Topic followed successfully
Go to BHkuIbu tunggal teruja dapat kerja demi sara anak selepas setahun di rumah peralihan
Ibu tunggal teruja dapat kerja demi sara anak selepas setahun di rumah peralihan
Belajar erti disiplin, seronok masak hidangan pembuka selera untuk penghuni lain
Ibu tunggal teruja dapat kerja demi sara anak selepas setahun di rumah peralihan
Peluang bertemu kembali dengan anak perempuannya yang berusia lima tahun selepas berada di Rumah Peralihan Rise Above, kendalian PPIS, selama setahun, merupakan antara pengalaman paling bermakna bagi Cik Auniqarirah Rashidin, seorang ibu tunggal.
Walaupun pada awalnya Cik Auniqarirah, 27 tahun, tidak selesa dengan struktur dan disiplin yang diterapkan di rumah peralihan itu, iaitu tempat bekas pesalah mengikuti program pemulihan sebelum sedia kembali ke pangkuan masyarakat, beliau segera menyedari betapa anaknya sangat memerlukannya.
Ketika di rumah peralihan itu, beliau sering terkesan dengan tangisan anaknya yang sering memeluknya dan bertanya: “Ibu, bila nak balik rumah? Ibu nak ikut saya balik rumah?
“Saat itu, saya sedar saya mahu berubah demi anak saya,” kongsi Cik Auniqarirah kepada Berita Harian (BH) dalam satu wawancara di Rumah Peralihan Rise Above.
Apabila Cik Auniqarirah sedar beliau perlu berubah demi anaknya, dirinya mula menghayati rutin harian di pusat tersebut.
Dalam tempoh enam bulan, beliau berjaya menamatkan program pemulihan dengan jayanya.
Salah satu rutin harian yang ditanamkan di rumah peralihan itu, tetapi tidak disangka disukainya, adalah memasak.
Walaupun sebelum ini tidak pernah gemar memasak, beliau tersentuh apabila melihat senyuman yang terukir pada wajah penghuni lain apabila mereka menikmati hidangan yang disediakannya.
Di rumah peralihan itu, para penghuni diberi giliran memasak makan tengah hari dan malam untuk semua.
“Saya gembira apabila orang lain suka masakan saya. Mereka menghamburkan kekata ‘Oh... makanan awak sedap’.
“Gembira saya apabila masakan saya tak pernah mengecewakan rakan lain,” kongsi Cik Auniqarirah sambil tersenyum, apabila beliau mengimbau kenangan yang amat bermakna baginya.
Selain memasak, Cik Auniqarirah berkata perkara kecil seperti peraturan pulang waktu malam dan jadual harian turut membantu beliau menjadi lebih berdisiplin.
Perubahan pada dirinya begitu ketara apabila ibunya sendiri mula menyedari Cik Auniqarirah sudah membuka lembaran baharu.
“Dulu, dia tak pernah cakap begitu, tapi tiba-tiba dia berkata, ‘Dik, ibu bangga dengan awak, ibu benar-benar nampak perubahan dalam diri awak’,” kongsi Cik Auniqarirah dengan rasa terharu meskipun terkejut dengan kata-kata ibunya itu.
Rutin harian yang diterapkan di rumah pemulihan PPIS itu turut diamalkan di rumah sendiri, selari dengan matlamat PPIS membantu penghuni kembali menyertai masyarakat dengan lebih tersusun.
Cik Auniqarirah turut menceritakan tentang seorang pegawai di rumah pemulihan itu, yang beliau panggil ‘Maam Elly’, yang menyokongnya ketika beliau berduka atas kehilangan orang tersayang.
“Beliau selalu mengetepikan masa untuk saya, memberi nasihat yang amat bermakna ketika saya sedang bersedih,” katanya, tetapi tidak mahu menceritakan lebih lanjut tentang kehilangan insan dalam kehidupannya itu.
“Tak sukar untuk membuka hati kepadanya; dia mengingatkan saya kepada ibu saya sendiri. ‘Maam Elly’ juga selalu mengambil berat tentang keadaan saya,” jelasnya.
Sokongan yang diperolehi dari Rumah Peralihan Rise Above telah memberikan Cik Auniqarirah rutin hidup dan disiplin yang diteruskan.
Baru-baru ini, beliau mencapai satu lagi kejayaan apabila mendapat pekerjaan dalam industri makanan dan minuman (F&B) yang memberinya kepuasan diri kerana boleh menggunakan pendapatannya untuk membeli keperluan anak dan keluarga.
“Anak saya akan tunjukkan apa yang dia mahu di platform e-dagang Shopee, dan saya akan belikan. Saya belikannya set lengkap baju tidur Demon Hunter yang dia pakai setiap malam untuk tidur,” kongsi Cik Auniqarirah, dengan suara penuh kasih sayang.
Pada awalnya, program di rumah peralihan itu terasa terkawal, tetapi disiplin yang diterapkan memberinya kejelasan, manakala rutin harian memberikannya ketenangan.
“Dengan sambutan Hari Raya, saya bersyukur kerana dapat bekerja, menyara keluarga, dan menyambut Hari Raya bersama anak saya,” ujarnya, penuh kesyukuran.

