SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Faishal: Keutamaan haji musim depan bagi jemaah terjejas, tertakluk kuota Arab Saudi

Faishal: Keutamaan haji musim depan bagi jemaah terjejas, tertakluk kuota Arab Saudi

Apr 8, 2026 | 1:24 PM

Faishal: Keutamaan haji musim depan bagi jemaah terjejas, tertakluk kuota Arab Saudi

Faishal, haji, kuota Arab Saudi
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim - Foto MDDI

Jemaah haji bagi 2026 akan diberi keutamaan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu pada musim-musim berikutnya, sekiranya mereka memilih untuk menunda atau rancangan haji tahun ini terganggu atau terpaksa dibatalkan akibat konflik di Timur Tengah.

Namun, keutamaan ini masih tertakluk kepada kuota tahunan yang diperuntukkan oleh pemerintah Arab Saudi, jelas Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, di Parlimen pada 8 April.

Beliau menambah bahawa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) juga akan bekerjasama dengan ejen pelancongan atau ejen penjualan (GSA) dan penyedia perkhidmatan di Saudi bagi meneroka kemungkinan bayaran balik memandangkan situasi yang tidak menentu.

Dr Faishal turut mengulangi bahawa persiapan untuk musim haji 2026 sedang berjalan seperti yang dirancang, dan Muis akan terus memantau perkembangan terkini di Timur Tengah.

“Kami faham bahawa jemaah akan bimbang tentang kesan kewangan sekiranya ibadah haji dibatalkan atau terganggu.

“Kami sedang berhubung rapat dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (MOHU) dan Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas) bagi memastikan jemaah yang terjejas menerima sokongan dan bantuan kewangan yang diperlukan. Jenis sokongan yang kami berikan juga bergantung kepada keadaan semasa.

“Oleh itu, sekiranya haji dibatalkan atau terganggu pada tahun ini, kami akan bekerjasama rapat dengan Amtas untuk membolehkan jemaah yang terjejas menangguhkan perjalanan ke musim haji yang berikutnya.

“Muis akan bekerjasama dengan ejen pelancongan atau ejen penjualan dan penyedia perkhidmatan yang berpangkalan di Arab Saudi untuk meneroka kemungkinan bayaran balik memandangkan situasi tersebut,” kata beliau.

Dr Faishal berkata demikian sewaktu menjawab soalan Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar) mengenai keutamaan bagi jemaah haji yang terjejas untuk musim haji berikutnya, dan sama ada bayaran balik akan ditawarkan, jika musim haji ini dibatalkan atau terganggu.

Pelan rapi turut dirangka demi memastikan perjalanan haji bagi musim 2026 selamat bagi jemaah, termasuk penggunaan penerbangan terus ke dan dari Saudi, memilih pilihan pengangkutan darat yang kurang berisiko gangguan, serta penyelarasan pergerakan jemaah yang lebih teliti di Madinah, Makkah, dan Jeddah.

Muis juga sedang membangunkan pelan kontingensi bersama Amtas dan GSA untuk merangka tindak balas bagi potensi gangguan perjalanan dan insiden yang tidak dijangka sepanjang ibadah haji.

“Kami akan terus memantau keadaan dan memastikan semua jemaah dimaklumkan tentang aturan terkini serta langkah-langkah sokongan tepat pada masanya,” kata Dr Faishal.

“Kita sedia maklum bahawa haji merupakan satu detik yang sangat bermakna bagi umat Islam, dan kami ingin memastikan bahawa dalam usaha kami memudahkan urusan tersebut, kami juga menjaga keselamatan dan kebajikan jemaah kita.

“Kami memohon kefahaman dan usaha kolektif masyarakat untuk sama-sama bersatu padu mengharungi tempoh krisis ini,” tambah beliau.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg