Topik diikuti
Pergi ke BHkuBelia sedar kadar kelahiran merosot, tapi 40% enggan ‘tergesa-gesa’ kahwin
Belia sedar kadar kelahiran merosot, tapi 40% enggan ‘tergesa-gesa’ kahwin
70 belia sertai dialog bincang isu-isu keluarga, keibubapaan dan persaingan di tempat kerja
Belia sedar kadar kelahiran merosot, tapi 40% enggan ‘tergesa-gesa’ kahwin
Belia setempat sedar Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) negara semakin menurun, tetapi 40 peratus daripada mereka bersikap enggan tergesa-gesa untuk berkahwin, menurut satu tinjauan baharu mengenai persepsi golongan muda.
Sebanyak 25 peratus daripada peserta tinjauan pula berkata mereka belum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Tinjauan yang dijalankan oleh pertubuhan belia yang tidak mengambil untung, Heartware Network itu melibatkan 1,114 responden berusia antara 14 hingga 35 tahun.
Dalam kalangan belia berusia 26 hingga 35 tahun, sebanyak 23.53 peratus teruja untuk berkahwin dan memulakan keluarga, manakala 22.06 peratus pula menolak idea untuk berkeluarga.
Sejumlah 57.72 peratus peserta tinjauan pula berkata mereka sukar menjalin hubungan, cabaran yang kian meruncing apabila usia meningkat.
Walaupun 41.9 peratus daripada belia yang berusia bawah 16 tahun merasakan hubungan sosial “agak mudah” dibina, angka itu jatuh kepada 20.6 peratus bagi mereka yang berusia antara 26 hingga 35 tahun.
Isu-isu tersebut dibincangkan di sesi dialog di Scape pada 16 Mei melibatkan 70 belia, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Goh Hanyan.
Kadar kesuburan keseluruhan penduduk Singapura jatuh ke paras terendah dalam sejarah iaitu 0.87 pada 2025, mencetus perbincangan awam serta penubuhan Kumpulan Kerja Perkahwinan dan Keibubapaan yang dipengerusikan oleh Cik Indranee. TFR pada 2024 ialah 0.97.
Cik Indranee sebelum ini berkata bahawa jika trend itu berterusan, ia akan membawa kesan serius terhadap Singapura.
Sepanjang sesi selama sejam itu, peserta daripada institusi pengajian tinggi (IHL) dan golongan dewasa muda berusia sehingga 35 tahun menyuarakan kebimbangan mengenai pengorbanan dari segi psikologi, sosial dan fizikal dalam perancangan keluarga di negara yang kompetitif.
Seorang pelajar Institusi Raffles, Encik Lau Jia Hern, 18 tahun, bertanya bagaimana pemerintah boleh membantu rakyat membina keluarga dengan memberi tumpuan kepada halangan psikologi dan sosiaal melebihi bantuan kewangan serta cuti.
Menurut Cik Indranee, tinjauan itu menunjukkan golongan muda meletakkan polisi dan bantuan kewangan di kedudukan paling bawah dalam senarai keutamaan mereka.
Tinjauan tersebut menunjukkan bahawa responden lebih mengutamakan kos sara hidup dan perumahan (18.94 peratus), mencari pasangan (16.75 peratus), dan kesediaan diri (15.43 peratus), berbanding skim bantuan pemerintah yang disebut oleh kurang daripada 4 peratus responden.
Cik Indranee berkata pemerintah akan memainkan peranannya dan apa yang benar-benar diinginkan oleh golongan muda ialah kestabilan peribadi, termasuk pekerjaan yang baik, pendapatan tetap, dan kemampuan memiliki rumah, sebelum mempertimbangkan untuk memulakan keluarga.
Beliau turut menekankan bahawa perumahan awam masih menerima subsidi yang tinggi, mudah diakses dan mampu dimiliki melalui pelbagai geran.
Cik Indranee berkata: "Adalah sangat penting untuk anda berfikir dan merancang masa depan, serta memastikan bahawa anda mempunyai sumber pendapatan yang terjamin dan simpanan kewangan sebagai langkah berjaga-jaga."
Cik Goh pula berkata kementeriannya sedang mewujudkan ruang sosial khas di seluruh Singapura untuk golongan muda bertemu dan membina rasa kebersamaan.
Soalan lain yang dibangkitkan menyentuh tentang kebimbangan “generasi sandwic”, pengorbanan kerjaya, dan bagaimana pemerintah akan menguruskan beban kewangan populasi yang semakin menua tanpa membebankannya kepada generasi seterusnya.
Cik Indranee dan Cik Goh menjelaskan bahawa sokongan pemerintah membantu warga emas menua secara berdikari dan bermaruah melalui inisiatif seperti SG Lebih Sihat, serta dasar perumahan yang menyokong keluarga tinggal dalam kawasan kejiranan yang sama supaya penjagaan ahli keluarga menjadi lebih mudah.
Cik Indranee menambah bahawa kemampanan jangka panjang Singapura diperkukuhkan oleh dasar fiskal dan rizab negara.
