SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Dulu dengan kucing peliharaan, kini buka mata dengan pengalaman selaku ibu bapa titipan

Dulu dengan kucing peliharaan, kini buka mata dengan pengalaman selaku ibu bapa titipan

Suami isteri harungi jerih payah demi selami erti kasih
Mar 25, 2026 | 7:20 PM

Dulu dengan kucing peliharaan, kini buka mata dengan pengalaman selaku ibu bapa titipan

anak titipan, Aidilfitri, kasih sayang, PPIS
Cik Roshilah Atan (kanan), dan Encik Victor Huang Zhongping (dua dari kanan), bersama pembantu rumah mereka, Cik Siti Asiyah (kiri), bermain bersama anak titipan mereka, Adil (bukan nama sebenar). Pasangan itu mengenali Adil melalui PPIS dan bekerjasama rapat dengan badan tersebut dalam proses mengasuh anak titipan itu di rumah mereka. - Foto BH oleh SHARLIN NASYIROH AZMI

Mengasuh seorang anak bukan daripada naluri semula jadi sepasang suami isteri tetapi berkat kemahiran yang dipupuk hasil komitmen dan sokongan masyarakat sekeliling.

Cik Roshilah Atan, 37 tahun, dan suaminya, Encik Victor Huang Zhongping, 43 tahun, seorang mualaf, awalnya menyifatkan diri mereka bahagia sebagai ‘dinks’ atau singkatan bagi istilah sosial untuk ‘Dual Income, No Kids’ (pasangan suami isteri berkerjaya tetapi tanpa anak), yang memelihara kucing dengan penuh belaian kasih.

Namun, berbekal tahap kewangan yang mantap, mereka akhirnya mengambil keputusan menjadi ibu bapa angkat kepada seorang kanak-kanak yang kini berusia lima tahun, dengan bantuan PPIS pada 2024.

“Kami tahu ramai kanak-kanak memerlukan tempat berteduh, dan kami rasakan kami berada dalam keadaan yang mampu dari segi kewangan untuk menyediakan sokongan tersebut,” kata Encik Huang, karyawan teknologi dan pemasaran, dalam wawancara bersama Berita Harian (BH).

Pasangan itu bekerjasama rapat dengan PPIS serta prasekolah anak titipan jagaan mereka, Adil (bukan nama sebenar).

Cik Roshilah, karyawan seni dan warisan, turut mempelajari kemahiran keibubapaan melalui latihan penjagaan berasaskan trauma dan amalan keibubapaan positif.

Latihan tersebut merupakan syarat minimum bagi ibu bapa angkat di bawah PPIS dan melibatkan beberapa sesi e-pembelajaran hujung minggu.

“Latar belakang kanak-kanak boleh mempengaruhi tingkah laku dan cara mereka membina ikatan.

“Melalui sesi ini, kami belajar apa yang boleh dijangkakan serta strategi menangani situasi mencabar,” kata Cik Roshilah.

Ketika kali pertama bertemu Adil, mereka mendapati kanak-kanak itu pendiam dan sering bertanya sama ada sesuatu barang benar-benar miliknya.

Namun, dengan dorongan dan sokongan tekal, anak kecil itu kini lebih yakin menyuarakan keperluannya.

Walaupun mempelajari pelbagai teori dalam sesi bimbingan, pasangan itu mengakui realiti membesarkan anak titipan mereka tidak semudah mana.

“Kita mungkin tahu apa yang patut dibuat, tetapi dalam keadaan sebenar apabila dia menguji kesabaran, ia memang mencabar,” jelas Encik Huang.

Bagi mengatasi cabaran yang dihadapi, mereka menjalani sesi perbincangan semakan pascatindakan yang dipanggil After-Action Review (AAR).

Melaluinya, mereka menilai semula cara menangani sesuatu keadaan dan mencari pendekatan lebih baik.

Menurut mereka, amalan itu membantu meningkatkan komunikasi serta kerjasama antara mereka sebagai ibu bapa.

Mereka juga saling menyokong ketika mendisiplinkan anak.

“Jika salah seorang rasa dia akan hilang sabar, seorang lagi akan ambil alih. Antara perkara paling sukar adalah belajar bila perlu berundur dan biarkan pasangan mengambil alih,” tambah Encik Huang.

Salah satu pengalaman yang menjadi pengajaran adalah apabila Adil pernah mengeluarkan semua barang dari rak-rak biliknya hingga memenuhi lantai.

Walaupun sudah diminta mengemas, Adil mengulangi perbuatan itu dan kemudian meronta apabila diminta membersihkan ruang itu semula.

Menurut pasangan itu, kejadian tersebut mengajar mereka supaya lebih memahami emosi anak sebelum bertindak.

“Apabila kami fikir semula apa yang berlaku, kami sedar dia lebih memberi respons apabila kami bersama-sama memberitahunya tentang kesilapannya.

“Keibubapaan juga membuat kami sedar kelemahan diri sendiri dan belajar mengawal reaksi,” ujar Encik Huang.

Di sebalik cabaran yang dihadapi, terdapat juga detik yang menguatkan semangat mereka.

“Adil sangat manja. Bila dia senyum dan kata dia sayangkan kita, hati rasa sangat terharu.

“Walaupun selepas dimarahi, dia tetap datang minta dipeluk atau memeluk kami. Itu yang buat semua jerih payah terasa berbaloi,” katanya.

Cik Roshilah pula bersyukur apabila melihat anaknya teruja menikmati pengalaman kecil, seperti ketika melawat pameran di muzium.

“Apabila kita tahu dia rasa selamat dan boleh bergembira, kita rasa semua usaha itu berbaloi,” tambahnya.

Pada Hari Raya ini, keluarga itu gembira dapat berpindah ke rumah baharu, juga di kawasan utara Singapura, bagi memulakan lembaran baharu bersama.

“Kami ceria menyambut Lebaran dengan Adil dan tiga ekor kucing kesayangan kami,” akui Cik Roshilah.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg