Topic followed successfully
Go to BHkuMinyak mahal, kos hidup naik, bekalan mula terjejas di Asia Tenggara
Minyak mahal, kos hidup naik, bekalan mula terjejas di Asia Tenggara
Minyak mahal, kos hidup naik, bekalan mula terjejas di Asia Tenggara
BANGKOK: Negara Asia Tenggara menunjukkan tanda semakin terdedah kepada krisis bahan api yang kian meruncing apabila konflik melibatkan Iran terus mengganggu pasaran tenaga global, mencetuskan lonjakan harga dan kebimbangan terhadap bekalan.
Dari Laos hingga Thailand, barisan panjang mula kelihatan di stesen minyak apabila pemandu berpusu-pusu mendapatkan bekalan bahan api di tengah kebimbangan harga akan terus meningkat.
Dalam masa sama, penduduk di rantau ini turut berdepan kos sara hidup yang semakin tinggi apabila kenaikan harga minyak menjejaskan kos pengangkutan dan rantaian bekalan makanan.
Kementerian Kesihatan Awam Thailand memberi amaran harga ubat berkemungkinan meningkat susulan konflik di Asia Barat.
Setiausaha Tetap Kesihatan Awam, Encik Somruek Chungsaman, berkata pihak berkuasa sudah menilai kesan jangka sederhana terhadap ubat-ubatan dan bekalan perubatan.
Katanya, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) sudah berunding dengan syarikat farmaseutikal yang mengesahkan stok semasa mencukupi untuk kira-kira tiga hingga empat bulan.
Antara tekanan lain ialah cecair dialisis peritoneal yang memerlukan bekas plastik khas yang perlu diimport, serta larutan haemodialisis yang dibekalkan dalam bekas besar.
Pihak berkuasa sedang menilai sama ada bekas itu boleh digunakan semula atau diganti dengan pembungkusan alternatif jika perlu.
Selain bekalan ubat, kementerian juga merancang penyesuaian dalam perkhidmatan kesihatan.
Hospital digalakkan memperluaskan penggunaan teleperubatan untuk rawatan pesakit luar, dengan sasaran peningkatan penggunaan daripada 10 peratus kepada 30 peratus.
Thailand turut melancarkan aplikasi ‘Fuel Now’ bagi menyediakan kemas kini secara masa nyata mengenai ketersediaan stesen minyak di seluruh negara sebagai sebahagian daripada langkah mengurus kekurangan bahan api dan mengurangkan pembelian panik.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perniagaan Tenaga, Encik Wutthitat Tantivess, berkata aplikasi itu akan menyediakan kemas kini secara masa nyata mengenai ketersediaan stesen minyak di seluruh negara.
Penganalisis menyatakan kebergantungan tinggi rantau ini terhadap import tenaga menjadikannya sangat terdedah kepada kejutan luar.
Banyak ekonomi Asia Tenggara tidak mempunyai pengeluaran tenaga domestik yang mencukupi, sekali gus sensitif terhadap turun naik harga minyak global.
Sementara di Filipina, lebih 400 stesen minyak di seluruh Filipina menghentikan operasi susulan kenaikan harga bahan api, menurut Polis Kebangsaan Filipina (PNP) pada 23 Mac, lapor Xinhua.
Jurucakap PNP, Randulf Tuano, pada sidang media berkata jumlah stesen minyak yang ditutup di Filipina meningkat kepada 403 berbanding 273 yang direkodkan pada 18 Mac lalu.
Beliau menambah bahawa PNP sudah memantau sebanyak 14,313 stesen minyak di seluruh negara, dan bekalan bahan api sedia ada dijangka mencukupi sehingga pertengahan April.
PNP juga memfailkan kes berkaitan penjualan bahan api secara haram, penyorokan bekalan dan pencatutan di beberapa kawasan.
Ketegangan di Timur Tengah telah memberi kesan besar kepada laluan strategik Selat Hormuz, yang menjadi nadi utama bekalan tenaga global.
Ancaman Iran untuk menyekat laluan tersebut telah meningkatkan tekanan ke atas bekalan minyak, dengan harga Brent melonjak antara AS$100 hingga AS$110 setong, kira-kira 20 peratus lebih tinggi berbanding sebelum serangan bermula pada 28 Februari.
Walaupun Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan penangguhan sementara serangan terhadap kemudahan tenaga Iran selama lima hari, kesan terhadap bekalan global sudah mula dirasai di Asia Tenggara.
Di Kemboja, pembekal utama Sokimex mengumumkan akan menghentikan penjualan gas petroleum cecair (LPG) mulai 1 April kerana kesukaran mendapatkan bekalan.
Menteri Tenaga, Encik Keo Rottanak, bagaimanapun cuba meredakan kebimbangan dengan menyatakan syarikat itu hanya membekalkan sekitar 3 peratus daripada LPG negara.
Kemboja mengumumkan pelbagai pengecualian cukai ke atas petrol dan diesel bagi mengurangkan beban kewangan rakyat susulan kenaikan kos bahan api ekoran konflik di Asia Barat.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Perdana Menteri Hun Manet pada 21 Mac, berkata langkah itu bertujuan menyokong kehidupan rakyat ketika kos tenaga meningkat.
Agensi berita rasmi Agence Kampuchea Presse, memetik kenyataan tersebut, melaporkan pemerintah akan terus memberi subsidi harga bahan api sebanyak AS$0.065 sen seliter.
Tekanan ini mula dirasai secara langsung oleh rakyat biasa.
Daniel Gech, 16 tahun, yang menggunakan motosikal untuk ke sekolah dan bekerja pada waktu malam, kini terpaksa menanggung kos tambahan sebanyak AS$2 ($2.56) sehari untuk mengisi minyak.
“Harga mula naik sebaik sahaja perang bermula,” katanya ketika mengisi minyak di Phnom Penh.
“Ia sudah terlalu mahal, dan semakin teruk setiap hari,” tambah beliau.
Harga petrol di stesen Sokimex meningkat kepada 5,400 riel seliter, kira-kira AS$1.34, iaitu naik 2,000 riel berbanding sebelum konflik tercetus, satu beban besar bagi negara yang purata gaji harian hanya sekitar AS$10.
Namun, tekanan harga terus meningkat apabila negara di rantau ini terpaksa mencari sumber tenaga alternatif dari Eropah dan Amerika, yang memerlukan perjalanan lebih jauh dan kos lebih tinggi.
Negara paling terkesan ialah Myanmar dan Laos, yang berdepan cabaran lebih besar akibat kekangan ekonomi dan infrastruktur.
Myanmar pula memperkenalkan pelaksanaan bekerja dari rumah pada setiap Rabu bagi jabatan pemerintah bermula 25 Mac 2026 sehingga diberitahu kelak bagi membantu mengurangkan penggunaan bahan api, menurut kenyataan yang disiarkan dalam akhbar milik pemerintah, The Mirror.
Sebagai tindak balas terhadap kemungkinan kekurangan bahan api susulan konflik berterusan di Asia Barat, pemerintah sebelum ini melaksanakan sistem giliran kenderaan ganjil-genap serta catuan bahan api.
Selain itu, pemerintah sedang berusaha mendapatkan import bahan api melalui pelbagai saluran bagi memastikan bekalan yang berterusan, menurut pasukan itu.
Pasukan Penerangan Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara memaklumkan bahawa objektif utama langkah berkenaan bertujuan untuk menjimatkan bahan api.
Di Laos pula, pemandu terpaksa beratur sehingga beberapa jam hanya untuk mendapatkan separuh tangki petrol pada harga tinggi.
Pemerintah turut melaksanakan minggu persekolahan tiga hari bagi mengurangkan tekanan terhadap bekalan bahan api.
“Keadaan sangat kritikal di Luang Prabang,” kata pemandu pelancong, Encik Chantee Sipaseuth.
“Saya perlu beratur sehingga lima jam setiap hari, dan kini hanya bayaran tunai diterima.”
Di Vietnam, harga petrol melonjak sehingga 20 peratus, manakala pihak berkuasa memberi amaran bahawa kekurangan bahan api boleh menjejaskan sektor pengangkutan dan pembuatan.
Syarikat penerbangan juga mungkin terpaksa mengurangkan penerbangan mulai April berikutan ketidakpastian bekalan bahan api pesawat.
Harga bahan api penerbangan melonjak daripada sekitar AS$85 setong kepada antara AS$150 hingga AS$200 dalam tempoh beberapa minggu, memberi tekanan besar kepada industri penerbangan.
Thai Airways memberi amaran tambang mungkin dinaikkan antara 10 hingga 15 peratus.
Bagi negara yang bergantung kepada sektor pelancongan seperti Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam, kesan limpahan ini dijangka berpanjangan walaupun perang berakhir dalam masa terdekat.
Thailand memberi jaminan bekalan bahan api mencukupi untuk lebih 100 hari, namun kerajaan masih membelanjakan puluhan juta dolar setiap hari untuk subsidi bagi mengekang kenaikan harga.
Perdana Menteri Anutin Charnvirakul turut memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang menyorok bekalan atau menaikkan harga secara tidak wajar.
Namun, gangguan bekalan telah menyebabkan beberapa stesen minyak ditutup, manakala nelayan terpaksa menghentikan operasi kerana tidak mampu menanggung kos diesel.
Di Bangkok, pemandu e-hailing turut merasai tekanan.
Encik Sakol Insangnoen berkata beliau kini perlu merancang lebih awal untuk mengisi minyak dan terpaksa menolak perjalanan jauh.
“Saya terpaksa memilih perjalanan kerana kos semakin tinggi dan bekalan tidak menentu,” katanya.
“Ada pemandu yang berhenti kerana pendapatan tidak lagi berbaloi,” tambah beliau. – Agensi berita.

