SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

NHB perkenal daftar dalam talian promosi perniagaan warisan S’pura

NHB perkenal daftar dalam talian promosi perniagaan warisan S’pura

Turut perkenal sokongan perundingan disuai bagi bantu tangani cabaran selain cari huraian
Mar 23, 2026 | 2:46 PM

NHB perkenal daftar dalam talian promosi perniagaan warisan S’pura

Singapore, NHB, warisan, heritage, Kampong Gelam
Sebanyak 42 perniagaan diiktiraf di bawah Skim Perniagaan Warisan SG, termasuk 21 perniagaan di kawasan Kampong Gelam dan Chinatown. - Foto ZAOBAO

Tidak lama lagi, orang ramai boleh melungsuri daftar dalam talian untuk mengetahui lebih lanjut tentang perniagaan warisan Singapura.

Ini sedang Lembaga Warisan Negara (NHB) membangunkan daftar perniagaan, yang disasarkan terhadap pengunjung tempatan mahupun antarabangsa yang ingin menyokong perniagaan warisan atau melibatkan diri dalam pengalaman warisan.

Daftar itu dijangka siap pada April ini.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), NHB berkata ia juga akan melancarkan kempen pemasaran bagi mempromosikan 42 perniagaan yang diiktiraf dengan Anugerah Skim Perniagaan Warisan.

Skim Perniagaan Warisan SG diperkenalkan pada Oktober 2025 untuk mengiktiraf perniagaan warisan dan menggalak orang ramai menghargai nilai budaya mereka.

Sejauh ini, 42 perniagaan telah diiktiraf di bawah skim tersebut, termasuk 21 perniagaan di kawasan Kampong Gelam dan Chinatown.

Nasib dan cabaran yang dihadapi perniagaan warisan mula mendapat perhatian ramai baru-baru ini apabila Restoran Pariaman yang berusia 78 tahun mengumumkan penutupannya.

Ia sekali gus menimbulkan perbualan hangat tentang cabaran yang dihadapi perniagaan warisan untuk bertahan dalam era moden, dengan antara keprihatinan melibatkan harga sewa yang melambung.

Seiring itu, NHB menambah, ia akan membantu mempromosikan perniagaan warisan yang telah diiktiraf.

Antaranya dengan menghasilkan video yang memaparkan kisah perniagaan tersebut yang kurang dikenali; perkongsian tentang cabaran yang dihadapi; usaha untuk berinovasi; kehidupan seharian peniaga; serta peranan mereka untuk terus menghidupkan warisan masyarakat mereka.

Perniagaan juga akan menerima aset fizikal lain seperti risalah, sepanduk dan perkhidmatan fotografi percuma bagi menyokong usaha promosi mereka.

Jurucakap NHB berkata:

“Perniagaan warisan adalah sebahagian penting dalam identiti kebudayaan dan warisan hidup Singapura, mencerminkan tradisi yang dihormati merentas masa dan menyumbang kepada kepelbagaian masyarakat kita.

“Sesetengah perniagaan warisan juga merupakan tunjang masyarakat yang memberi kembali kepada masyarakat dalam pelbagai cara dan berfungsi sebagai lambang kebiasaan dan penghubung antara generasi.”

Selain itu, pada Mac ini, NHB mula memperkenalkan sokongan perundingan yang disesuaikan bagi menangani cabaran atau jurang yang dihadapi perniagaan supaya dapat membangunkan huraian yang sesuai.

Mereka turut berusaha menggalakkan perniagaan warisan agar memanfaatkan geran serta langkah sokongan sedia ada, antaranya Geran Transformasi Pertubuhan (OTG) yang bertujuan menggalak dan menyokong perniagaan dan pertubuhan warisan menghasilkan projek transformatif atau inovatif yang menyumbang kepada kemampanan dan daya maju jangka panjang perniagaan mereka.

Sejak OTG dilancarkan pada 2021, lebih 55 projek telah disokong, termasuk kedai makan Rumah Makan Minang; kedai kuih tradisional Deli Maslina; butik kebaya Kebaya by Ratianah; dan kedai minyak wangi Sifr Aromatics.

Jurucakap NHB berkata melindungi warisan hidup merupakan usaha bersama.

“Pemerintah tidak boleh mengekalkan perniagaan warisan tanpa sokongan daripada masyarakat, dan kami berharap warga Singapura dapat menyokong secara aktif usaha melindungi warisan hidup kita, dengan membantu mempromosi dan membeli daripada perniagaan warisan ini, yang akan menguatkan usaha oleh pemerintah dan menangani isu permintaan yang dihadapi oleh perniagaan sedemikian,” jelasnya.

Orang ramai boleh mencari tanda Perniagaan Warisan SG, yang menjadikan ia lebih mudah untuk mengenal pasti perniagaan yang telah diiktiraf.

Mulai April 2026, orang ramai boleh merujuk kepada daftar dalam talian di laman web NHB bagi mengetahui lokasi perniagaan tersebut.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg