Proses pengambilan pekerja asing bagi firma pembinaan akan dipendekkan tiga bulan daripada tempoh asal bermula 2027, susulan maklum balas industri mengenai sistem sedia ada yang kurang cekap, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.

Mulai Januari 2027, pemegang permit kerja pembinaan baru dari China dan Thailand tidak lagi perlu menduduki ujian pensijilan kecekapan di negara asal sebelum mereka memasuki Singapura, kata Encik Chee pada 30 April.

Langkah ini bakal memendekkan proses pengambilan dari empat bulan kepada hanya satu bulan, jelas beliau semasa berucap di Sidang Kemuncak Penglibatan dan Pembangunan Kepimpinan (Lead) BuildSG 2026 yang dihadiri karyawan persekitaran binaan di Gardens by the Bay.

Proses pengambilan lebih ringkas ini akan diperluaskan mulai Januari 2028 kepada negara sumber pekerja pembinaan Singapura yang lain seperti India, Sri Lanka, Bangladesh, dan Myanmar.

Sebagai ganti, pekerja akan diuji kemahiran teknikal dan praktikal mereka setibanya di Singapura. 

Firma pembinaan perlu menempah slot ujian bagi membolehkan pekerja mereka memperoleh sijil penilaian kemahiran, sebelum memasuki negara ini.

“Berdasarkan permintaan pembinaan yang kukuh dalam beberapa tahun akan datang, adalah penting untuk kita mencari jalan bagi memudahkan kemasukan pekerja binaan yang mahir dengan lebih lancar dan pantas,” kata Encik Chee.

Setakat Disember 2025, terdapat 482,600 pemegang permit kerja dalam sektor pembinaan, limbungan kapal marin, dan pemprosesan di Singapura.

Ini merupakan antara langkah awal kumpulan kerja yang ditubuhkan pada Februari bagi meningkatkan produktiviti dalam sektor persekitaran binaan.

Kumpulan itu, yang dipengerusikan oleh Encik Chee, terdiri daripada wakil agensi pemerintah dan industri, termasuk pemaju, perunding, kontraktor, pengurus kemudahan dan ahli akademik.

Encik Chee berkata kumpulan itu telah mengadakan mesyuarat pertamanya pada awal April dan mengenal pasti beberapa aspek untuk ditambah baik.

Ini termasuk meningkatkan amalan industri bagi meningkatkan produktiviti dan menggalak pelaburan dalam inovasi, serta menangani jurang kemahiran dan kekurangan tenaga kerja.

Beliau menambah, pihak industri telah memberi maklum balas bahawa keperluan pensijilan di luar negara memanjangkan masa yang diperlukan untuk membawa masuk pekerja baru.

Selain itu, kemahiran dan pensijilan pekerja sering kali tidak sepadan dengan keperluan tugasan mereka.

Bagi memberi insentif kepada firma untuk melatih dan menguruskan pensijilan pekerja, Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) serta Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan mengenakan kadar levi lebih tinggi bermula Januari 2028 bagi pekerja baru yang tidak memperoleh pensijilan dalam tempoh enam bulan pertama selepas mendapat permit kerja.

Mereka juga tidak akan dibenarkan memperbaharui permit kerja sekiranya masih tidak mendapat pensijilan selepas tempoh satu tahun.