Topic followed successfully
Go to BHkuCAAS: Levi bahan api hijau ditangguh akibat kesan perang Timur Tengah
CAAS: Levi bahan api hijau ditangguh akibat kesan perang Timur Tengah
Hanya penumpang berlepas dari S’pura mulai 1 Jan 2027, dengan tiket yang dijual mulai 1 Okt 2026 akan dikenakan bayaran tambahan
CAAS: Levi bahan api hijau ditangguh akibat kesan perang Timur Tengah
Pelaksanaan levi bahan api hijau bagi penerbangan yang berlepas dari Singapura akan ditangguhkan berikutan kesan perang di Timur Tengah.
Demikian menurut pengumuman Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada 25 Mac.
Levi tersebut kini akan dikenakan kepada penumpang yang berlepas dari Singapura mulai 1 Januari 2027, yang memegang tiket penerbangan yang dijual mulai 1 Oktober 2026.
Sebelum ini, levi bahan api hijau itu dilapor akan dikuatkuasakan terhadap penumpang yang meninggalkan Singapura bermula Oktober 2026 bagi tiket yang dijual mulai 1 April.
Penumpang yang terbang keluar dari Singapura mulai 1 Januari 2027 akan membayar levi antara $1 dengan $41.60 yang akan disalurkan untuk pembelian bahan api penerbangan mampan (SAF), yang dihasilkan terutama daripada bahan buangan seperti minyak masak terpakai.
CAAS berkata keputusan itu dibuat ekoran kesan konflik berterusan di Timur Tengah terhadap syarikat penerbangan dan penumpang.
Syarikat penerbangan Hong Kong, Cathay Pacific, dan Thai Airways International telah pun menaikkan caj tambahan bahan api atau meningkatkan harga tiket.
Ketua Pengarah CAAS, Encik Han Kok Juan, menekankan Singapura kekal komited terhadap usaha penyahkarbonan penerbangan.
“Kami mengambil tempoh penangguhan pragmatik memandangkan keadaan semasa,” kata beliau.
Awal sebelumnya, pihak berkuasa menetapkan sasaran agar SAF membentuk 1 peratus daripada keseluruhan bahan api yang digunakan di lapangan terbang Changi dan Seletar pada 2026, dan mencapai 3 peratus hingga 5 peratus menjelang 2030.
Sebagai maklum balas kepada pertanyaan akhbar, ‘The Straits Times’, mengenai kesan penangguhan levi itu, CAAS menjawab bahawa sasaran 1 peratus SAF itu kini akan bermula pada 2027.
CAAS menambah bahawa ia tetap meletakkan matlamat untuk meningkatkan sasaran itu kepada 3 peratus hingga 5 peratus menjelang 2030, tertakluk kepada perkembangan sejagat serta ketersediaan dan penggunaan bahan api hijau yang lebih meluas.
Mengenai levi bahan api hijau itu, penumpang dalam kelas ekonomi atau ekonomi premium akan dikenakan levi antara $1 dengan $10.40, bergantung pada destinasi mereka.
Mereka yang menaiki kelas perniagaan atau kelas pertama pula akan membayar antara $4 dengan $41.60.
Ini adalah berdasarkan amalan industri dalam mengira pelepasan karbon bagi penumpang mengikut kelas kabin yang berbeza.
Penumpang yang terbang lebih jauh akan membuat bayaran lebih tinggi kerana penerbangan jarak jauh menggunakan lebih banyak bahan api.
Bagi pelaksanaan levi tersebut, destinasi di seluruh dunia dibahagikan kepada empat kumpulan geografi, dengan harga levi meningkat mengikut setiap kumpulan berdasarkan jarak perjalanan.
Kumpulan 1 merangkumi Asia Tenggara; Kumpulan 2 merangkumi Timur Laut Asia, Asia Selatan, Australia dan Papua New Guinea; Kumpulan 3 merangkumi Afrika, Asia Tengah dan Asia Barat, Eropah, Timur Tengah, kepulauan Pasifik dan New Zealand; dan Kumpulan 4 merangkumi negara-negara Amerika.

