SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pemimpin tertinggi Iran tolak perang, isyarat fasa baharu Selat Hormuz

Pemimpin tertinggi Iran tolak perang, isyarat fasa baharu Selat Hormuz

Apr 10, 2026 | 12:49 PM

Pemimpin tertinggi Iran tolak perang, isyarat fasa baharu Selat Hormuz

iran, selat
Pemimpin Tertinggi Iran yang baharu, Ayatollah Mojtaba Khamenei, berkata Iran perlu melindungi haknya sebagai sebuah negara, dan bertegas akan menuntut pampasan bagi semua kerugian berkaitan perang. - Foto AFP

TEHERAN: Pemimpin Tertinggi Iran yang baharu, Ayatollah Mojtaba Khamenei, berkata dalam mesej bertulisnya bahawa negaranya tidak mahu berperang dengan Amerika Syarikat dan Israel, tetapi akan melindungi haknya sebagai sebuah negara, lapor televisyen pemerintah pada 9 April.

“Kami tidak mahu berperang dan kami tidak mahukannya,” katanya dalam mesej yang dibacakan di stesen penyiar pemerintah, beberapa minggu selepas bapanya, Ayatollah Ali Khamenei, terbunuh pada 28 Februari, hari pertama perang meletus.

Dalam perutusan tersebut, beliau menyatakan pengurusan Selat Hormuz akan “memasuki fasa baharu”, sambil menegaskan bahawa Teheran akan menuntut pampasan bagi semua kerugian berkaitan perang, lapor agensi berita dari Turkey, Anadolu Ajansi.

“Tetapi kami tidak akan melepaskan hak sah kami dalam apa jua keadaan, dan dalam hal ini, kami menganggap barisan penentang secara menyeluruh,” tambahnya, dalam rujukan yang jelas kepada Lebanon di mana Israel sedang memerangi sekutu Teheran, Hezbollah.

Beliau turut memberi amaran Iran kekal bersedia bertindak balas terhadap sebarang pencerobohan baru.

“Tangan kami tetap berada di picu,” katanya, sambil menegaskan bahawa sebarang kesilapan oleh pihak lawan akan dibalas dengan tindak balas tegas. 

Kenyataan itu dibuat ketika Iran bersiap sedia untuk berunding dengan Amerika di Pakistan, yang dijangka bermula pada 11 April di bawah pengantaraan Pakistan.

Menurut Iran, rundingan itu bertujuan memuktamadkan butiran perjanjian yang berpotensi dimeterai, sambil menegaskan bahawa ia tidak bermakna konflik telah berakhir. 

Iran bersetuju minggu ini untuk gencatan senjata dua minggu yang rapuh dengan Amerika yang boleh membawa kepada rundingan damai selepas menerima ancaman pemusnahan daripada Presiden Amerika, Encik Donald Trump.

Encik Mojtaba memberitahu rakyat Iran mereka tidak boleh “membayangkan bahawa turun ke jalanan tidak lagi diperlukan”, walaupun gencatan senjata telah diumumkan.

“Suara anda di dataran awam tidak syak lagi berpengaruh dalam hasil rundingan,” katanya menerusi mesej yang disiarkan oleh stesen televisyen pemerintah.

Mungkin ekoran cedera dalam serangan yang mengorbankan bapanya, Encik Mojtaba, masih belum tampil di khalayak ramai sejak pelantikan kepimpinannya.

Beliau telah mengeluarkan deklarasi bertulis, kebanyakannya dibacakan oleh penyampai di televisyen pemerintah.

Presiden Trump sebelum ini membuat spekulasi beliau mungkin sudah meninggal dunia.

Namun, televisyen pemerintah Iran menyatakan beliau sedang pulih daripada kecederaan dan menyiarkan gambarnya, tanpa menyatakan bila ia diambil.

Gencatan senjata yang diumumkan oleh Encik Trump, itu memberi kelegaan kepada masyarakat antarabangsa, khususnya selepas kebimbangan konflik itu akan terus memuncak.

Namun, kebanyakan negara menegaskan perjanjian tersebut masih rapuh dan memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak.

Di sebalik gencatan senjata dikuatkuasakan mulai 8 April, trafik maritim melalui Selat Hormuz – laluan penting untuk eksport minyak, gas asli dan komoditi lain dari Teluk Parsi – masih dikekang teruk oleh Iran.

Gencatan senjata selama 14 hari, yang menurut Amerika bergantung kepada tindakan Iran membuka sekatan Hormuz, masih belum diterjemahkan kepada peningkatan perkapalan yang bermakna.

Hanya segelintir kapal yang diperhatikan melakukan pelayaran keluar daripada Teluk Parsi pada 8 April dan pagi 9 April.

Dalam keadaan biasa, kira-kira 135 kapal melintasi selat itu setiap hari. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg