Pekerja platform yang menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan atau kurier akan mendapat akses kepada bengkel yang dikendalikan oleh tiga sekolah memandu, bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran, pengetahuan dan keyakinan untuk menunggang motosikal secara selamat.

Bagi bengkel “Ride Smart, Ride Safe” itu, sekolah memandu akan bekerjasama dengan Persatuan Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA) serta pengendali platform untuk menganjurkan sesi menunggang defensif percuma setiap bulan di Pusat Memandu Keselamatan Singapura (SSDC), Woodlands. 

Pemerintah menyasarkan untuk menjangkau 1,400 pekerja platform dalam tempoh dua tahun akan datang, kata Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Cik Sim Ann.

Menurut angka daripada Kementerian Tenaga Manusia (MOM), kira-kira 15,300 penduduk Singapura bekerja sebagai pekerja platform penghantaran tetap, termasuk dalam sektor makanan dan kurier, pada 2024.

Mengumumkan bengkel itu pada 12 September di National Bikers’ Weekend, Singapore Expo, Cik Sim berkata pekerja platform berdepan risiko jalan raya yang lebih tinggi kerana mereka menghabiskan lebih banyak masa di jalan raya berbanding orang biasa.

“Mereka menyediakan perkhidmatan penting kepada masyarakat kita, dan secara kolektif, kita bertanggungjawab membantu mereka menunggang secara selamat,” kata Cik Sim, yang turut membantu melancarkan kempen Singapore Ride Safe 2026 di Expo.

Beliau berkata kerjasama bengkel itu menghimpunkan masyarakat penunggang motosikal, rakan industri dan agensi pemerintah. 

“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Ia bukan sesuatu yang boleh dicapai oleh mana-mana satu agensi atau individu sahaja. Ia memerlukan kita semua memainkan peranan masing-masing untuk memastikan jalan raya kita selamat bagi semua orang setiap hari,” tambah Cik Sim.

Laporan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) pertengahan tahun MOM, yang dikeluarkan pada 8 September, menunjukkan bahawa empat pekerja platform tergolong dalam 21 kematian di tempat kerja antara Januari dengan Jun 2026, berbanding dua daripada 18 kematian tempat kerja dalam tempoh yang sama pada 2025.

Daripada empat pekerja platform itu, tiga adalah pekerja penghantaran, manakala seorang lagi adalah pekerja perkhidmatan tempahan perjalanan (ride-hailing).

Angka itu turut menunjukkan bahawa sekitar 86 peratus pekerja platform yang mengalami kecederaan maut atau serius pada separuh pertama 2026 terlibat dalam insiden kenderaan.

Lebih banyak kecederaan dilaporkan dalam kalangan pekerja yang menyediakan perkhidmatan penghantaran berbanding mereka yang bekerja dalam perkhidmatan tempahan perjalanan.

Cik Sim menegaskan bahawa pekerja platform berdepan risiko yang lebih tinggi dilanda kemalangan jalan raya.

“Mereka menghabiskan lebih banyak masa di jalan raya berbanding penunggang biasa. Akibatnya, mereka berdepan pendedahan dan risiko yang lebih besar,” katanya.

Cik Sim berkata selain melengkapkan pekerja platform dengan kemahiran menunggang dengan selamat, majikan turut perlu menyokong mereka dengan mengamalkan langkah-langkah yang membolehkan mereka menunggang secara selamat.