Topic followed successfully
Go to BHkuJumlah jemaah umrah antarabangsa cecah 18j, lonjakan 214%
Jumlah jemaah umrah antarabangsa cecah 18j, lonjakan 214%
Tahap kepuasan jemaah turut meningkat kepada 94% pada 2025
Jumlah jemaah umrah antarabangsa cecah 18j, lonjakan 214%
MADINAH: Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Encik Tawfiq Al-Rabiah, mengumumkan jumlah jemaah umrah dari luar negara telah melepasi 18 juta, mencatat peningkatan 214 peratus antara 2022 dengan 2025.
Pengumuman itu dibuat ketika beliau menyampaikan ucaptama di forum umrah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Raja Salman di Madinah.
Menurut Encik Al-Rabiah, lonjakan itu mencerminkan kejayaan usaha kerajaan dalam memperkukuh ekosistem umrah serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada jemaah.
“Tahap kepuasan jemaah juga meningkat kepada 94 peratus pada 2025, menunjukkan pengalaman umrah kini lebih lancar, daripada perancangan hingga kepulangan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah pengunjung ke raudah kini melebihi 15.6 juta selepas kapasiti kawasan itu diperluas, sekali gus membantu pengurusan jemaah dan melancarkan akses.
Selain itu, kementerian telah memperkenalkan 87 lokasi bersejarah dan tapak pengayaan bagi memperluas pengalaman kerohanian dan budaya jemaah di Makkah, Madinah dan seluruh Arab Saudi.
Langkah itu bukan sahaja meningkatkan pengalaman ibadah, malah menggalakkan jemaah agar tinggal lebih lama di negara tersebut.
Dalam aspek digital, aplikasi Nusuk kini mencatat lebih 51 juta pengguna, mencerminkan peningkatan penggunaan teknologi dalam pengurusan perjalanan umrah.
Encik Al-Rabiah berkata penggunaan aplikasi tersebut membantu dalam tempahan, pengurusan perjalanan, operasi serta meningkatkan kepuasan jemaah secara keseluruhan.
“Semua indikator ini menunjukkan kemajuan dalam pembangunan sistem umrah yang lebih tersusun, selamat dan berkesan,” katanya.
Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), peningkatan ketara jumlah jemaah umrah mendorong Arab Saudi melaksanakan pembaharuan besar dalam sistem perkhidmatan.
Pendekatan baharu yang diperkenalkan memberi tumpuan kepada pengalaman jemaah secara menyeluruh, bermula daripada perancangan perjalanan hingga kepulangan.
Model perkhidmatan itu menggabungkan pelbagai aspek termasuk logistik, teknologi dan sektor pelayanan bagi mewujudkan pengalaman ibadah yang lebih lancar, cekap dan selesa.
Forum yang berlangsung dari 30 Mac hingga 1 April itu diadakan di bawah naungan Salman bin Sultan bin Abdulaziz, Gabenor Wilayah Madinah.
Dalam ucapan perasmian, beliau menegaskan bahawa khidmat kepada jemaah haji dan umrah merupakan tanggungjawab utama yang telah menjadi asas kepada kepimpinan Arab Saudi sejak penubuhan negara itu.
“Berkhidmat kepada jemaah bukan sekadar tanggungjawab sementara, malah pendekatan asas sejak negara ini diasaskan oleh Sultan Abdulaziz,” katanya.
Beliau menambah bahawa pembangunan pesat dalam sektor umrah mencerminkan iltizam Arab Saudi dalam melaksanakan misi keagamaan dan kemanusiaan.
Memasuki edisi ketiga, forum tersebut terus mengukuhkan kedudukannya sebagai wadah sejagat yang menghimpunkan penggubal dasar, pelabur dan pemain industri.
Edisi sebelum ini menarik penyertaan lebih 160 negara dengan kehadiran lebih 32,000 pengunjung, melibatkan 120 pempamer dan 150 penceramah.
Lebih 4,200 perjanjian turut dimeterai, menunjukkan minat yang kian meningkat terhadap pembangunan sektor umrah dan ziarah.
Forum itu dianjurkan oleh Kementerian Haji dan Umrah dengan kerjasama Program Pengalaman Jemaah, sebagai sebahagian daripada usaha menyokong Wawasan Saudi 2030.
Melalui wadah itu, pakar dan pelabur dapat berkongsi kepakaran, meneroka peluang serta merangka masa depan sektor umrah secara lebih mampan.
Secara keseluruhan, perkembangan itu menunjukkan usaha berterusan Arab Saudi dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada jemaah, sekali gus memastikan ibadah dapat dilaksanakan dalam suasana yang selamat, lancar dan bermakna. – Agensi berita.

