bahan api dan penghantaran dari Australia ke Singapura.
“Justeru, berbeza pada tahun-tahun lalu, pada 2026, kami tidak menawarkan kambing dari Australia dalam perkhidmatan kami.”
Selain badan dan syarikat penyedia perkhidmatan korban, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) juga telah menguar-uarkan pakej korban di bawah usaha SalamSG Korban.
Berdasarkan kenyataan media Muis, harga seekor kambing bernilai $365, manakala seekor domba bernilai $370.
“
“Apabila berita tentang penutupan Selat Hormuz dan kenaikan kos bahan api diumumkan, saya sudah jangkakan kenaikan bagi kos korban, terutama sekali di Australia. Apabila pembekal menaikkan kos, kami juga terpaksa naikkan harga perkhidmatan korban.”

