Daftar kad SIM secara haram: 52 individu disiasat
Seramai 52 individu sedang disiasat kerana disyaki terlibat dalam pendaftaran kad SIM bagi tujuan haram, kata polis pada 23 Januari.
Seramai 22 lelaki dan 13 wanita, berusia antara 16 hingga 38 tahun, telah ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan di seluruh pulau yang dijalankan antara 8 dengan 16 Januari.
Lagi 10 lelaki dan tujuh wanita, berusia antara 16 hingga 65 tahun, sedang membantu siasatan.
Menurut polis, golongan individu itu didakwa diarahkan untuk mendaftar dan membeli kad SIM dalam jumlah besar dan serentak daripada pelbagai peruncit, dengan siasatan awal mendapati mereka ditawarkan ganjaran tunai antara $15 hingga $20 bagi setiap kad SIM yang didaftarkan.
Pelanggan itu kemudian menyerahkan antara 30 hingga 69 kad SIM yang telah didaftarkan kepada penghantar sindiket tersebut.
“Sindiket jenayah menyalahgunakan kad SIM tempatan sebagai saluran perhubungan bagi penipuan, pinjaman wang tanpa lesen dan kegiatan lain yang haram,” kata polis.
Sesiapa yang didapati bersalah dengan sengaja memberikan kad SIM berdaftar kepada orang lain untuk memudahkan jenayah bagi sebarang keuntungan boleh didenda sehingga $10,000, dipenjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

