SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Halijah Travels perluas niaga warisan, lancar khidmat urus jenazah

Halijah Travels perluas niaga warisan, lancar khidmat urus jenazah

Mar 24, 2026 | 3:20 PM

Halijah Travels perluas niaga warisan, lancar khidmat urus jenazah

Halijah Travels, Haffidz Abdul Hamid, perniagaan warisan, tanah suci, haji, umrah
Pengurus Besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid, berharap masyarakat akan terus sokong perniagaan warisan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sempena peralihan Berita Harian (BH) ke saiz kompak dalam proses transformasinya, akhbar ini memperkenalkan siri Melayu SG. Siri baru ini mengetengahkan individu, perniagaan dan pertubuhan yang mencipta semula diri mereka untuk mengharungi arus perubahan. Dalam siri kali ini, BH memaparkan perniagaan warisan.

Sebut sahaja Halijah Travels, pasti ramai yang mengaitkan syarikat tersebut dengan pengalaman menunaikan haji atau umrah.

Manakan tidak, perniagaan ini telah membina reputasi sebagai antara agensi paling dipercayai dalam menguruskan jemaah Singapura ke Tanah Suci.

Namun, syarikat itu baru-baru ini meluaskan portfolio perniagaannya.

Daripada sekadar membantu jemaah menunaikan salah satu rukun Islam, kini mereka turut ‘menemani’ perjalanan terakhir jemaah ke liang lahad.

Pada Januari lalu, Halijah Travels secara rasmi melancarkan perkhidmatan pengurusan jenazah.

Dihubungi Berita Harian (BH), Pengurus Besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid, berkata langkah itu adalah antara cara bagi syarikatnya meluaskan haluan perniagaan bagi berdepan dengan cabaran semasa.

Sebagai perniagaan warisan, perjalanannya semakin berliku.

Paga Oktober 2025, Halijah Travels merupakan salah satu daripada 42 syarikat diiktiraf Lembaga Warisan Negara (NHB) di bawah Skim Perniagaan Warisan, menjadikannya satu-satunya syarikat pelancongan dalam senarai tersebut.

“Pendekatan yang kami ambil adalah untuk sentiasa mengaitkan kewujudan syarikat kami kepada sejarah kapal haji, di mana orang ramai pergi ke Bussorah Street dan memulakan perjalanan haji di sana.

“Orang berasal dari Riau dan Malaysia turun ke sana, menjadikan ia hab menunaikan haji.

“Kami membeli rumah kedai di Kampong Gelam lebih 25 tahun lalu, sebagai usaha mengekalkan warisan,” ujarnya.

Bagaimanapun, ia semakin sukar dengan timbulnya banyak kedai-kedai kecil yang menjual cenderahati, yang menurutnya, boleh mengikis warisan tempatan itu.

Memandangkan Halijah Travels bukan sekadar bergantung kepada kakitangan sepenuh masa, bahkan memerlukan khidmat relawan yang membawa jemaah ke Tanah Suci, Encik Haffidz merancang untuk memanfaatkan kepakaran yang sedia ada dalam kalangan mereka.

“Dalam kalangan pegawai, ada yang merupakan asatizah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), ada yang mempunyai pensijilan untuk memandikan jenazah.

“Kami juga mempunyai kumpulan klien tersendiri yang percaya perkhidmatan kami menerusi pengalaman ke haji dan umrah,” ujarnya.

Ternyata, jenazah pertama yang dimandikan apabila perkhidmatan pengurusan jenazah dilancarkan merupakan ahli keluarga jemaah haji yang akan mengikuti Halijah Travels pada 2026.

Lebih daripada itu, Encik Haffidz berkongsi bahawa niat mereka membangunkan khidmat pengurusan jenazah adalah kerana mereka mempunyai matlamat untuk membuka pusat pengurusan jenazah sendiri.

Walaupun akui sudah ada 40 hingga 50 khidmat pengurusan jenazah Muslim di Singapura, belum ada yang mempunyai pusatnya tersendiri atau kemudahan mengawet jenazah.

“Jika jenazah itu merupakan pembantu rumah pekerja asing dari Bangladesh, tidak boleh tanam di Singapura dan jenazah perlu dihantar pulang ke negara asal.

“Namun sebelum itu, mereka perlu diawet dan buat masa kini, ia dilakukan dalam kemudahan bukan Islam,” jelasnya.

Lagipun, beliau berkata dengan keadaan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang semakin kecil ruangnya, ia lebih mudah jika ada kemudahan yang dapat menguruskan jenazah daripada proses permulaan iaitu mandi, kafan, solat sebelum dihantar ke pusara.

Ditanya sama ada beliau sudah ada pelapis untuk mengambil alih syarikatnya satu hari nanti, Encik Haffidz tidak dapat memberikan jawapan yang pasti.

Namun, baginya, tidak kira anggota keluarga sendiri atau orang luar, yang penting individu tersebut perlu berkongsi niat dan nilai yang sama, iaitu mengendalikan perniagaan dengan penuh ihsan.

Dalam perniagaan yang berkait rapat dengan agama, seseorang tidak boleh hanya memandang dari sudut keuntungan semata-mata, tekannya.

Sebaliknya, perlu ada sentuhan belas ihsan dan keprihatinan apabila berinteraksi dengan pelanggan.

Melahirkan harapan, beliau berkata:

“Perniagaan warisan rata-ratanya tidak lantang, dan kami berjuang dalam diam.

“Kami mampu bertahan hingga kini atas berkat sokongan masyarakat, justeru penting untuk masyarakat terus menyokong perniagaan warisan supaya ia dapat terus berdaya saing dan mempunyai dorongan untuk meneruskan perjalanan ini. Ia tentunya tidak mudah.”

“Perniagaan warisan rata-ratanya tidak lantang, dan kami berjuang dalam diam. Kami mampu bertahan hingga kini atas berkat sokongan masyarakat, justeru penting untuk masyarakat terus menyokong perniagaan warisan supaya ia dapat terus berdaya saing dan mempunyai dorongan untuk meneruskan perjalanan ini. Ia tentunya tidak mudah.”
Encik Haffidz Abdul Hamid, Pengurus Besar Halijah Travels.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg