Kerja pembinaan di tapak pembangunan bersepadu Chong Pang City digantung selepas besi dari tapak tersebut jatuh menembusi bumbung sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berhampiran pada 2 Mei.

Penguasa Tanah Singapura (SLA) menyatakan pada 3 Mei bahawa batang besi tersebut terjatuh semasa kerja membuka struktur yang dijalankan di tingkat atas pembangunan sembilan tingkat itu pada 2 Mei.

Menurut SLA, besi itu jatuh ke atas Blok 103, Yishun Ring Road – blok setinggi empat tingkat – dan merosakkan sebahagian bumbung di sepanjang koridor umum.

Tiada kecederaan dan tiada kerosakan pada bahagian dalam flat HDB dilaporkan.

Pihak berkuasa menambah bahawa kerja pembaikan akan dijalankan secepat mungkin.

Menurut SLA, jurutera profesional telah menilai kerosakan tersebut dan mengesahkan bahawa keseluruhan struktur bumbung kekal utuh serta selamat.

Penduduk boleh terus menggunakan kawasan umum dan koridor, kecuali kawasan terjejas yang telah dipagarkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut SLA, Rich Construction Company, kontraktor utama Chong Pang City, kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menentu punca kejadian tersebut.

Tapak pembinaan itu telah dikenakan arahan henti kerja.

“Kami sedang memantau keadaan dengan teliti dan akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan penduduk serta kawasan sekitar,” ujar SLA.

Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, berkata dalam satu hantaran Facebook pada 3 Mei bahawa beberapa kerja pembaikan sementara telah dijalankan di blok HDB tersebut.

“Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) telah meminta laporan penuh, saya juga telah meminta SLA dan kontraktor untuk menjalankan kerja pembaikan secepat mungkin, malah dengan segera.

“Beberapa kerja sementara telah pun dilaksanakan,” jelas Encik Shanmugam, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, dalam satu video.

Sambil itu, Encik Shanmugam berkata beliau akan melawat penduduk di blok tersebut untuk memberi jaminan kepada mereka bahawa ini “bukan masalah bumbung HDB, sebaliknya satu kejadian luar jangkaan yang berlaku”.

Kompleks sembilan tingkat seluas 0.9 hektar di Chong Pang City dijangka dibuka pada 2027, dilengkapi dengan tiga kolam renang, trek larian berteduh di atas bumbung, dan pusat penjaja.

Ia terletak di tapak bekas Kelab Masyarakat Chong Pang, di persimpangan Yishun Ring Road dan Block 102 Yishun Avenue 5.

ST telah menghubungi BCA untuk mendapatkan maklumat lanjut.